Uncategorized

mySalam, Perlindungan Untuk Golongan B40 Yang Dinanti-nanti

mySalam, Perlindungan Untuk Golongan B40 Yang Dinanti-nanti 1


Baru-baru ini ketika sidang Parlimen, Timbalan Menteri Kewangan Yang Berhormat Dato’ Ir Amiruddin Hamzah telah mengemaskini status Skim Perlindungan Kesihatan Nasional, mySalam yang telah dilancarkan pada 1 Januari 2019. Setakat 4 April, sebanyak 1094 tuntutan telah diterima dan daripada jumlah itu, 97 tuntutan yang melibatkan nilai RM40,200 telah dibayar kepada penerima skim perlindungan tersebut.

Apa itu mySalam?

Skim ini telah dilancarkan pada 1 Januari 2019 oleh kerajaan dan ianya bertujuan untuk menyediakan perlindungan kesihatan secara percuma kepada golongan sasar B40. Ianya adalah sebuah inisiatif kerajaan kerana golongan ini kurang berkemampuan untuk mendapatkan perlindungan sendiri.

Skim ini disasarkan kepada penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) yang dianggarkan seramai 3.8 juta individu B40 yang juga penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 berumur 18 hingga 55 tahun serta pasangan mereka.

Laporan Pembangunan Sektor Kewangan, Bank Negara Malaysia (BNM) 2018

Mengikut laporan, risiko utama yang dihadapi oleh golongan B40 ialah kesan kewangan serta-merta lantaran kehilangan pendapatan untuk sementara waktu kerana tidak berupaya bekerja akibat dimasukkan ke hospital atau terlantar sakit. BNM juga telah membuat satu kaji selidik dan mendapati 86% daripada responden menyatakan kesukaran untuk mendapatkan wang kecemasan sebanyak RM1,000 iaitu jumlah yang hampir sama dengan upah yang diterima iaitu RM1,500.

Selain daripada itu, diagnosis penyakit kritikal atau tempoh rawatan di hospital yang panjang boleh menjerumuskan isi rumah tersebut ke kancah kemiskinan atau bebanan hutang dalam hanya beberapa minggu, terutama jika pasangannya terpaksa mengambil tanggungjawab sebagai penjaga.

Golongan ini tidak mampu untuk mendapatkan perlindungan Takaful disebabkan komitmen bulanan yang tinggi dan produk di pasaran lebih sesuai untuk memenuhi keperluan segmen pasaran yang lebih mewah. Ini yang menyebabkan kurangnya permintaan terhadap produk takaful dari golongan ini.

Berdasarkan laporan BNM inilah, yang menyebabkan kerajaan mewujudkan Skim mySalam bagi membantu golongan B40 ini. Skim ini diwujudkan untuk mencapai dua objektif berikut:

1. Menggalakkan Pengambilan Takaful

Jika kita imbas kembali laporan yang dikeluarkan oleh BNM pada tahun 2017, kadar kesedaran masyarakat untuk mengambil Takaful adalah masih di bawah sasaran. Inisiatif kerajaan ini secara tidak langsung dapat membuka minda masyarakat untuk mengambil polisi Takaful.

Masyarakat masih lagi ragu-ragu untuk mengambil polisi Takaful disebabkan manfaat yang tidak jelas dan bayaran yang perlu dibuat serta merta di samping menambahkan komitmen bulanan. Sebagai contoh, jika kita membeli kereta, kita boleh nampak fizikal kereta dan boleh memandunya.

Berlainan dengan Takaful, bayaran dibuat tanpa kita nampak fizikal manfaat, pemegang polisi hanya diberi polisi perlindungan yang akan menjadi amat berguna apabila diperlukan di kemudian hari.

2. Menggalakkan Penawaran Produk

Untuk makluman, skim ini direka dengan prinsip asas Takaful dan bukannya untuk kebajikan sosial jangka panjang. Matlamat kerajaan adalah supaya masyarakat amnya dan golongan B40 khasnya akan mengambil polisi Takaful swasta di masa hadapan dengan kepelbagaian manfaat
lain.

Selain daripada itu, diharap pengendali Takaful akan memperkenalkan produk baru yang lebih menepati kehendak golongan B40 (mampu milik).

Satu tabung amanah telah ditubuhkan untuk membayar sumbangan kepada pengendali Takaful. Produk ini akan diuruskan oleh pengendali Takaful pada harga kos dan keuntungan akan dikembalikan kepada tabung amanah. Untuk maklumat lanjut boleh layari laman web www.mysalam.com.my

Ditulis oleh Azharul Adha Bin Dzulkarnain
Berkelulusan Sarjana Kewangan dan Perbankan Islam
Masih bekerja di Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit
Boleh dihubungi melalui emel azharuladha@gmail.com
Penulisan adalah atas kapasiti individu dan hanya untuk tujuan pendidikan sahaja

mySalam, Perlindungan Untuk Golongan B40 Yang Dinanti-nanti 2

Komen

komen





Source link