Artikel Terkini

myWakaf – Platform Wakaf Atas Talian


Bank Negara Malaysia (BNM) di bawah Pelan Induk Sektor Kewangan 2011-2020 menggariskan sasaran mencapai rangkuman kewangan (financial inclusion) yang bermakna akses khidmat kewangan diperluaskan kepada segenap segmen masyarakat seterusnya memperkasakan masyarakat dengan perkhidmatan kewangan termasuk perbankan.

Dalam menjayakan sasaran tersebut, terhasillah satu platform atas talian yang dikenali sebagai myWakaf. Ianya merupakan inisiatif BNM dan melalui Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM), bank-bank Islam digalakkan untuk bekerjasama dan menyeragamkan pelan tindakan Inisiatif Dana Wakaf di antara Bank-bank Islam dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dalam membangunkan potensi wakaf dan memperkasa ekonomi ummah di Malaysia.

Buat masa ini, terdapat enam Bank-bank Islam yang terlibat di dalam
inisiatif ini iaitu Affin Islamic Bank Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad, Bank
Muamalat Malaysia Berhad, Bank Rakyat, Maybank Islamic Berhad dan RHB Islamic
Malaysia Berhad. Ketua-ketua Pegawai Eksekutif setiap bank itu membentuk
Jawatankuasa Utama dan Ketua Bahagian Shariah akan menjadi sebahagian daripada
Jawatankuasa Kerja.

Tiga objektif penubuhan MyWakaf adalah:

  1. Menjalin sinergi antara MAIN yang merupakan pemegang amanah harta wakaf di Malaysia dengan bank-bank Islam bagi mewujudkan projek wakaf yang dinamik.
  2. Mempertingkatkan aspek ketelusan, akauntabiliti, dan kawal selia yang berkesan dalam pengurusan harta wakaf.
  3. Memaksimakan pembangunan wakaf dengan saluran perbankan yang efektif,

Wakaf

Wakaf daripada segi bahasa bermaksud berhenti (وقف), menahan (حبس), dan menghalang (منع).

Maksud istilah adalah apa-apa harta yang ditahan hak pewakaf ke
atas harta tersebut daripada sebarang urusan jual beli, pewarisan, hibah dan
wasiat di samping mengekalkan sumber fizikalnya, untuk kebajikan dengan niat
untuk mendekatkan diri pewakaf kepada Allah.

Berdasarkan Seksyen 61, Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam
(Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505] menjelaskan:

“Walau apa pun apa-apa peruntukan yang bertentangan yang terkandung
dalam mana-mana suratcara atau perisytiharan yang mewujudkan, mengawal atau
menyentuh perkara itu, Majlis hendaklah menjadi pemegang amanah tunggal bagi
semua wakaf, sama ada wakaf am atau wakaf khas, semua nazr ‘am, dan semua
amanah daripada segala perihal yang mewujudkan apa-apa amanah khairat bagi
menyokong dan memajukan agama Islam atau bagi faedah orang-orang Islam mengikut
Hukum Syarak.”

Beza mudah di antara Wakaf dan Sedekah, adalah harta yang diwakafkan itu haruslah kekal dan manfaatnya kepada aktiviti kebajikan hendaklah berterusan. Berbeza dengan Sedekah, harta yang disedekahkan boleh habis setelah digunakan.

Dalil Wakaf

Amalan Wakaf
boleh dirujuk kepada satu hadis daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah
SAW telah bersabda:

إِذَا مَاتَ
الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ
صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Maksudnya“Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya
amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan
dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya.” 

Sedekah jariah
atau maknanya Sedekah yang berterusan di sini merujuk kepada Harta yang
diwakafkan yang menjana pendapatan bagi manfaat kebajikan yang berterusan.

Sektor Dana MyWakaf

Berdasarkan
makna Wakaf tadi, Sektor Dana MyWakaf akan diambil daripada infak individu dan
korporat yang tujuannya adalah memastikan kelangsungan dana prinsipal dan pada
masa yang sama menghasilkan pendapatan berterusan yang akan digunakan untuk
manfaat masyarakat.

Pelaksanaan
Projek Wakaf daripada Dana Wakaf pula haruslah memenuhi kriteria berikut:

  • Memberi kesan ekonomi segera
    kepada ummah (outcome based).
  • Nilai tambah yang mampu menarik
    kelompok pewakaf baharu.
  • Hendaklah diputuskan oleh
    Jawatankuasa Pengurusan Bersama.
  • Projek sedia ada MAIN yang
    memenuhi kriteria atau projek yang baharu dikenalpasti.
  • Mampu mewujudkan kisah kejayaan
    dalam masa tiga tahun dari pelancaran.

Pelaksanaan Dana
Wakaf adalah melalui projek-projek yang dipersetujui berdasarkan empat sektor
iaitu pendidikan, kesihatan, pelaburan, dan pemerkasaan ekonomi.

Projek-projek
MyWakaf

Sejak dilancarkan pada tahun 2017, terdapat tujuh projek yang dipromosikan di portal MyWakaf dengan satu projek telah berjaya mengumpul dana penuh. Orang awam boleh melakukan Wakaf serendah RM10 berdasarkan projek yang mereka minati.

Selain akses
mudah kepada orang ramai, pewakaf boleh melihat latar belakang projek,
perkembangannya, badan pengurusnya, dan kisah-kisah berkaitan dengannya.

MyWakaf boleh diakses di https://www.mywakaf.com.my/

Semoga dengan adanya portal ini, lebih ramai orang dapat melaksanakan ibadah Wakaf dan memastikan pengurusan harta Wakaf secara berkesan dan efisien.

Ditulis oleh Arham Merican, pegawai Shariah di salah sebuah bank Islam antarabangsa dan sedang melanjutkan pengajian peringkat Sarjana dalam bidang Pengajian Pembangunan. Meminati bidang ekonomi dan Shariah dengan fokus pada pemberdayaan modal insan.



Source link