Artikel Terkini

Nak Beli Hartanah Luar Negara? Ambil Tahu 4 Perkara Ini Dulu


Pernah terfikir untuk migrate keluar dari Malaysia? Atau pernah terfikir untuk membuat pelaburan hartanah di luar negara?

Baru-baru ini pun, telah keluar laporan berkenaan Top 5 Pilihan Pelabur Hartanah Antarabangsa di Asia Pasifik, dan sudah pastinya ramai yang teruja untuk membeli hartanah di luar negara.

Rakyat Malaysia yang migrate ke bandar-bandar utama Asia Pasifik seperti Sydney, Melbourne, Tokyo, Seoul dan juga Singapura kian meningkat tahun demi tahun.

Untuk artikel ini, kami akan berkongsikan tips-tips terkini untuk anda yang ingin membeli hartanah di Australia dan Singapura; memandangkan kedua-dua negara ini adalah pilihan paling popular rakyat Malaysia.

Kenapa Australia Dan Singapura?

Membeli hartanah atas kapasiti di Australia telah menjadi popular di kalangan pelabur hartanah asing sejak tahun 1990-an lagi kerana pulangan pelaburan yang tinggi dan faktor ekonomi dan politik di Australia yang stabil.

Sungguhpun begitu,
terdapat beberapa sekatan yang dikenakan kerajaan Australia untuk membeli
hartanah di sana bergantung kepada visa dan status kediaman.

Begitu juga dengan Singapura yang menjadi hub utama Asia dan destinasi pilihan ramai pelabur asing yang ingin melabur atau sekurang-kurangnya mempunyai portfolio hartanah di rantau Asia Tenggara.

Akan tetapi,
percaturan di Singapura sedikit berbeza dengan Australia di mana kos sara hidup
yang tinggi, polisi kerajaan yang meningkatkan harga hartanah dan juga harga
hartanah yang mahal.

Walaupun begitu, Singapura kekal menjadi destinasi popular untuk syarikat global dan individu untuk melabur. Hal ini tidak lain kerana, lokasinya yang strategik dan ekonomi yang stabil.

Kalau nak tahu, Orang Malaysia Kedua Terbanyak Beli Hartanah Di Singapura, Selepas China. Jom kita ambil tahu 4 perkara ini kalau nak beli hartanah luar negara, terutamanya Australia dan Singapura.

1. Jenis Hartanah

Tiada sekatan untuk kita melabur di dalam hartanah jenis kediaman seperti townhouse, kluster dan teres di Australia.

Hartanah jenis
komersial seperti ruang pejabat, kilang, runcit dan logistik juga terbukti
membawa pulangan yang lumayan dalam pelaburan hartanah di Australia.

Kebanyakan pelabur asing membuat pelaburan dan membangunkan hartanah jenis hotel, kelab malam, ladang komersial dan kediaman.

Berbeza dengan
Singapura di mana warga asing mempunyai sekatan dalam pembelian hartanah.

Warga asing boleh membeli hartanah strata samada sudah siap atau sedang dibangunkan seperti kondominium dan servis residen tanpa kelulusan kerajaan Singapura.

Hartanah kurang daripada 6 tingkat tidak boleh dibeli oleh warga asing.

Untuk hartanah landed pula, terdapat sekatan untuk membeli hartanah jenis teres, banglo dan semi-detached dan warga asing perlu mendapat kebenaran dari kerajaan Singapura terlebih dahulu.

Warga asing juga tidak boleh membeli sebarang unit HDB dan
HDB merupakan hak eksklusif warga Singapura sahaja.

“HDB adalah Housing Development Board seperti program Rumah Mampu Milik di Malaysia.”

2. Cukai

Warga asing yang bukan penduduk tetap dan pemegang visa sementara yang ingin membeli hartanah di Australia, wajib mendapat kebenaran daripada Foreign Investment Review Board (FIRB) sebelum membeli hartanah di Australia.

Cukai yang
ditetapkan oleh FIRB bergantung kepada nilai hartanah atau tanah yang dibeli.

No Nilai Hartanah Cukai
1 $1 juta ke bawah $5,700
2 $1 juta ke $1,999,999 $11,500
3 $2 juta ke $2,999,999 $23,100
4 $3 juta ke $3,999,999 $34,600
5 $4 juta ke $4,999,999 $46,200
6 $5 juta ke $5,999,999 $57,700
7 $6 juta ke $6,999,999 $69,300
8 $7 juta ke $7,999,999 $80,900
9 $8 juta ke $8,999,999 $92,600
10 $9 juta ke $9,999,999 $104,100
11 $10 juta ke atas Bergantung kepada FIRB
12 Tanah Pertanian Bergantung kepada FIRB

Warga asing yang ingin membeli hartanah di Singapura wajib membayar duti setem dan juga cukai tambahan sebanyak 20% untuk semua jenis hartanah.

No Harga Kadar Duti Setem
1 $180,000 yang pertama 1%
2 $180,000 seterusnya 2%
3 $640,000 seterusnya 3%
4 Baki (untuk hartanah kediaman sahaja) 4%

3. Bagaimana Nak Mula?

Jika anda bercadang
untuk membeli hartanah di Australia, anda boleh mulakan dengan mencari Conveyancer (Penyiar) dan peguam untuk
membantu urusan guaman anda.

Conveyancer yang nak dilantik perlu berada dari daerah yang sama dengan daerah hartanah yang ingin dibeli.

Tugas mereka adalah membantu kita melengkapkan carian hartanah, membantu proses pindah milik dan mengkaji semula kontrak sebelum kita menandatanganinya.

Selain daripada itu, kita boleh dapatkan khidmat broker hartanah yang berpengalaman dalam membantu warga asing untuk membeli hartanah di Australia.

Akhir sekali, kita boleh mendapatkan khidmat akauntan dan ejen hartanah untuk melicinkan lagi proses dokumen. Ejen hartanah tersebut boleh bantu untuk menyelesaikan segala proses jual beli hartanah di Australia, tanpa kita perlu pergi ke Australia.

Di Singapura pula, 75% rakyat di sana menggunakan khidmat ejen
hartanah
untuk sebarang proses jual beli hartanah.

Bagi warga asing pula, kita disarankan untuk mengupah peguam tempatan yang berkelayakan dalam urusan jual beli hartanah di Singapura.

Tugas peguam adalah untuk merangka kontrak, melakukan carian untuk mengesahkan butiran mengenai harta dan pemilikannya, serta memastikan harta itu tidak akan terjejas oleh sebarang projek infrastruktur utama di masa hadapan.

Peguam juga bertanggungjawab untuk melakukan screening dari pihak penjual, bagi mengelakkan kita daripada menjadi mangsa penipuan.

4. Pembiayaan / Pinjaman

Untuk pembiayaan hartanah di Australia, ianya sangat bergantung kepada status visa anda.

Terdapat kadar yang berbeza untuk pemohon bukan pemastautin dan penduduk tetap. Kita boleh mendapatkan sehingga 80% pinjaman daripada nilai hartanah anda.

This image has an empty alt attribute; its file name is Nak-Beli-Hartanah-Luar-Negara-Ambil-Tahu-4-Perkara-Ini-Dulu7.jpg

Seperti di Malaysia, bank di Australia turut menawarkan jenis pinjaman Variable Home Loan, Fixed Rate Loan dan Flexi Home Loan.

Kadar perbandingan dari 3.17% sehingga 8.17%. Manakala kadar faedah pula dari 2.94% sehingga 7.49%.

Manakala di Singapura pula, mereka mempunyai bank yang khusus bagi membantu warga asing untuk membeli hartanah di sana.

UOB (United Overseas Bank) merupakan salah satu bank terbesar di Singapura yang menawarkan pembiayaan khusus untuk warga asing.

Manakala DBS (Development
Bank Singapore) adalah bank terbesar di Singapura dengan lebih daripada empat
juta pelanggan di Singapura sahaja.

Kita perlu membayar ‘option fee’, apabila anda bersetuju untuk membeli rumah, iaitu deposit 1%, dan ini bermaksud anda berhak untuk membeli harta itu selama dua minggu. Dalam tempoh dua minggu ini, anda perlu membayar baki 9% lagi untuk menyelesaikan pembayaran deposit anda.

Jika kita bukan di Singapura, kita mungkin perlu membayar deposit dari luar negara. Ini bermakna kita perlu membuat pemindahan wang antarabangsa.

Peluang Terbuka Luas Untuk Kita Melabur Hartanah Luar Negara

Ada yang ingin membeli hartanah di luar negara atas tujuan untuk migrasi, pelaburan hartanah dan juga untuk mempelbagaikan portfolio.

Walau apapun alasan dan tujuan kita, kita digalakkan untuk meminjam dari panel bank di negara tersebut. Elakkan daripada memohon pinjaman dari bank Malaysia untuk proses pembelian hartanah di luar negara.

Kadar faedah dan kadar pertukaran mata wang asing yang tinggi akan meningkatkan lagi kos anda.

Jika kita tetap ingin membeli dan memohon pembiayaan dari Malaysia, boleh gunakan aplikasi penghantaran wang dengan kadar caj yang minimum.

Semoga yang berhasrat untuk membeli hartanah di luar negara berjaya!

Sumber Rujukan:

  1. TransferWise
  2. Singapore Expats
  3. Home Loan Expats
  4. Telegraph UK
  5. Open Agent



Source link