Artikel Terkini

Nak bercuti luar negara? Sabar dulu…



PUTRAJAYA: Perbincangan pembukaan semula sempadan antarabangsa untuk enam negara berstatus zon hijau membabitkan Singapura, Australia, Brunei, New Zealand, Jepun dan Korea Selatan masih di peringkat awal.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini dua negara iaitu Singapura dan Brunei masih belum memberi persetujuan berhubung perbincangan tersebut.

Menurutnya, dalam usaha membuka sempadan negara, Malaysia dan negara tersebut perlu mencapai persetujuan bersama terutamanya dari segi pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP).

“Setakat ini kita berbincang dengan pelbagai agensi dan negara berkenaan tapi masih di peringkat awal, masih belum mendapat persetujuan dari dua negara. Kita kena pastikan dua-dua negara setuju terutamanya dari segi pelaksanaan SOP.

“Pada peringkat ini, kita hanya laksanakan perbincangan dulu dan kita juga kenal pasti ada beberapa negara lain lagi. Kita harap dapat capai persetujuan dengan Singapura dan Brunei tapi perbincangan masih di peringkat awal.

“Kerjasama antara dua negara penting dan sekarang perbincangan bukan hanya melibatkan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) tapi melibatkan Kementerian Luar Negeri dan sebagainya,” katanya dalam sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini pada Isnin.

Jumaat lepas, Dr Noor Hisham berkata KKM sedang meneliti pembukaan semula sempadan antarabangsa untuk enam negara berstatus zon hijau.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pembukaan secara bersyarat itu masih dalam proses perbincangan.





Source link