Artikel Terkini

New Bayani: Tangisan Mark Adam di sebalik senyuman



“APA-apa sahaja, yang kita alami dalam kehidupan ini, kita buat perkara yang baik daripada itu, walaupun ianya buruk.”

Itu kata-kata semangat Mark Adam, seorang penyanyi kelahiran Filipina yang telah menempah namanya dalam industri hiburan di Malaysia.

Bukan sahaja suaranya yang lunak, penyanyi ini sentiasa berpenampilan menarik dan ceria.

Jenakanya sentiasa mencuit hati penonton dan para peminat.

Di kaca televisyen, riak wajahnya hanya dilihat sebagai seorang artis luar negara yang berbakat dan berjiwa besar. Fasih menggunakan Bahasa Malaysia, Mark tidak pernah kekok menceritakan tentang kesempitan hidupnya sewaktu membesar di Cebu, Filipina.

Di sebalik senyuman manis di wajahnya, ada kisah jerih payah yang dihadapinya ketika mula menempa nama sebagai seorang anak seni.

Bagi Mark, 40 tahun, keputusan untuk berhijrah ke Malaysia adalah untuk mengubah nasib keluarganya. Mark juga ditawarkan biasiswa untuk melanjutkan pengajian di universiti dalam bidang kejuruteraan awam.

Namun, dia terpaksa melupakan hasrat itu dan memilih jalan lain sebagai penghibur di Malaysia.

Situasi yang menguatkan lagi Mark untuk bertarung nasib menyerlahkan bakatnya di negara orang adalah apabila ayahnya terlantar sakit di hospital tidak lama dahulu.

“Saya perlukan duit untuk selamatkan ayah saya. Jadi, saya merantau ke Malaysia. Saya tak tahu apa yang akan jadi masa akan datang,” ujarnya.

Mark turut bersyukur dengan kehadiran seorang wanita dalam hidupnya. Isterinya, Norazah Redzuan juga tidak putus-putus membantunya dalam menyara kos perubatan ayahnya. Norazah kini bertugas sebagai pengurusnya dan bertanggungjawab mengendali rutin nyanyian dan lakonan Mark di Malaysia atau luar negara.

Segalanya berubah apabila mereka mula membina rumah tangga pada 2003.

“Apa sahaja duit yang saya dapat di sini (Malaysia), saya perlu kirimkan kesemua duit itu kepada ayah,” kongsi Mark menerusi sebuah dokumentari New Bayani di Facebook Astro AWANI.

New Bayani merupakan dokumentari baharu, hasil kerjasama International Centre for Journalist (ICFJ), memaparkan kisah-kisah pengorbanan dibuat seseorang penghijrah yang menyentuh emosi penonton.

Mark turut berkongsi pengalamannya ketika pertama kali memijak Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Mark seolah-olah mengalami kejutan budaya apabila terpegun melihat keindahan struktur bangunan lapangan terbang itu.

Selain Mark, ada ramai migran dari Filipina yang mengambil keputusan untuk berhijrah ke Malaysia bagi mencari rezeki dan membaik pulih kualiti kehidupan keluarga mereka di kampung halaman.

Jika Mark berjaya mencipta nama di Malaysia, lain pula kisahnya seorang pembantu rumah, Flora May Forosuelo.

Flora meninggalkan tiga orang anaknya di bandar Ozamiz, Filipina kerana terpaksa berhijrah ke Singapura dan Malaysia demi mencari rezeki.

“Saya mula mohon pekerjaan di Singapura pada tahun 1993.

“Pada mulanya agak sukar untuk saya menyesuaikan diri di Singapura. Tentunya saya sentiasa terfikirkan anak kecil saya,” kongsi Flora, sambil menambah dia hanya berhubung dengan anak-anak menerusi panggilan telefon.

Bagi anak lelaki Flora, Jonathan Roa Forosuelo, dia masih ingat ketika ibunya meninggalkan adik-beradiknya sejak kecil. 

“Saya masih ingat lagi pada umur dua tahun, dia meninggalkan kami kerana dia tidak dapat memberikan keperluan asas kepada kami,” kongsi Jonathan.

Lebih menyayat hati, kongsi Flora, suaminya merupakan seorang kaki perempuan. Namun, dia lebih memikirkan tentang masa depan anaknya membuatkan dia terpaksa mencari pendapatan di tempat orang.

Individu seperti Mark Adam dan Flora ini boleh dikatakan sebagai wira yang tidak disanjung.

Mereka, bagaimanapun, sewajarnya dipuji kerana sanggup mengambil risiko demi meneruskan kehidupan.

‘New Bayani’ merupakan video bersiri hasil tajaan dan kolaborasi Astro AWANI bersama Facebook dan International Centre for Journalist yang berpangkalan di Washington.

* Video penuh New Bayani boleh ditonton di Facebook Astro AWANI. 





Source link