Artikel Terkini

Nigeria dijangka tingkatkan import minyak sawit Malaysia – MPOC



KUALA LUMPUR: Nigeria dijangka meningkatkan import minyak sawit mentah (MSM) serta olein sawit dari Malaysia bagi menambah stok simpanan serta menampung permintaan pasca COVID-19.

Menurut Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), langkah itu turut dipacu oleh pengumuman kerajaan Malaysia baru-baru ini berhubung pengecualian 100 peratus duti eksport MSM mulai 1 Julai sehingga 31 Dis, 2020 yang memberi kelebihan kepada pengeksport tempatan.

Dalam laporan mengenai pasaran minyak sawit Nigeria pada Jumaat, MPOC berkata faktor-faktor utama yang merangsang penggunaan minyak sawit di negara Afrika itu adalah peningkatan permintaan pengguna berikutan pertambahan saiz penduduk selain harga MSM di peringkat global.

“Penurunan harga antarabangsa MSM lazimnya akan meningkatkan import minyak sawit selain faktor penyeludupan dari negara-negara jirannya di Afrika Barat.

“Meskipun membayar duti import sebanyak 35 peratus, para pengimport di Nigeria juga tidak dihalang daripada mengimport lebih banyak minyak sawit Malaysia dan Indonesia.

“Ini disebabkan permintaan itu sentiasa ada dan minyak sawit import juga jauh lebih murah berbanding yang dihasilkan di peringkat tempatan,” katanya.

MPOC berkata aliran pertumbuhan itu juga diunjur berterusan pada kadar lebih rendah ketika minyak sawit terus menjadi sumber makanan utama bagi penggunaan isi rumah (permintaan sebanyak 70 peratus) manakala bakinya membabitkan sektor pengeluaran dan HORECA (hotel, restoran dan kafe).

Menurut laporan itu, sejajar dengan jangkaan bancian 2019 mengenai pertambahan penduduknya mencecah 200 juta orang, keperluan tahunan Nigeria bagi minyak sayuran dan lelemak adalah 2.34 juta tan metrik demi menampung keperluan makanan dan penggunaan bukan makanan di peringkat domestik.

“Nigeria merupakan negara pengguna terbesar minyak dan lelemak di benua kecil Afrika serta pengimport terbesar minyak sawit Malaysia dari rantau itu,” katanya.

Selain minyak sawit Malaysia, Nigeria turut mengimport sejumlah besar komoditi itu dari Indonesia dan negara jirannya seperti Benin, Togo dan Ivory Coast.

“Sejak lima tahun lepas, purata import minyak sawit Nigeria adalah 1.31 juta tan metrik setahun,” katanya.

Purata import minyak sawit Malaysia bagi tempoh tersebut adalah kira-kira 240,000 tan metrik setahun dengan bahagian bahagian pasarannya sekitar 18 peratus.

Untuk rekod, jumlah tahunan tertinggi minyak sawit Malaysia yang pernah diimport oleh Nigeria adalah sebanyak 384,000 tan metrik pada 2011.

Mengikut data Oil World, stok minyak sawit Nigeria pada akhir Mac 2020 mencecah 100,000 tan metrik berbanding jumlah simpanan minyak sayuran sebanyak 124,000 tan merik, sekali gus menjadikan stok simpanan minyak sawit meliputi 81.5 peratus daripada jumlah simpanan minyak sayuran.

Berdasarkan aliran itu, stok simpanan minyak sawit dijangka menyaksikan aliran penurunan daripada paras tinggi sebanyak 295,000 tan metrik pada akhir Mac, 2019.

Sementara itu, maklumat eksport minyak sawit Malaysia oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia menunjukkan bagi tempoh Jan-Mei 2020, Nigeria telah mengimport sejumlah 113,000 tan metrik komoditi itu, kebanyakannya dalam bentuk MSM/olein sawit.

Angka itu adalah 13.2 peratus lebih rendah berbanding tempoh sama tahun lepas.

Mengikut aliran 2019, import minyak sawit Malaysia bagi Jun-Ogos adalah rendah iaitu hanya 33,800 tan metrik.

“Bagaimana pun dalam keadaan sekarang dengan paras stok simpanan yang rendah, peningkatan permintaan dan harga minyak sawit yang amat kompetitif, adalah dijangkakan Nigeria akan mengimport lebih banyak minyak sawit,” kata MPOC.

— BERNAMA





Source link

Related Posts