Artikel Terkini

Nike Vaporfly, Kasut Sukan Kontroversi Yang Bakal Diharamkan Di Sukan Olimpik 2020


Sebut sahaja jenama Nike,pasti ramai di kalangan kita yang memiliki kasut berjenama ini. Kasut yang popular yang berasal dari Amerika Syarikat telah lama bertapak di dunia sejak tahun 1980-an.

Di antara faktor kejayaan yang mempengaruhi kejayaan Nike selain daripada kualiti kasut itu sendiri, adalah faktor pemasaran yang dilakukan oleh syarikat tersebut dalam memperkenalkan produk mereka kepada masyarakat.

Hal ini terbukti apabila Steve Jobs sendiri mengakui bahawa teknik pemasaran yang dilakukan oleeh Nike sangat mempengaruhi Apple untuk berkembang.

Nike sekali lagi menarik perhatian masyarakat dengan mengeluarkan produk kasut sukan yang mencetuskan kontroversi di kalangan pelari sukan Marathon.

Buat pertama kali dalam sejarah dunia sukan Marathon, pelari bernama Eliud Kipchoge telah berjaya memecah rekod dunia di dalam sukan itu. Beliau berjaya menamatkan perlumbaan sukan Marathon kurang dari dua jam pada Oktober 2019 yang lalu.

Pada bulan yang sama juga, seorang lagi pelari Marahton wanita yang bernama Brigid Kosgei telah memecah rekod dunia di dalam kategori wanita.

Apa yang menarik mengenai kedua-dua pelari ini adalah, ketika perlumbaan Marathon tersebut mereka berdua memakai kasut Nike Vaporfly. Ini bukan pertama kali ianya terjadi, kebanyakan pelari amatur  di Amerika Syarikat juga memakai kasut yang dibangunkan oleh Nike ini dan berjaya menamatkan perlumbaan pada kedudukan hadapan berbanding dengan kasut jenama lain.

Apa Yang Istimewa Sangat Nike Vaporfly?

Keistimewaan yang pertama yang terdapat di dalam kasut Nike Vaporfly adalah ketebalan tapak kasut ini berbanding dengan kasut pesaing mereka.

Kasut ini yang mempunyai tapak yang sedikit tebal dan dihasilkan menggunakan teknologi yang dikenali sebagai ZoomX Foam.

Pihak Nike yang mendakwa bahan ini diguna pakaidalam pembangunan teknologi yang melibat aerospace. Foam ini dikatakan ringan dan mampu memberi penjimatan tenaga kepada pemakainya sebanyak 4% berbanding dengan kasut sukan yang lain.

Jika kasut ini diharamkan ketika sukan Olimpik di Tokyo berlangsung, ini bukan kali pertama Nike menghadapi situasi seperti itu di dalam pertandingan. Sebelum wujudnya Vaporfly, Nike telah menghadapi krisis yang sama di mana kasut yang dihasilkan mereka telah diharamkan di dalam pertandingan bola keranjang di Amerika Syarikat pada tahun 1984.

Di antara kasut yang pernah diharamkan adalah kasut jenama Air Jordan 1, di mana Nike telah berkolaborasi dengan pemain bola keranjang terhebat sepanjang zaman iatiu Michael Jordan.

Kasut ini diharamkan kerana tidak mengikut peraturan yang telah ditetapkan di dalam sukan NBA. Dengan pengharaman kasut ini dalam pertandingan, ia telah menarik perhatian orang ramai untuk mendapatkan kasut ini. Kesannya, kasut ini merupakan di antara kasut yang paling mahal yang pernah dihasilkan oleh Nike kerana para penjual telah meletakkan harga yang tinggi disebabkan permintaan yang tinggi.

Selain kasut yang dipakai oleh Michael Jordan, Roger Federer juga pernah menerima nasib serupa apabila kasut Nike Zoom Vapor 9 Tour Grass telah diharamkan. Ianya gara-gara tapak yang berwarna oren ketika kejohanan tenis Wimbledon pada tahun 2013, di mana peraturan pada ketika itu memerlukan setiap pemain wajib memakai pakaian yang berwarna putih termasuklah kasut.

Tidak mustahil kasut Nike Vaporfly bakal diharamkan di dalam temasya Sukan Olimpik yang bakal diadakan di Tokyo kerana faktor memberi kelebihan kepada pemakainya.

Organisasi Olimpik juga sebelum ini pernah mengaharamkan pakaian renang yang dipakai oleh perenang sensasi dunia dari Amerika Syarikat iaitu Michael Phelps, kerana pakaian renang yang dihasilkan oleh Speedo telah memberinya satu kelebihan kepada dirinya berbanding peserta lain.

Jika kasut Nike Vaporfly ini diharamkan, ia pastinya akan menjadi kasut buruan orang ramai dan harga pasaran akan menjadi lebih tinggi daripada harga runcit seperti yang berlaku kepada kasut Nike Air Jordan 1.

Walaupun kasut sukan untuk berlari tidak begitu popular berbanding dengan kasut sukan yang lain, ia tetap menjadi perhatian kepada golongan pemburu kasut yang inginkan kasut yang unik di dalam koleksi mereka.

Kita sama-sama nantikan pengumuman yang akan dilakukan oleh jawatankuasa Olimpik mengenai nasib kasut ini tidak lama lagi.

Sumber Rujukan:

https://www.fastcompany.com/90450018/how-the-end-of-the-white-majority-could-change-office-dynamics-in-2040



Source link