Artikel Terkini

Nilai Dan Pengajaran Dari Kehidupan Jesse Livermore, Seorang Trader Lagenda


Siapa yang kenal Jesse Livermore, angkat tangan! Kalau anda kenal individu ini, kemungkinan besar anda adalah seorang trader.

Jesse Livermore adalah merupakan di antara trader yang paling terkenal dalam sejarah pasaran saham. Ini adalah kerana kisah naik dan turun hidupnya sangat menarik dan sarat dengan nilai dan pengajaran yang kita semua boleh teladani.

Kehidupan

Lahir pada tahun 1877, Jesse Lauriston Livermore merupakan seorang anak peladang yang pada mulanya disangkakan akan mengikut jejak langkahnya menjadi seorang peladang. Namun, apabila ayahnya cuba memberhentikannya dari sekolah untuk mengajarnya menjadi peladang pada umur 14 tahun, beliau meninggalkan rumah dan pergi ke sebuah firma broker saham di Boston bernama Paine Webber.

Di situlah
Livermore menjadi board boy (orang yang menulis harga saham di papan
hitam) dan belajar tentang harga saham melalui sesuatu yang dinamakan trend.
Dalam masa hanya beberapa minggu, pendapatannya melalui trading melebihi
pendapatan melalui kerjayanya sebagai board boy.

Kejayaan

Livermore pun meninggalkan Paine Webber dan mula trading di sebuah kedai di Boston, namun dia sering ditendang keluar kerana membuat terlalu banyak keuntungan. Kemudian, beliau berhijrah ke New York pada tahun 1899 dan berkahwin.

Ketika ini Livermore hilang segalanya akibat kegagalan dalam trading, namun bangkit semula dengan membuat keuntungan USD5,000 (kini nilainya lebih kurang USD155,000).

Pada umur 24 tahun, beliau membuat keuntungan sebanyak USD50,000 (kini USD1.5 juta), kemudiannya hilang kesemuanya sekali lagi akibat kerugian daripada trading kapas. Selepas kejadian itu, beliau menjadi takut dan hanya trade dalam jumlah yang kecil.

Pada umur 28 tahun, Livermore merasakan seperti ada suatu kuasa “psikik” yang mempengaruhinya untuk mengambil short position untuk sebuah saham yang bernama Union Pacific. Akibat gempa bumi yang berlaku ketika itu, saham tersebut merudum dan Livermore untung sebanyak USD250,000 (kini lebih dari USD7 juta)!

Pada tahun selepas itu, beliau telah mengambil short position pasaran saham, dan sekali lagi membuat keuntungan besar. Beliau membuat keuntungan USD 1 juta (kini USD27 juta) dalam masa SEHARI hasil dari transaksi tersebut.

Apabila pasaran pulih kembali, dia masih membuat keuntungan dengan menutup short dan membeli saham dengan harga yang rendah. Dia kemudiannya menubuhkan sebuah operasi untuk trading dan membuat keuntungan sebanyak USD15 juta (kini lebih USD400 juta).

Kisah kejayaan Livermore tidak berhenti di situ. Beliau masih lagi berjaya dalam kegiatan trading pada tahun-tahun selepas itu, contohnya keuntungan sebanyak USD100 juta (kini USD1.5 bilion) ketika peristiwa Black Tuesday.

Kejatuhan

Apa yang berlaku seterusnya ialah siri kesilapan yang menyebabkan kejatuhan Livermore secara mutlak. Menurut Tom Rubython di dalam bukunya ‘Jesse Livermore – Boy Plunger’, tindakan Livermore yang tidak konsisten dan tidak logik menyebabkan beliau melawan peraturan tradingnya sendiri.

Jika Livermore menurut peraturan yang dia sendiri telah tetapkan, dia sepatutnya tidak menyertai pasaran saham ketika itu dan hanya menyimpan tunai. Tetapi dia tidak sabar untuk menawan pasaran saham sekali lagi.

Dalam masa 18 bulan, Livermore kehilangan 40% dari keuntungannya kerana membuat long position ketika kejatuhan pasaran saham tahun 1932. Kemudian, beliau menukar strategi dan membuat short position – lalu pasaran saham bertukar arah dan naik 2 kali ganda.

Tahun 1933 merupakan “hadiah” terakhir pasaran saham buat Livermore, apabila beliau menukar kembali short position kepada long position sejurus sebelum pasaran saham kembali merudum.

Livermore akhirnya membunuh diri, walaupun masih berjaya meneruskan hidup selepas bankrap dengan bergantung kepada harta isterinya. Ketika kematiannya, dia tidak memiliki satu sen pun wang, malah dia berhutang USD5 juta (kini USD70 juta) kepada broker-broker yang mendahulukan wang untuknya.

Banyak sebenarnya pengajaran yang boleh kita ambil daripada kisah hidup Jesse Livermore seperti berikut:

1. Disiplin Dalam Trading

Tiada keuntungan yang dijanjikan dalam trading. Namun, jika kita berdisiplin mengikut strategi yang terbukti berkesan, kita akan menang dalam jangka masa panjang.

Tetapkan strategi cut loss, entry point dan exit point dan ikut!

2. Uruskan Risiko Dengan Cermat

Jangan sesekali mengambil position yang terlalu besar sehingga boleh menjejaskan kehidupan anda. Hanya mula trading apabila kita sudah berjaya mengumpul sebanyak 6 bulan wang gaji sebagai simpanan dan jangan sentuh wang tersebut.

Gunakan wang lebihan yang kita sanggup rugi.

3. Belajar Duduk Diam Dan Sabar

Jika sistem trading kita menyuruh untuk hold, maka jangan berbuat apa-apa selain hold. Jika kita sudah tidak lagi mengikut sistem yang ditetapkan, ketahuilah bahawa itu ialah “berjudi”, bukan lagi trading.

4. Terus Belajar Dan Memperbaiki Kemahiran

Menurut
Livermore: pemerhatian, pengalaman, daya ingatan dan matematik mestilah
digunapakai untuk berjaya dalam trading. Seseorang itu mestilah bukan
sahaja memerhati tapi mesti mengingati pemerhatian tersebut.

5. Jangan Pedulikan Tips

Livermore amat benci kepada tips kerana sering menyebabkannya kerugian yang besar. Sekiranya tips tersebut sehaluan dengan sistem yang kita telah bina, tidak mengapa.

Semoga
bermanfaat!

Sumber Rujukan:

Ditulis oleh Azam, seorang pengurus dana saham antarabangsa di sebuah institusi kewangan di Malaysia.

Penafian: Artikel ini merupakan pendapat dan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan rasmi mana-mana individu/organisasi. Penulis tidak menerima sebarang bayaran pengiklanan dari mana-mana individu/organisasi yang disebutkan di dalam artikel ini.



Source link