Uncategorized

Non-Farm Payroll (NFP): Data Yang Ditunggu-Tunggu Pelabur Global Setiap Bulan, Apakah NFP Ni?

Non-Farm Payroll (NFP): Data Yang Ditunggu-Tunggu Pelabur Global Setiap Bulan, Apakah NFP Ni? 1


Ramai pemerhati pasaran di Malaysia sama ada yang terlibat secara langsung atau tidak langsung di dalam pasaran modal, menggunakan pemahaman ‘Fundamental’ untuk membuat keputusan pelaburan dan dagangan mereka. Di antaranya adalah dengan melihat keadaan ekonomi sesuatu negara daripada segi dasar monetari, keadaan politik, sehinggalah data-data ekonomi seperti inflasi.

Di dalam banyak-banyak laporan ekonomi, terdapat satu laporan data pekerjaan di Amerika Syarikat yang menjadi tumpuan pelabur global setiap bulan dalam mengukur tahap kesihatan ekonomi global, di atas sebab Amerika Syarikat sebagai ekonomi terbesar dunia.

Data tersebut adalah data pekerjaan yang dikeluarkan pada hari Jumaat pertama setiap bulan oleh Jabatan Buruh Amerika Syarikat, yang merangkumi beberapa jenis data buruh. Ini termasuklah tiga data yang penting iaitu Non-Farm Payrolls (perubahan bersih jumlah pekerjaan), Average Hourly Earnings (kadar purata gaji per jam) dan Unemployment Rate (kadar pengangguran).

Ketiga-tiga data ini lebih dikenali sebagai Non-Farm Payroll (NFP) di kalangan pelabur dan mempunyai beberapa lagi komponen-komponen data penting seperti kadar penyertaan tenaga buruh, jumlah perubahan pekerjaan daripada sektor swasta dan kerajaan. Namun, tumpuan kita adalah lebih kepada tiga data penting ini.

Non-Farm Payroll (NFP): Data Yang Ditunggu-Tunggu Pelabur Global Setiap Bulan, Apakah NFP Ni? 2
Data NFP : Sumber Trading Economics.

Kenapa Data Ini Begitu Penting?

Data NFP sering mendapat liputan oleh agensi-agensi berita terkenal pasaran termasuklah Bloomberg, Reuters dan CNBC kerana kesannya yang mampu menjadi catalyst kepada pasaran. Ia adalah bacaan asas yang menggerakkan ekonomi Amerika Syarikat sebagai sebuah negara yang berpandukan perbelanjaan pengguna, yang merangkumi hampir 70% daripada keseluruhan ekonomi negara itu.

Sebagai sebuah negara yang banyak bergantung kepada perbelanjaan pengguna, keadaan pasaran buruh dan kadar gaji mereka memberi kesan langsung kepada pertumbuhan ekonomi. Jika lebih banyak penduduk bekerja dan gaji pula meningkat, sudah tentu ekonomi menjadi lebih rancak kerana permintaan yang kukuh di negara tersebut.

Kesan Kepada Dasar Monetari The Federal Reserve (The Fed)

Non-Farm Payroll (NFP): Data Yang Ditunggu-Tunggu Pelabur Global Setiap Bulan, Apakah NFP Ni? 3

Ada dua matlamat utama bank pusat AS (Federal Reserve) iaitu untuk mencapai guna-tenaga penuh (full-employment) dan juga menstabilkan kadar inflasi. Dengan dua mandat ini, penting bagi The Fed meneliti bacaan data NFP dan bagaimana ia berubah dari semasa ke semasa; khususnya kepada perubahan bersih jumlah pekerjaan dan kadar purata gaji per jam.

Walaubagaimanapun, bank pusat perlu fleksibel dalam menetapkan dasarnya dengan mengimbangi
kedua-dua mandat tersebut.
Hal ini kerana guna-tenaga penuh boleh
menyebabkan peningkatan inflasi sekaligus memaksa Fed menaikkan kadar faedah
yang kemudiannya mengurangkan aktiviti ekonomi.

Kemerosotan aktiviti ekonomi pula membawa kepada pengurangan jumlah pekerjaan dan seterusnya memaksa The Fed menurunkan kadar faedahnya. Ini adalah satu proses perubahan ekonomi daripada pengembangan (expansion) kepada kemelesetan (recession) dan kembali semula kepada pengembangan (expansion) dan seterusnya kemelesetan.

Dalam satu-satu masa, The Fed atau bank pusat yang lain di dunia mempunyai fokus mereka yang tersendiri mengikut keadaan semasa. Contohnya semasa kemelesetan ekonomi, fokus bank pusat akan lebih terarah kepada guna-tenaga penuh berbanding inflasi. Ia dapat dilihat pada tempoh selepas The Great Depression tahun 2008 di Amerika Syarikat. Bagi tempoh tahun 2016 hingga sekarang, fokus The Fed adalah lebih kepada menstabilkan inflasi di sekitar paras 2%. Ia dapat dilihat pada penghujung 2015 apabila Fed menaikkan kadar faedah buat pertama kali sejak tahun 2008.

Untuk The Fed mendapatkan gambaran semasa pasaran pekerjaan di Amerika Syarikat, ia akan melihat data NFP iaitu Non-Farm Payrolls (perubahan bersih jumlah pekerjaan). Manakala data kadar purata gaji per jam (average hourly earnings) pula adalah proksi kepada kadar inflasi.

Bagaimana Data NFP Memberi Kesan Kepada Wall Street?

Non-Farm Payroll (NFP): Data Yang Ditunggu-Tunggu Pelabur Global Setiap Bulan, Apakah NFP Ni? 4

Sejak awal tahun 2019, jangkaan terhadap perubahan kadar faedah oleh Federal Reserve seringkali memberi kesan kepada prestasi indeks saham di Wall Street. Hal ini dapat dilihat pada bulan Jun 2019 apabila kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh The Fed bersifat dovish (cenderung kepada pelonggaran dasar monetari) disebabkan ketidaktentuan ekonomi global. Pelabur melihat perkara ini sebagai satu isyarat di mana The Fed tidak akan menaikkan kadar faedah lebih awal seperti yang dijangka pada tempoh sebelum ini.

Malahan, terdapat jangkaan untuk bank pusat Amerika
Syarikat itu menurunkan kadar faedahnya pada tahun 2019. Hal ini menguatkan lagi keyakinan pelabur bahawa keadaan kredit kekal
longgar dalam satu tempoh masa yang dapat menggalakkan aktiviti pelaburan baru
di negara itu.
Hasilnya, S&P 500 merekodkan prestasi positif pada bulan
Jun selepas jatuh pada bulan Mei.

Dalam hal ini, The Fed sebagai regulator pasaran kewangan perlu meneliti data-data ekonomi semasa sebelum menetapkan dasar. Data NFP yang merangkumi keadaan pasaran buruh secara keseluruhan dapat memberikan gambaran sebenar tentang jangkaan terhadap langkah yang mungkin diambil oleh The Fed pada masa hadapan.

Contohnya, dengan jangkaan penurunan kadar faedah di masa hadapan, jika data kadar purata gaji per jam (average hourly earnings) yang merupakan proksi kepada inflasi meningkat; ia akan menambah kebarangkalian untuk The Fed menurunkan kadar faedahnya di masa hadapan.

Manakala, jika data non-farm payrolls (perubahan
bersih jumlah pekerjaan) masih merekodkan bacaan rendah seperti bulan Mei 2019,
kebarangkalian untuk Fed menurunkan kadar faedah juga akan turut meningkat
sekaligus berkemungkinan menolak indeks di Wall Street lebih tinggi disebabkan
keadaan kredit yang kekal longgar.

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Non-Farm Payroll (NFP): Data Yang Ditunggu-Tunggu Pelabur Global Setiap Bulan, Apakah NFP Ni? 5

Komen

komen





Source link