Artikel Terkini

Normal baharu di UK tak banyak beza, kami boleh sesuaikan diri – Rakyat Malaysia


MENYAMBUT Ramadan dalam normal baharu di Britain tiada banyak perbezaan.

Secara asasnya, hanya beberapa kekangan perlu diadaptasi dan disesuaikan susulan perintah sekatan pergerakan atau lockdown yang dilaksanakan.

Berada di perantauan sejak tujuh tahun lalu, rakyat Malaysia di Coventry, Nur Alifah Abd. Rahman, menceritakan, bezanya Ramadan tahun ini adalah mereka tidak lagi dibenarkan untuk berjemaah di masjid atau surau, selain bersolat tarawih bersama komuniti senegara seperti tahun-tahun sebelumnya.

Mungkin Nur Alifah dan suami boleh menyesuaikan diri, namun bagi anak-anak mereka yang masih kecil, banyak persoalan yang perlu diberikan penjelasan sewajarnya.

Selain tidak boleh berjumpa sepupu mereka, anak-anak itu juga kerap tertanya-tanya tentang kunjungan ke surau untuk solat berjemaah yang tidak lagi dilakukan.

Sambutan Ramadan dalam keterbiasan baharu di Britain tidak banyak beza buat Nur Alifah sekeluarga, malah mereka sudah biasa dengan suasana seperti itu

“Jadi tahun ini memang terasa sangat, lebih-lebih lagi anak-anak. Mereka cakap ‘ala Mama, dah tak pergi surau lagi ke?’

“Mereka suka pergi surau suka ramai-ramai, tahun ini memang terasa sebab semua tu tak boleh buat,” ujarnya.

Kelaziman baharu lain yang dirasai adalah ketiadaan rasa teruja untuk mencari kuih-muih tradisional lantaran tiada lagi bazar Ramadan.

Namun begitu, bagi Nur Alifah, situasi tersebut ada sisi positifnya – ia mendorong dirinya untuk membuat sendiri kuih-muih yang teringin untuk dimakan.

“Kawasan ni memang tak ada bazar Ramadan. Di sini selalu dalam sebulan ada dua atau tiga kali bazar dianjurkan setiap hujung minggu. Tapi tahun ni tak ada. Apa yang kita boleh buat adalah membuat pesanan peribadi ataupun menggunakan khidmat penghantaran.

“Semua sudah berbeza, kalau ‘craving’ kuih-muih kena buat sendiri. Semua sudah jadi chef kat rumah,” ceritanya lagi.

Tempoh lockdown banyak memberi masa dan peluang untuk Nur Alifah memperbaiki kemahiran masakannya

Mengulas lanjut, katanya, normal baharu yang paling jelas buat masa ini adalah lebih masa berkualiti bersama keluarga.

Sebagai contoh, segala aktiviti termasuk aktiviti riadah dapat dilakukan bersama.

“Bila di rumah, nak kawal anak-anak lebih mudah. Memang untuk aktiviti sekeluarga, selalu dapat capai. Solat berjemaah sama, buka puasa sama, sahur sama, tadarus bersama.

“Ini suatu stepping point untuk anak-anak yang duduk di luar negara yang saban hari didedahkan dengan budaya bukan Islam,” katanya lagi.

Baginya, tiada yang mustahil untuk dirinya dan keluarga untuk menempuhi fasa normal baharu pada hari-hari mendatang.

Mengulas tentang Aidilfitri yang bakal menjelma, kata Nur Alifah, pastinya ia disambut dalam serba sederhana, keadaan itu disifatkan tidak banyak berbeza seperti tahun-tahun sebelumnya.

“Kami sudah biasa sambutan sederhana. Ia menjadi rutin sejak tujuh tahun lepas. Apabila ada keadaan ini, maka tak banyak perbezaan. Kami, sama ada yang dewasa mahupun anak-anak, akan dapat menjalaninya dengan baik,” tambahnya.

Selain memperbaiki kemahiran masakan, masa dan peluang digunakan sepenuhnya bersama keluarga





Source link