Artikel Terkini

Normal Baharu: Pantas adaptasi sosial media bantu industri pertanian


KUNDASANG: Industri pertanian di Kundasang, Sabah tidak terkecuali terkena tempias Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Lambakan sayuran dan buah-buahan jelas pada ketika itu. Jika tidak bijak ambil langkah, sudah pasti petani moden yang dijadikan profesyen itu akan malap.

Bagi Azizul Julirin, dia tidak mahu menjadikan pandemik COVID-19 dan PKP alasan untuk menutup perniagaan Eko-pelancongan menerusi Kundasang Aqua Farm.

Dengan pantas, Azizul mengadaptasi normal baharu bagi memastikan perniagaannya dan para petani konvensional yang lain tidak terkubur.

“Bagi saya sendiri, saya ambil tindakan drastik dengan mengurangkan operasi dan memberi fokus kepada satu-satu jenis tanaman mahupun sayuran sahaja,” katanya ketika ditemui Astro AWANI.

Azizul menjalankan tanaman akuaponik di Kampung Mesilau, Kundasang.

Bukan itu sahaja, Azizul bersama beberapa rakannya menggunakan media sosial dalam mempromosikan kira-kira 20 jenis sayur segar.

Lebih menyeronokkan katanya, apabila hasil tananam itu boleh dihantar terus kepada pengguna akhir tanpa menggunakan orang tengah.

“Kami aktif menjalankan pemasaran di sosial media dan hasil maklum balas ia sangat positif.

“Segala tempahan pengguna terutama mereka di kawasan perumahan berkepadatan tinggi dihantar menggunakan khidmat penghantaran.

“Jika sebelum ini, kami menjual kepada orang tengah secara pukal sebelum diedarkan kepada pemborong dan akhirnya pengguna. Dengan cara ini, urusniaga terus daripada petani, penghantar dan pengguna,” katanya.

Azizul (dua dari kanan) bersama jurukamera, Astro AWANI meninjau Ladang Kundasang Aqua Farm di Kampung Mesilau, Kundasang.

Melihat kepada perkembangan sektor khidmat penghantaran itu, Azizul mempunyai rancangan dan misi ke hadapan selain menuju ke arah  mencipta aplikasi dalam talian bagi produk sayuran.

Dengan itu, kebergantungan kepada orang tengah dapat dihapuskan sekali gus pengguna akhir menikmati sayuran segar dengan murah dan pantas.





Source link