Uncategorized

Novel Salina edisi khas sempena ulang tahun ke-60 bakal dipasarkan

Novel Salina edisi khas sempena ulang tahun ke-60 bakal dipasarkan 1


DEK kerana istimewanya novel Salina karya Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said, atau lebih dikenali sebagai Pak Samad, syarikat penerbitan Helmy Samad Production berazam untuk menerbitkan kembali karya agung itu.

Menurut Helmy Samad, pemilik syarikat itu,  beliau telah lama berhasrat untuk menerbitkan novel Salina edisi khas sempena 60 tahun penghasilannya.

Namun, kerana masalah-masalah tertentu yang dihadapi beliau dan syarikatnya termasuk kewangan, hasrat tersebut agak lambat dapat direalisasikan.

“Penerbitan novel Salina untuk edisi ulang tahun 60 tahun ini sebenarnya sudah lama dalam kepala, sudah 2-3 tahun cuma tidak ada semangat nak terbitkan dengan dunia buku ini sekarang.

“Cuma sejak akhir-akhir ini saya terfikir, Pak Samad menulis Salina ini tahun 1958-1959. Dia menang tempat kedua. Masa itu di Singapura. Saya ingat saya nak terbitkan tahun ini.

“Saya ada war-warkan hasrat nak terbitkan Salina ini di Facebook dan Instagram saya Dari situ, pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyatakan minat untuk bekerjasama menerbitkannya,” katanya kepada Astro AWANI.

Edisi khas Salina sempena ulang tahun ke-60 ini mempunyai dua versi iaitu yang berkulit keras dan kulit lembut, serta harganya juga berbeza.

Novel Salina edisi khas sempena ulangtahun ke-60 versi kulit keras.

Novel Salina edisi khas sempena ulangtahun ke-60 versi kulit keras.

Menurut Helmy, edisi kulit keras merupakan kerjasama dengan DBP manakala untuk edisi kulit lembut, syarikatnya memilih bekerjasama dengan Nuha Books.

Mengulas mengenai kerjasama ini, Helmy menjelaskan ia sangat penting bagi syarikat-syarikat penerbitan kecil seperti syarikatnya.

“Kerjasama ini sangat penting dari segi modal dan saya sebagai sebuah syarikat penerbitan kecil. Apabila kecil, saya kerja sendiri.

“Bila nak terbitkan buku, saya akan upah pekerja berdasarkan kontrak. Jadi, ini memerlukan dana, selain penerbit perlukan ruang untuk menyimpan buku,” katanya lagi.

Novel Salina edisi khas sempena ulangtahun ke-60 versi kulit lembut

Beliau juga menjelaskan, tidak timbul sebarang masalah untuk bekerjasama dengan dua syarikat berbeza kerana hak penerbitan dipegang oleh syarikatnya.

Bagi peminat-peminat karya Pak Samad, edisi kulit keras ini mempunyai keistimewaan tersendiri kerana ia menggunakan rekabentuk kulit edisi pertama.

“Hanya 1,000 naskah dicetak untuk edisi kulit keras dan 1,000 naskah untuk kulit lembut,” katanya.

Pembaca yang berminat untuk mendapatkan novel Salina edisi khas ini boleh membuat pesanan menerusi aplikasi WhatsApp di nombor 016-3496999.

Salina edisi kulit keras dengan jaket dijual pada harga RM75 manakala kulit lembut dijual pada harga RM45 senaskah.

Novel edisi khas sempena ulang tahun ke-60 ini dijangka mula berada di pasaran sekitar 20 September nanti.





Source link