Artikel Terkini

Parasite, Filem Pertama Dari Asia Yang Berjaya Memenangi Anugerah Oscar


Kemeriahan acara berprestij perfileman dunia baru sahaja melabuhkan tirai untuk tahun 2020. Satu kejutan telah berlaku kerana buat kali pertama di dalam sejarah perfileman dunia dan juga Asia apabila filem yang dihasilkan di Korea Selatan di dalam bahasanya telah memenangi anugerah filem terbaik untuk tahun ini.

Ia merupakan filem pertama dari Asia yang berjaya memenangi di dalam acara Oscar yang berprestij sejak diperkenalkan 92 tahun lalu.

Filem yang mengisahkan kehidupan dua buah keluarga yang berbeza dari segi darjat yang tinggal di bandar yang sama. Filem ini mengetengahkan masalah sosial yang wujud di kalangan masyarkat pada hari ini.

Keluarga yang miskin begitu kreatif berjuang untuk meneruskan kehidupan di bandar besar dengan menggunakan kelebihan yang dimiliki oleh keluarga yang kaya.

Selain mendapat anugerah filem terbaik di Oscar, pengarah filem Parasite ini juga berjaya mengungguli di dalam kategori pengarah terbaik untuk tahun ini. Beliau yang dimaksudkan ialah Bong Joon Ho dilahirkan di Daegu, Korea Selatan pada tahun 1969.

Beliau meminati dunia perfileman sejak berusia 14 tahun dan sering bermain dengan skrip hasil ciptaanya sendiri. Beliau yang meyambung pelajarananya di peringkat universiti di dalam jurusan sosiologi, mula aktif di dalam dunia perfileman pada pertengahan tahun 1990-an.

Beliau bermula sebagai pembantu pengarah untuk filem Motel Cactus pada tahun 1997 dan menjadi pengarah filem sepenuhnya pada tahun 2000 dengan filem yang bertajuk “Barking Dogs Never Bite”.

Filem yang menjadikan dirinya dikenali di peringkat antarabangsa adalah filem bertajuk “The Host” yang  merupakan sebuah filem sains fiksyen yang telah disiarkan diperingkat antarabangsa pada tahun 2006.

Sepanjang Bong Joon Hoa menjadi pengarah di Korea Selatan, kebanyakan filem arahannya telah mendapat kutipan Box Office dan menyebabkan dirinya begitu terkenal di negaranya sendiri. Beliau enjadi salah seorang pengarah yang terkenal di Korea Selatan dan khidmatnya mula ditagih oleh syarikat produksi dari negara barat.

Beliau telah bekerjasama dengan syarikat perfileman penstriman terbesar didunia iaitu Netflix pada tahun 2015, di mana Netflix telah melabur sebanyak $50 juta untuk filem yang diarahkan olehnya. Mereka begitu yakin dengan kebolehan yang dimiliki oleh Bong Joon Ho kerana dia telah berjaya mengarahkan filem sains fiksyen yang popular berdasarkan penulis novel Perancis, Jacques Lob  dan  Jean-Marc Rochette yang bertajuk Le Transperceneige (Snowpiercer).

Filem arahahanya bersama Netflix yang bertajuk Okja pada tahun 2017 berdepan dengan kontroversi yang menambahkan lagi publisiti kepada Bong Joon Ho. Filem sains fiksyen arahannya itu telah melanggar syarat percalonan filem Cannes yang mana syarat untuk filem itu ditempatkan didalam Festival Cannes, sesebuah filem wajib ditayangkan di Perancis sebelum ditayangkan di seluruh dunia.

Selain itu juga,filem ini juga mencetuskan  kontrovesi di negara kelahirannya sendiri apabila kebanyakan pawagam yang ternama enggan menyiarkan filem tersebut di pawagam mereka kerana telah melanggar akta perfileman yang mana setiap filem perlu ditayangkan selama tiga minggu di pawagam sebelum filem itu dapat ditayangkan di mana-mana platform. Syarikat Netflix yang enggan mematuhi peraturan tersebut dan menyangkan filem tersebut di platformnya bersama dengan tayangan perdana filem itu di  Korea Selatan.

Kesan dari peristiwa tersebut, filem ini tidak mendapat sambutan yang luar biasa seperti filem arahannya yang lain dan boleh dikategorikan sebagai sebuah filem Box Office Bomb yang mana kos untuk menghasilkan filem ini menelan belanja sebanyak $57 juta mankala hasil kutipan yang diperolehinya hanyalah sebanyak $2 juta.

Walaupun kutipan tidak seperti yang diharapkan, beliau masih mampu untuk memberi fokus kepada filem Parasite yang berjaya membawa dirinya memenangi empat anugerah Oscar yang berbeza. Walaupun, ianya keluar dari genre filem arahannya yang banyak berkisar kepada sains fiksyen, tetapi filem ini telah berjaya menjadikan dirinya menjadi salah seorang pengarah yang paling berpengaruh di dunia.

Beliau juga menyatakan salah satu faktor kejayaanya adalah disebabkan menjalani kehidupan yang ringkas dan banyak menyendiri. Beliau menjadikan lagenda pengarah filem terkenal Martin Scorsese sebagai rujukan dan idolanya semasa dia kecil.

Dengan kemenangan yang diperolehi oleh Bong Joon Ho, ia telah membuka mata banyak pihak bahawa filem yang dihasilkan oleh pengarah Asia juga mampu memperolehi kejayaan yang luar biasa di persada dunia.

Sumber Rujukan:



Source link