Artikel Terkini

Pasaran Saham United Kingdom Selepas Pilihanraya Umum 2019


Pasaran saham Eropah
memberi reaksi positif kepada berita kemenangan Parti Konservatif dalam
pilihanraya United Kingdom (UK) pada minggu lalu dengan indeks FTSE 250 yang
berpangkalan di London melonjak tinggi.
FTSE 250 adalah indeks yang lebih fokus kepada perniagaan di
dalam negara melonjak hampir 4% pada sesi dagangan pagi hari Jumaat (13
Disember 2019) sehingga mencecah paras tertinggi dalam sejarah.

Penanda aras FTSE 100 yang melibatkan syarikat UK yang
berfokus kepada perniagaan global membuat kenaikan lebih sederhana pada kadar
1.8% pada hari tersebut. Ini adalah satu kenaikan tertinggi yang pernah dicapai
oleh indeks itu sejak bulan Februari 2019.

Bukan setakat pasaran
saham, matawang Pound Sterling juga melonjak pada hari sama menyebabkan ia
menguat berbanding matawang-matawang utama dunia yang lain.

Konservatif yang dipimpin Boris Johnson berjaya memenangi 365
kerusi di dewan perwakilan (House of
Commons
) dengan tambahan 48 kerusi berbanding pilihanraya tahun 2017. Kemenangan besar ini sebenarnya di luar
jangkaan pasaran sekaligus menyebabkan lonjakan pasaran UK pada hari Jumaat.

Kemenangan bergaya Parti Konservatif memberi harapan untuk
akhirnya menamatkan kemelut Brexit yang menghantui ekonomi UK sejak hampir
empat tahun yang lalu.

Ia juga dilihat
mengurangkan ketidaktentuan dalam politik dan ekonomi UK berbanding Parti Buruh
yang merancang untuk mengadakan referendum kedua Brexit.
Walaupun Boris Johnson akan
meneruskan perancangan Brexit, tetapi ia dilihat lebih baik berbanding isu
Brexit terus tergantung dalam tempoh yang lebih lama.

Penganalisa pasaran berpendapat syarikat-syarikat yang
bergantung kepada import bakal menerima manfaat daripada pengukuhan Sterling
kerana ia menjadikan barangan dari luar negara menjadi lebih murah sekaligus
mengurangkan kos operasi.

Persoalan yang bermain dalam minda pelabur adalah adakah pasaran UK akan meneruskan kenaikan? Ia sudah terjawab pada sesi dagangan hari Selasa (17 Disember) apabila indeks saham utama di London dan matawang Sterling jatuh dari paras tertinggi yang dicapai pada hari Jumaat lepas.

Kebimbangan Terhadap Brexit Kembali Menghantui Pasaran UK

Pasaran saham dan matawang UK kembali tertekan selepas
mencatat kenaikan pada minggu lalu disebabkan risiko tiada-perjanjian antara UK
dan Kesatuan Eropah (EU). Perdana
Menteri UK, Boris Johnson dilaporkan pada Selasa (17 Disember) untuk meneruskan
perancangan Brexit beliau iaitu membawa UK keluar daripada blok EU.

Majoriti indeks saham Eropah pada Selasa didagangkan rendah
berikutan ketegasan yang dilaungkan oleh Johnson dengan penanda aras FTSE 250 di London kini menyusut dua hari
berturut-turut pada Rabu (18 Disember).
FTSE 100 yang lebih banyak berfokus
kepada perniagaan di luar negara pula didagangkan sedikit di bawah paras
tertinggi yang dicapai pada minggu lalu.

Matawang Sterling juga mengalami nasib sama seperti FTSE 250
yang turut menyusut dua hari berturut-turut berbanding matawang utama dunia
yang lain.

Boris Johnson dilihat
mahu mengelak daripada memanjangkan tempoh untuk UK keluar dari EU
apabila terdapat laporan bahawa
kerajaan mahu menggunakan undang-undang untuk menghalang pelanjutan tempoh
transisi Brexit melebihi penghujung tahun 2020. Ia dijangka akan dilakukan oleh
kerajaan seawal Jumaat ini (20 Disember).

Sumber Rujukan:

  1. https://www.wsj.com/articles/investors-pour-into-u-k-markets-as-election-result-calms-brexit-jitters-11576238113
  2. https://www.scotsman.com/business/general-election-2019-market-surge-sees-ftse-250-hit-record-high-but-can-it-last-1-5061962
  3. https://www.ft.com/content/6c8039fc-1d74-11ea-9186-7348c2f183af
  4. https://www.poundsterlinglive.com/gbp-live-today/12550-pound-sterling-retreats-from-euro-dollar-and-spectre-of-new-no-deal-brexit-cliff-edge
  5. https://www.investing.com/news/stock-market-news/pound-and-stocks-flop-as-brexit-fears-resurface-2042536
  6. https://www.investing.com/news/stock-market-news/eu-warns-of-brexit-cliff-as-uk-excludes-longer-transition-2043185

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.



Source link