Artikel Terkini

Pelabur asing jual RM600.7 juta ekuiti tempatan minggu lepas



KUALA LUMPUR: Pelabur asing terus mengurangkan dedahan kepada saham-saham yang tersenarai di Bursa Malaysia bagi minggu ke-18 berturut-turut dengan menjual ekuiti tempatan bernilai RM600.7 juta pada minggu lepas.

MIDF Research dalam laporan aliran dana mingguannya pada Isnin berkata, berbanding enam pasaran Asia lain, Malaysia kekal dengan aliran keluar bersih keempat terkecil setakat tahun ini.

“Semasa pasaran dibuka pada Isnin minggu lepas, pelabur antarabangsa bertindak menjual RM358.9 juta saham tempatan, iaitu trend serupa bagi semua pasaran Asia, akibat kebimbangan berlakunya jangkitan semula COVID-19.

“Namun, aliran dana asing yang masuk ke pasaran tempatan berjumlah RM101.6 juta pada Selasa, sekali gus menamatkan aktiviti jualan selama tiga hari di Bursa Malaysia,” katanya.

Aliran masuk dana asing ke Malaysia yang sederhana pada Selasa turut menyaksikan bursa tempatan ditutup pada paras 1,517.7, dengan kenaikan sehari berjumlah 1.26 peratus.

Sentimen terhadap risiko pada Selasa dipacu oleh kadar pemulihan kes koronavirus yang menunjukkan isyarat kestabilan di negara ini.

Bagaimanapun, aktiviti belian asing bersih dalam pasaran tempatan tidak bertahan lama apabila pihak dana asing bertindak melakukan jualan bersih sebanyak RM83.3 juta pada Rabu.

Minat pelabur terbabit dijejaskan oleh ketidakstabilan politik di negara ini dengan jangkaan berlakunya pilihan raya mengejut serta penularan semula virus di Beijing.

Paras jualan bersih asing meningkat untuk hari ketiga berturut-turut kepada RM155.4 juta pada Jumaat.

Sementara itu, suasana keseluruhan pasaran suram berikutan pelabur semakin berhati-hati ke atas gelombang kedua jangkitan pandemik COVID-19 khususnya di China dan Amerika Syarikat (AS) yang menunjukkan isyarat peningkatan jangkitan kes.

“Tambahan pula, data tuntutan pengangguran mingguan AS pada Khamis yang menunjukkan 1.5 juta warga Amerika memfailkan tuntutan insurans pengangguran pada minggu sebelumnya adalah lebih tinggi berbanding jangkaan,” katanya.

Pada asas mingguan, FBM KLCI menyusut 2.5 peratus pada minggu itu selepas mencatat 1,507.3 mata manakala ringgit jatuh 0.1 peratus berbanding dolar US pada paras 4.2675 minggu berkenaan.

— BERNAMA





Source link

Related Posts