Artikel Terkini

Pelaburan diluluskan naik 1.7 peratus kepada RM208 bilion pada 2019 – MIDA



KUALA LUMPUR: Malaysia menarik sejumlah RM207.9 bilion bagi pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama pada 2019, peningkatan 1.7 peratus berbanding 2018.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata pelaburan langsung domestik (DDI) menyumbang sebahagian besar daripada jumlah pelaburan yang diluluskan iaitu 60.4 peratus atau RM125.5 bilion.

Pelaburan langsung asing (FDI) hanya mencapai 39.6 peratus iaitu peningkatan 2.9 peratus kepada RM82.4 bilion, kata MIDA dalam kenyataan pada Isnin.

Menurutnya sektor perkhidmatan menerajui jumlah pelaburan yang diluluskan dengan peningkatan 11.3 peratus berbanding 2018. Sebanyak 4,087 projek telah diluluskan dengan nilai pelaburan berjumlah RM118.1 bilion tahun lepas.

Ini diikuti sektor perkilangan yang mencatat pelaburan yang diluluskan sebanyak RM82.7 bilion dan RM7 bilion bagi sektor utama.

Tiga negara menyumbang 66.3 peratus kepada jumlah FDI yang diluluskan dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama iaitu Amerika Syarikat (RM26.8 bilion), China (RM15.7 bilion) dan Jepun (RM12.1 bilion).

Empat negeri menyumbang lebih 60 peratus kepada jumlah pelaburan yang diluluskan pada 2019 iaitu Selangor (RM47.8 bilion), Pulau Pinang (RM33.7 bilion), Johor (RM24.4 bilion) dan Kuala Lumpur (RM21.6 bilion).

MIDA berkata lima penyumbang pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkhidmatan adalah hartanah (RM40.9 bilion), utiliti (RM32.6 bilion), pertubuhan global (RM11.8 bilion), perdagangan pengedaran (RM11.7 bilion) dan perkhidmatan sokongan (RM5.7 bilion).

Dalam sektor perkilangan, jumlah projek yang diluluskan menokok 37 peratus kepada 988 projek berbanding 721 projek pada 2018.

FDI menyumbang 65.2 peratus (RM53.9 bilion) daripada jumlah keseluruhan pelaburan yang diluluskan dalam sektor itu, manakala selebihnya ialah pelaburan domestik sebanyak 34.8 peratus (RM28.8 bilion).

Menurut agensi itu, industri berprestasi tinggi pada 2019 terdiri daripada industri elektrik dan elektronik (RM25.7 bilion), kertas, percetakan dan penerbitan (RM10.8 bilion), teknologi pengangkutan (RM8.0 bilion), produk mineral bukan logam (RM6.9 bilion), serta bahan kimia dan produk kimia (RM4.8 bilion).

“Adalah diperhatikan bahawa pelaburan dalam tiga subsektor pemangkin iaitu elektrik dan elektronik, mesin dan peralatan serta kimia dan dua bidang pertumbuhan tinggi iaitu industri aeroangkasa dan alat perubatan, mencatat peningkatan 90.2 peratus kepada RM40.9 bilion pada tahun lepas berbanding RM21.5 bilion pada 2018,” kata MIDA.

China (RM15.3 bilion) dan AS (RM14.2 bilion) merupakan dua negara pelabur terbesar dalam sektor perkilangan di Malaysia dan menyumbang 54.7 peratus daripada jumlah pelaburan asing yang diluluskan dalam sektor ini, katanya.

MIDA berkata Selangor (RM17 bilion) merupakan penerima pelaburan terbesar dalam sektor perkilangan untuk tahun 2019, diikuti Pulau Pinang (RM16.9 bilion), Kedah (RM11.5 bilion) dan Johor (RM11.5 bilion).

Sektor utama mencatatkan pelaburan yang diluluskan sebanyak RM7 bilion pada 2019, berbanding RM10.9 bilion pada 2018, dengan subsektor perlombongan menerajui sebahagian besar pelaburan di sektor utama (94.3 peratus) daripada jumlah pelaburan.

Baki pelaburan di sektor utama terdiri daripada subsektor perladangan dan komoditi, dan subsektor pertanian, yang masing-masing mencatatkan pelaburan sebanyak RM291.4 juta dan RM135.1 juta.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata walaupun pandemik COVID-19 telah mengubah sistem perindustrian global, MITI komited untuk memastikan agar Malaysia terus kekal sebagai lokasi yang mesra pelabur bagi pertumbuhan jangka panjang perniagaan asing dan domestik.

“Pelaburan langsung asing (FDI) adalah aliran modal jangka panjang. Kami percaya syarikat asing yang sedia ada akan terus bertahan dengan cabaran ini dan mengekalkan pelaburan mereka di dalam negara.

“Malaysia memulakan tahun ini dengan lima projek pembuatan dan perkhidmatan yang diluluskan bernilai RM4.6 bilion. Keutamaan kini bukan mengenai jumlah pelabur atau nilai pelaburan mutlak tetapi untuk membawa masuk pelaburan bernilai tambah tinggi yang dapat membantu memulihkan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata memandangkan pendekatan perniagaan seperti biasa tidak lagi dapat dipraktikkan dalam persekitaran yang mencabar ini, penyelesaian asas negara untuk membangunkan semula ekonomi adalah dengan menerapkan inisiatif berani untuk memastikan pencapaian yang berkesan.

“Kerjasama yang lebih erat antara kerajaan persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan sangat penting dalam memudahcarakan para pelabur dan memastikan pelaksanaan segera projek yang diluluskan.

“Semua pihak berkepentingan perlu membuat perubahan yang diperlukan dan melaksanakan proses rekayasa semula bagi memberikan perkhidmatan yang lebih cekap dan berkesan. Digitalisasi dan automasi pastinya merupakan usaha yang perlu dilaksanakan dalam mengorak langkah ke hadapan,” katanya.

— BERNAMA





Source link

Related Posts