Uncategorized

Pelantikan PwC supaya siasatan audit YaPEIM bersifat bebas

Pelantikan PwC supaya siasatan audit YaPEIM bersifat bebas 1



Pelantikan PwC supaya siasatan audit YaPEIM bersifat bebas 2

KUALA LUMPUR: Keputusan melantik PricewaterhouseCoopers untuk mengaudit akaun Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dibuat supaya siasatan atau laporan audit yayasan itu dilakukan secara bebas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, ia juga bertujuan memulih dan mengembalikan semula kepercayaan orang ramai terhadap yayasan itu yang tercemar imejnya.

“Saya kira salah satu tugas ahli lembaga pengarah baharu adalah melihat kepada semua isu ini melalui kajian bebas.

“Oleh itu, daripada findings (laporan audit) yang ditemui dan mereka murnikan dengan finding mereka (anggota lembaga pengarah) sendiri dan apa yang didedahkan oleh Pengerusi LPA YaPEIM Datuk Dr Mohd Daud Bakar tadi adalah berdasarkan laporan secara menyeluruh,” katanya.

Mujahid berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kempen RAHMAH Masjid Alami (Masjid Lestari Hijau) peringkat Wilayah Persekutuan 2019 dan berbuka puasa di Masjid Jamek, di sini, pada Rabu.

Beliau diminta mengulas berkenaan kenyataan pihak Lembaga Pemegang Amanah (LPA) YaPEIM hari ini yang telah mengenalpasti beberapa kemungkinan salah laku dan kecuaian pentadbiran oleh pihak pengurusannya sejak beberapa tahun lepas.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata segala keputusan yang akan diambil berkenaan salahlaku atau isu-isu yang terjadi dalam YaPEIM akan dibuat dan diserahkan kepada anggota lembaga pengarah yayasan itu.

“Kita ada the best brain (cukup bijak) dalam YaPEIM… saya yakin sangat dengan kapasiti mereka (anggota lembaga pengarah) untuk menyelesaikan apa sahaja isu yang ditimbulkan tetapi perlu berlandaskan kajian tepat dan bebas,” katanya.

Ditanya bilakah laporan itu dijangka siap sepenuhnya dan adakah ia akan dibentangkan secara umum, Mujahid berkata: “Saya sudah ada laporan itu tetapi terpulang kepada anggota lembaga pengarah… mungkin detailnya kita akan buat dari semasa ke semasa.”

Baru-baru ini dilaporkan RM1 juta daripada dana anak yatim yang diamanahkan kepada YaPEIM telah digunakan bagi membayar yuran guaman peguam yang juga pembantu kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Selain itu media juga melaporkan YaPEIM mengalami kerugian RM12 juta menerusi skim gadaian emasnya melibatkan 1,000 pelanggan projek gadaian Islam Ar-Rahnu.

Sementara itu, pelancaran Kempen RAHMAH Masjid Alami peringkat Wilayah Persekutuan 2019 bertujuan menjadikan masjid sebagai pusat kempen kesedaran bagi masyarakat setempat dan pusat sehenti bagi penyebaran maklumat semasa serta mendidik masyarakat mengenai kepentingan menjaga alam sekitar. — Bernama





Source link

Related Posts