Artikel Terkini

Pemimpin EU hampir capai persetujuan pelan rangsangan ekonomi 750b Euro



PEMIMPIN Kesatuan Eropah (EU) dilaporkan hampir mencapai persetujuan berhubung pelan rangsangan bernilai 750 bilion Euro.

Ini selepas Presiden Majlis EU Charles Michel membentangkan kompromi untuk mengurangkan jurang antara kumpulan yang bersetuju dan yang tidak.

Michel yakin persetujuan akan dapat dicapai untuk memastikan keyakinan pulih semula ke atas pemulihan di blok itu.

Cadangan Michel adalah untuk memberikan geran berjumlah 390 bilion Euro, dan selebihnya 310 bilion Euro dalam bentuk pinjaman, dengan kadar yang sangat rendah.

Pelan ini dijangka memberikan manfaat kepada negara termasuk Itali dan Sepanyol yang terjejas teruk akibat COVID-19.

“Kami telah mencapai kesepakatan mengenai pakej pemulihan dan belanjawan Eropah. Ia sememangnya satu perundingan yang sukar, dalam waktu yang sukar, untuk semua orang Eropah.

“Ia satu maraton yang berakhir dengan kejayaan untuk semua 27 negara anggota, terutamanya untuk semua penduduknya. Ini merupakan satu perjanjian yang bagus, perjanjian yang kukuh, dan paling penting, perjanjian yang paling tepat untuk Eropah buat waktu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada hari keempat sidang kemuncak EU di Brussels pada Selasa.

Dalam masa yang sama, Michel mencadangkan negara yang menerima bantuan harus mendapat persetujuan majoriti negara EU tentang bagaimana ia akan dibelanjakan.

The Netherlands sebelum ini inginkan supaya kuasa veto diberikan bagi memastikan negara yang menerima bantuan tidak alpa tentang reformasi ekonomi.

Pelan rangsangan tersebut akan dibiayai ahli EU.

Ia dijangka memberikan gambaran tentang kekuatan EU selepas Britain keluar atau langkah Brexit dan kemampuan ahli untuk meluluskan pelan pemulihan ekonomi.

Ketika ini cabaran datang daripada negara dengan disiplin kewangan yang kuat termasuk The Netherlands yang enggan berganjak dalam isu nisbah geran kepada pinjaman.

EU kini berada dalam kemelesetan yang terburuk sejak Perang Dunia II.





Source link

Related Posts