Artikel Terkini

Penapisan kandungan Netflix: Bincang dalam-dalam agar hak pengguna tidak terjejas



KUALA LUMPUR: Perdebatan mengenai penapisan isi kandungan platform penstriman video Netflix kini sedang hangat diperkatakan dan mengundang pelbagai kontroversi.

Walaupun ramai yang membantah cadangan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang mahukan kandungan Netlix melalui proses tapisan kerajaan, diskusi mengenainya harus dibincangkan agar ia tidak membawa unsur negatif dalam masyarakat dan menjejaskan hak pengguna itu sendiri.

Menurut Pensyarah Pengajian Media, Fakulti Komunikasi dan Multimedia, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Ahmad Farami Abdul Karim, kontroversi kandungan Netflix dan beberapa saluran drama dan filem antarabangsa bukanlah bersandarkan isu keganasan semata-mata.

Malahan, terdapat kandungan yang berbaur kontroversi dan mampu menjejaskan fabrik sosial dan tatatertib serta peradaban masyarakat tempatan.

“Terdapat beberapa program yang menayangkan adegan bogel, adegan rogol, lesbianisme, BDSM, pengambilan dadah berlebihan, ‘erotic asphyxiation’ dan ‘orgy’.

“Satu daripada episod Euphoria misalnya menayangkan 30 organ seks lelaki. Nihilisme (hidup tiada makna) adalah tema siri ini. Dalam After Life, Ricky Gervais cuba menonjolkan “the beauty of atheism”. 13 Reasons Why pula dianggap “glorifying suicide”.

“Kandungan seperti ini dianggap TV progresif, ‘groundbreaking’, dan realistik kerana berani menonjolkan sisi kontroversi dalam masyarakat,” katanya kepada Astro AWANI, pada Ahad.

BACA: Finas cadang akta khusus kawal selia kandungan platform digital

Namun begitu, Ahmad Farami juga menyatakan terdapat garis jelas antara realisme dengan ‘poor taste’ mahupun eksploitasi.

“Adegan lelaki lelaki transgender dirogol dalam Euphoria atau ‘gratuitous violence’ dalam The Boys adalah ‘shock tactic’ (taktik kejutan) untuk menarik penonton.

“Lebih berani paparan, lebih berkualiti. Mitos ini popular juga di Malaysia. Kalau ada adegan realistik rogol, gangsterisme, pembunuhan, kekerasan terhadap wanita, filem berkenaan dianggap hebat.

“Dengan kandungan begini, saya boleh faham gesaan supaya ditapis kandungan media penstriman. Bukan setakat impak terhadap kanak-kanak. Kesan yang dibimbangi ialah ‘desensitization’ terhadap keganasan,” jelas beliau.

Bagaimanapun, katanya bukan sebab bimbang sekiranya penonton dipengaruhi menjadi ganas atau berubah menjadi lelaki homoseksual namun yang dibimbangi adalah normalisasi LGBT dan simpati terhadap hak seksual mereka.

“Walaupun demikian, saya kira yang lebih utama ialah tapisan kendiri dan kecelikan media, kanak-kanak pula boleh diajar kemahiran menilai kandungan media, dan menilai realiti.

“Kandungan di Twitter ada yang lebih teruk daripada siri Netflix. ‘Reality is sometimes stranger than fiction’ (Realiti adakalanya lebih pelik daripada fiksyen),” ujarnya lagi.





Source link