Artikel Terkini

Penari singa generasi muda komited pertahan warisan masyarakat Cina


KUALA LUMPUR: Sambutan Tahun Baharu Cina tidak hanya sinonim dengan pemberian angpau, pembakaran mercun serta hidangan makanan seperti yee sang dan limau mandarin.

Bahkan juga, persembahan tarian singa turut menyumbang kepada kemeriahan perayaan berbangsa Tionghua itu.

Tarian singa merupakan sebahagian daripada warisan masyarakat Cina di mana penarinya meniru pergerakan singa dengan menggunakan kostum singa.

Ditubuhkan sejak 15 tahun yang lalu, Persatuan Junwai Dragon and Lion Dance merupakan antara persatuan tarian singa yang aktif di negara ini.

Pengasasnya, Datuk David Mak berkata, tarian ataupun ‘mo si’ dalam bahasa Kantonis secara tradisi dimainkan untuk menakutkan raksasa Nian yang dipercayai keluar untuk memudaratkan manusia dan memusnahkan tanaman.

“Tarian singa merupakan salah satu warisan masyarakat Cina. Singa melambangkan masyarakat Cina.

“Pada Tahun Baharu Cina, ia merupakan sesuatu yang tidak boleh dilupakan. Dahulu, budaya ini dibawa ke Malaysia dan masyarakat Cina di sini meneruskan budaya ini,” kata Mak yang mula menceburi tarian singa sejak berusia 12 tahun .

“Ada yang kata pada Tahun Baharu Cina, mesti ada paluan dram dan pembakaran mercun. Sehingga sekarang, ia tetap sama.

“Oleh itu, saya berharap masyarakat boleh meneruskan budaya ini dan tidak melupakan tradisi ini,” tambahnya.

Sambutan Tahun Baru Cina tidak hanya sinonim dengan pemberian angpow, pembakaran mercun serta hidangan makanan seperti yee sang dan limau mandarin tetapi juga persembahan tarian singa. - Junwai Dragon and Lion Dance

Bagaimanapun, tarian tersebut semakin kurang mendapat tempat dalam hati golongan muda berbangsa Cina sekarang.

Mak mengakui, agak sukar untuk mencari pelapis muda yang komited memperjuangkan tarian singa dalam kalangan masyarakat hari ini.

Namun, beliau gembira kerana sejumlah anak didiknya masih mempunyai minat dan sangat berdedikasi untuk mewarisi kesenian berkenaan.

“Pergerakan tarian singa itu susah, terutamanya pergerakan tarian kepala singa. Kostumnya berat dan ada pergerakan yang sukar untuk dihafal,” katanya.

“Kami didenda dan dihukum ketuk ketampi sebanyak 20 kali setiap kali kami membuat kesalahan.

“Bagaimanapun, penari singa perempuan mempunyai masa depan. Ada penari singa perempuan yang mengambil peranan pemain simbal dan melakukan aksi melompat tiang.

“Ia sungguh hebat,” kata salah seorang penari singa, Yong Jia Huey, 18 tahun, yang melibatkan diri dalam seni tersebut sejak berumur 15 tahun.

Bagi Amy Tan Mei En pula, ayahnya yang merupakan penari singa dan naga mempengaruhinya untuk belajar tarian tersebut sejak 10 tahun.

Sejak itu, Amy tidak menoleh ke belakang.

Walaupun perlu menjalani latihan yang sukar, namun dia tidak berputus asa demi memelihara budaya berkenaan.

“Saya berlatih sebanyak sembilan jam sehari, kadang-kadang tidak tentu. Sembilan hingga 10 jam atau ada masanya, sepanjang hari.

“Saya merupakan pemain simbal. Peralatan tersebut boleh mencederakan perut dan ia juga akan menyebabkan kulit tangan saya menggelembung.

“Jika ada yang berminat untuk menyertai tarian singa, saya memang alu-alukan. Saya berharap lebih ramai orang muda akan menyertai kami. Kami pun sedang mencari ahli lagi,” kata Amy.

Nyata, kebanyakan anak murid Mak mempunyai misi untuk mengekalkan seni tarian yang sudah diamalkan sejak turun temurun itu lagi.

Sementara itu, Anson Pah Cheng Xiang, 18 tahun, berhasrat mengikut jejak ‘sifu’ Mak meluaskan warisan masyarakat Cina tersebut ke seluruh pelosok dunia.

“Saya kurang berminat untuk mengikuti sesi pembelajaran di sekolah. Disebabkan minat terhadap tarian singa, saya dan rakan-rakan menyertai persatuan tarian singa di sini.

“Saya akan meneruskan budaya ini dan meluaskan warisan masyarakat Cina ini ke seluruh pelosok dunia, supaya masyarakat tidak akan lupa akan tarian singa,” ikrarnya.





Source link