Artikel Terkini

Pengenalan Kepada Sektor Dan Industri Dalam Saham


Sering kali istilah ini mengelirukan para pelabur, lebih-lebih lagi jika kita masih baru dalam bidang ini. Apakah makna sebenar sektor dan industri ini, dan mengapa ia sangat penting untuk difahami oleh para pelabur dan pedagang saham?

Secara ringkasnya kita boleh mendefinisikan:

Sektor adalah sekumpulan industri yang saling berkaitan

Manakala industri atau dikenali juga sebagai sub-sektor ialah, sebuah kategori atau pengkelasan aktiviti perniagaan yang menjadi sebahagian daripada fungsi ekonomi berlaku.

Melabur ke dalam sektor dan industri boleh memberi dua perspektif dan hasil yang berbeza, walaupun ianya hampir membawa maksud atau tujuan yang sama.

Contohnya Healthcare (penjagaan kesihatan) adalah contoh bagi sektor. Manakala di dalam sektor Healthcare, kita boleh pecahkannya kepada beberapa industri atau sub-sektor seperti farmaseutikal, insurans kesihatan, pengeluar peralatan perubatan, dan sebagainya.

Tak tahu nak pilih sektor atau industri mana yang tengah ‘hot’? Ada ke ‘news’ atau ‘catalyst’ yang bakal keluar yang bakal melonjakkan sesuatu sektor atau industri tersebut? Atau sebaliknya, adakah sesuatu ‘bakal muncul’ yang bakal menyebabkan sesuatu sektor atau industri itu jatuh merudum?

Pada kebiasaannya, industri boleh dibahagikan kepada dua kategori, iaitu industri kitaran dan industri pertahanan. Ianya diterjemahkan melalui kepentingan dan keperluan industri tersebut kepada masyarakat dan pengguna pada ketika itu dan pada masa akan datang.

Sektor Kitaran

Sektor yang bergantung kepada kenaikan dan kejatuhan ekonomi.  Dengan kata lain, jika ekonomi dan pasaran saham berjalan lancar dan mempunyai perkembangan positif; maka para pengguna dan pelabur yakin dan cenderung untuk membelanjakan serta melabur lebih banyak wang daripada kebiasaan.

Sektor hartanah, automotif dan perbankan adalah contoh terbaik yang mengambarkan industri kitaran. Kita hanya perlu membayangkan diri kita sendiri dan cerminan berjuta-juta pengguna yang lain.

Apabila ekonomi negara berada dalam keadaan baik, maka pendapatan dan perbelanjaan akan meningkat. Seterusnya apabila kewangan kita semakin meningkat, kita lebih cenderung untuk berbelanja lebih banyak dan terhadap barang yang mewah dan mahal.

Apabila kita merasa kukuh dengan tahap kewangan, kita tidak takut untuk menanggung komitmen hutang yang lebih tinggi, seperti bayaran ansuran kereta, rumah dan sebagainya.

Namun bagaimana jika ekonomi sedang jatuh dan kegawatan ekonomi berlaku? Ianya akan menjadi berlawanan dengan situasi tadi, secara tidak langsung industri kitaran juga akan mengalami nasib yang serupa.

Kita akan berdepan pendapatan yang berkurang, sekaligus mengakibatkan perbelanjaan juga berkurang. Kita juga akan kurang habiskan duit terhadap barang mewah dan mahal.

Contoh terbaik yang berlaku semasa wabak Covid-19 melanda dunia, harga minyak mentah merudum – tapi adakah kita akan guna minyak untuk berjalan-jalan? Isi minyak kereta pun tak mampu nak habiskan dalam masa sebulan, kerana lebih banyak masa dihabiskan di rumah.

Begitu juga sektor penerbangan, pelancongan dan perhotelan. Dalam suasana tidak menentu, pastinya industri-industri ini akan terjejas teruk disebabkan kekurangan permintaan daripada orang ramai.

Sektor Pertahanan

Seterusnya kita ada sektor pertahanan, yang menghasilkan barang atau memberi perkhidmatan yang diperlukan tidak kira keadaan ekonomi. Permintaan akan sentiasa ada walaupun ekonomi naik atau turun.

Contoh yang terbaik bagi menggambarkan sektor pertahanan adalah F&B (makanan dan minuman), utiliti, penjagaan kesihatan dan sebagainya.

Samada ekonomi baik atau gawat, kita perlu makan, kita perlu guna elektrik dan kita perlukan Internet untuk meneruskan kehidupan.

Kesimpulannya, dalam situasi ekonomi yang merudum dan tidak menentu, sektor pertahanan cenderung untuk mengalahkan kenaikan sektor kitaran. Ini kerana permintaan pengguna sentiasa ada, manakala sektor kitaran akan mengalami permintaan yang turun naik seiring dengan situasi ekonomi dan pasaran saham semasa.

Manakala dalam situasi ekonomi dan pasaran saham yang baik, sektor kitaran akan sentiasa mendahului atau mengatasi sektor pertahanan. Ini kerana permintaan pengguna akan sentiasa meningkat manakala industri pertahanan akan berada di paras normal, kerana adalah mustahil permintaan akan berlipat kali ganda, contohnya makanan. Tidak semestinya nafsu pemakanan akan meningkat tinggi apabila ekonomi dunia sedang meningkat naik.

Dan kebiasaanya harga saham bagi ‘leader’ sesuatu sektor akan naik dulu, diikuti dengan harga saham mereka yang ‘laggard’.



Source link