Artikel Terkini

Penjual nasi lemak kumpul Volvo kerana hobi


BATU PAHAT: Kerana minat yang mendalam terhadap kereta klasik jenis Volvo 122 Amazon, seorang peniaga nasi lemak di Senggarang, di sini, sanggup berhabis untuk membeli 10 kereta jenis berkenaan demi hobinya itu.

Mohsin Yusop, 40, bukan sahaja membeli kereta klasik keluaran tahun 1960-an itu, malah turut mengubah suai kesemua kereta berkenaan sebagai kenderaan yang unik sekali gus menjadi tarikan kepada orang ramai.

Katanya, dua daripada lima kereta yang berjaya diubah suai kini menjadi kenderaan utama dia dan isterinya, Norazlina Jaafar, 38, berniaga nasi lemak di Pekan Senggarang sehingga mendapat jolokan nama ‘Nasi Lemak Volvo RM1’.

“Lima kereta Volvo yang telah saya ubah suai ini mempunyai nama tersendiri seperti Master Hawk, Mini On dan Sampan Volvo Jaguh. Selain itu, satu daripada kenderaan berkenaan sering disewa untuk majlis-majlis tertentu seperti persaraan serta perkahwinan.

“Malah, salah sebuah kereta terbabit kini dalam proses mengubah suai untuk dijadikan gerai bergerak ala-ala ‘food truck’ (trak makanan) untuk saya gunakan bagi berniaga nasi lemak pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui Bernama, baru-baru ini.

Peminat kereta klasik Volvo 122 Amazon yang juga peniaga nasi lemak RM1, Mohsin Yusop, 40 (kanan) dan isterinya, Norazlina Jaafar, 38, menunjukkan hasil kerjanya yang merupakan bahagian hadapan kereta berkenaan yang digabungkan dengan bahagian belakang motosikal Modenas Jaguh. - Foto BERNAMA

Menurut Mohsin lagi, dia memulakan hobi ‘unik’ itu sekitar lima tahun lepas kerana kesukarannya untuk membawa nasi lemak ke tapak jualan kira-kira satu kilometer dari kediamannya, yang ketika itu hanya menggunakan motosikal jenis Modenas Jaguh.

Kata bapa kepada tiga cahaya mata berusia antara 5 hingga 13 tahun itu, pada waktu itulah dia mula mengubah suai kereta antik yang dibeli beberapa tahun sebelum itu untuk menjadi ‘kenderaan khas’ bagi dia dan isterinya membawa lebih kurang 500 bungkus nasi lemak setiap hari.

“Saya tidak sangka yang kereta Volvo dan gabungan motosikal Modenas Jaguh ini kini menjadi tarikan dan dalam masa yang sama turut berfungsi melariskan jualan nasi lemak saya ini berbanding sebelumnya.

“Dalam sibuk mengubah suai kereta berkenaan, ada sebuah daripadanya saya kekalkan dalam bentuk yang asal dan digunakan untuk pengangkutan utama saya.

“Ramai orang pada mulanya mengatakan ia pelik setelah melihat saya membeli ‘kereta buruk’ berkenaan banyak-banyak, tetapi setelah melihat hasilnya barulah mereka faham,” katanya yang telah berhabis sekitar RM60,000 untuk hobinya itu.

— BERNAMA





Source link