Uncategorized

Peralihan kepada kewartawanan digital adalah trend – Wartawan veteran

Peralihan kepada kewartawanan digital adalah trend - Wartawan veteran 1



Peralihan kepada kewartawanan digital adalah trend - Wartawan veteran 2

BANGKOK: Peralihan kepada kewartawanan digital – menerbitkan kandungan melalui platform digital adalah wajar memandangkan akhbar bercetak semakin lenyap pengaruhnya, kata wartawan veteran Thailand.

Pengasas bersama akhbar harian berbahasa Inggeris Thailand, The Nation, yang menghentikan edisi cetaknya semalam, selepas 48 tahun berada di pasaran, Suthichai Yoon berkata berlaku perubahan menyeluruh dalam industri kewartawanan dan peralihan kepada kandungan digital adalah trend dalam industri.

“(Henti edisi cetakan)…Bagi saya secara peribadi, saya sangat sedih kerana saya seorang daripada pengasas akhbar Inggeris, The Nation. Saya adalah pekerja pertama The Nation.

“Seperti yang saya katakan, 10 tahun dahulu, saya telah jangkakan media cetak akan lenyap. Kita harus sesuaikan dan bersedia untuk D-day.

“Tiada pilihan lain bagi media cetak tetapi kita harus beralih kepada kewartawanan digital ini,” kata pemimpin media berusia 73 tahun ini kepada Bernama.

Pengasas bersama Nation Multimedia Group (NMG) ini berkata media cetak yang menerima perubahan ini akan dapat bertahan dalam era kewartawanan digital yang mencabar ini.

“Jika anda bagus dalam media tradisional dan jika anda tahu bagaimana untuk mempelajari kemahiran baharu, anda akan dapat menguasai kewartawanan digital juga.

“The Nation kini beralih ke arah itu…The Nation akan beroperasi dalam talian dan tiada lagi edisi cetak. Ini akan menjadi trend akhbar lain untuk beralih kepada kandungan online,” kata bekas pengerusi Nation Multimedia dan ketua pengarang.

Selepas hampir lima dekad, The Nation menerbitkan edisi cetakan terakhir, pada Jumaat.

Dalam edisi terakhirnya, akhbar harian itu menerbitkan editorial khas pada muka hadapan akhbar itu bertajuk, A New Beginning at 48 menyatakan ia melakukan perubahan, beralih ke wadah digital sepenuhnya.

Ia berjanji untuk terus menyajikan berita berkualiti tinggi meliputi perniagaan, politik, gaya hidup, teknologi, sukan dan seni yang turut mengandungi imej, infographic, klip video, podcast dan kandungan lain.

Suthichai yang mengikuti rapat media digital, bersara daripada Nation Multimedia Group pada Januari tahun lepas, aktif mengendalikan temu bual harian di Facebook Live dengan ahli politik, pakar dan selebriti mengenai pelbagai isu, termasuk Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau turut memulakan media digitalnya sendiri yang dikenali sebagai Kafedam (Kopi Hitam) Media Group.

— BERNAMA





Source link