Uncategorized

Pereka fesyen dari Sarawak tunjuk taring di BFW 2019


KOTA KINABALU: Karya mantap dan unggul!

Itu dua istilah yang tepat untuk menggambarkan rekaan busana pereka fesyen dari Sarawak yang turut serta dalam Borneo Fashion Week 2019 (BFW 2019).

Menerusi acara hari kedua yang berlangsung di Oceanus Waterfront Mall itu, lapan pereka fesyen secara keseluruhannya tampil memeriahkan pentas peragaan dengan koleksi unggul masing-masing.

Paling mencuri tumpuan pastinya pereka fesyen dari negeri Bumi Kenyalang yang bijak mengadunkan corak tradisional etnik di Sarawak kepada satu persembahan karya seni kontemporari dengan suntikan elemen moden.

Suntikan ini bukan sahaja membolehkan nilai seni warisan ini lebih dihargai malah ia boleh terus dinikmati oleh generasi masa kini yang sememangnya lebih terdedah kepada elemen seni moden yang kebanyakkannya meminggirkan keunikkan seni tradisional.

Antara contoh terbaik dapat disaksikan adalah menerusi rekaan daripada Latip’s Collection yang mengangkat nilai kesenian dan tradisi etnik Melanau menerusi Terendak.

Sememangnya Terendak Melanau antara yang unik namun semakin dilupakan.

Pengolahan idea kreatif membentuk satu busana yang menjanjikan kelainan dan suntikan nafas baharu sememangnya idea tepat dan bernas dalam menghidupkan kembali semangat cintakan budaya dan seni warisan dalam kalangan anak muda.

Seterusnya DeMlya Pua yang tampil dengan busana bermotifkan Pua Kumbu.

Olahan Pua Kumbu yang disuntik elemen kontemporari ini juga antara terjemahan unik seorang anak Sarawak dalam memperihatkan budayanya ke pentas komersial.

Hasilnya DeMlya Pua tampil dengan koleksi pakaian wanita seperti gaun labuh dan pendek, blaus dan juga seluar wanita.

Menerusi penghasilan menarik ini, pastinya akan mampu menarik minat masyarakat luar untuk sama-sama menyokong industri fesyen tempatan yang terus menampilkan kepelbagaian tanpa meminggirkan keanggunan corak dan motif tradisi.

Selain itu, tidak ketinggalan menyinari pentas BFW 2019 ialah Keith Sim yang memilih menampilkan gaya wanita sofistikated dan elegan.

Memilih rekaan kasual, pemilihan warna Keith Sim juga lebih kepada warna asas dengan olahan menarik.

Tidak meminggirkan rekaan pereka fesyen lain, rata-rata mereka juga bijak bermain dengan warna dan trend yang lebih terkini yang menjadi kegemaran netizen masa kini.

Pastinya setiap rekaan datang dengan identiti serta stail tersendiri dan industri fesyen Malaysia pastinya akan terus menyerlah dengan kehadiran bakat-bakat hebat ini di masa akan datang.





Source link