Uncategorized

Persediaan mula dilaksanakan sempena APEC 2020 – Rebecca

Persediaan mula dilaksanakan sempena APEC 2020 - Rebecca 1



Persediaan mula dilaksanakan sempena APEC 2020 - Rebecca 2

SINGAPURA: Meskipun masih berbaki kira-kira sembilan bulan lagi sebelum menjelangnya APEC 2020 yang akan menyaksikan Malaysia berperanan sebagai tuan rumah, namun persediaan telah mula dilaksanakan oleh sekretariat yang diterajui Pengarah Eksekutif, Tan Sri Dr Rebecca Fatima Sta Maria.

Rebecca, yang bekerjasama rapat dengan kerajaan Malaysia, sentiasa mengadakan mesyuarat dengan pihak kementerian serta pegawai dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Kementerian Luar.

APEC atau Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik merupakan forum ekonomi serantau yang dibentuk pada 1989 bertujuan memanfaatkan peningkatan kesalingbergantungan rantau Asia-Pasifik.

21 anggota APEC berhasrat mewujudkan kemakmuran yang lebih banyak untuk penduduk di rantau ini menerusi penggalakan pertumbuhan yang seimbang, inklusif, mampan, inovatif serta terjamin, selain mempercepat penyepaduan ekonomi serantau.

“Saya telah pergi ke peringkat persediaan. Kami menjalankan banyak kerja libat urus dan saya menghantar sekretariat untuk bekerjasama dengan MITI dan pasukan Malaysia,” katanya kepada Bernama semasa akhir Siri Meja Bulat ASEAN di sini, pada Selasa.

Beliau merupakan antara anggota panel bagi acara itu yang dianjurkan Institut Penyelidikan CIMB ASEAN (CARI) dan Kelab Perniagaan ASEAN dengan kerjasama S. Rajaratnam School of International Studies (RSIS) di sini.

Siri Meja Bulat ASEAN itu bertajuk ‘Future of Asean Trade: Tackling Non-Tariff Barriers in the New Trade Order’ (Masa Depan Perdagangan ASEAN: Menangani Halangan Bukan Tarif dalam Orde Perdagangan Baharu).

Rebecca, yang merupakan bekas Ketua Setiausaha MITI Malaysia, berkata sekretariat APEC akan ke bahagian utara Malaysia bulan ini untuk mengadakan bengkel selain melihat aspek berbeza berkaitan penganjuran forum serantau itu, antaranya strategi komunikasi dan logistik.

“Kami bekerjasama baik dengan pasukan Malaysia…termasuk berkaitan tema bagi penganjuran oleh Malaysia. Ia merupakan tahun yang amat penting…tahun Malaysia sebagai tuan rumah APEC 2020,” katanya.

Chile menjadi tuan rumah bagi APEC tahun ini.

Mengenai perkembangan Matlamat Bogor, antara usaha utama APEC, beliau berkata: “Kita sedang menyediakan pasca Matlamat Bogor ketika ini. Terdapat beberapa kerja yang akan diserahkan kepada pegawai pada akhir tahun ini untuk dikemukakan kepada para pemimpin namun pelarasan lebih teliti dan perancangan strategik akan dilaksanakan semasa tempoh Malaysia menjadi tuan rumah”.

Pada 1994, selepas mesyuarat pemimpin APEC di Indonesia, di bandar Bogor, dengan mereka mengumumkan persetujuan terhadap ‘matlamat jangka panjang pelaburan serta perdagangan bebas dan terbuka di Asia Pasifik’ dan menetapkan tarikh akhir ‘tidak lewat dari 2020’.

Sejak itu, aspirasi bersama tersebut dinamakan Matlamat Bogor.

Ketika diminta mengulas sama ada sebarang pengumuman berkaitan Matlamat Bogor akan dilakukan semasa Malaysia menjadi tuan rumah nanti, Rebecca berkata: “Ya, sudah tentu. Ia merupakan sebahagian daripadanya. Apa yang akan APEC lakukan selepas 2020?…ya, perkara itu akan disampaikan oleh Malaysia”.

Mengenai peratusan terkini purata tarif, Rebecca berkata: “APEC tidak melaksanakan tarif terikat seperti ASEAN namun kita mempunyai kenyataan am mengenai pengurangan tarif dan ia telah sedia menjadi sebahagian Matlamat Bogor.

“Oleh itu, liberalisasi perdagangan dari segi tarif telah hampir dilaksanakan. Jadi, apa lagi yang perlu kita lakukan untuk bergerak maju ke hadapan, malah di APEC, kita akan meneliti Langkah Bukan Tarif (NTM)…termasuk langkah pemudahan tarif…perkara ini merupakan sebahagian pakej untuk APEC bergerak maju pada masa depan”.

Beliau berkata beberapa aspek Matlamat Bogor yang tidak dapat disempurnakan akan diteruskan semasa Malaysia menjadi tuan rumah kelak.

Menurut Laporan Kemajuan Matlamat Bogor 2018, tarif telah berkurangan, banyak perjanjian perdagangan bebas menambah baik keadaan akses pasaran bagi barangan dan perkhidmatan, selain pembaharuan kastam menjadikannya lebih mudah, murah dan pantas untuk perdagangan.

Bagaimanapun, penilaian juga menunjukkan penambahbaikan perlu dijalankan dalam aspek lain, iaitu tarif pertanian yang masih tinggi berbanding tarif yang dikenakan ke atas produk bukan pertanian, NTM yang menjejaskan perdagangan semakin meningkat sejak beberapa tahun ini, di samping halangan sektor bagi syarikat asing dalam perkhidmatan dan pelaburan.

Matlamat Bogor telah memberi inspirasi kepada ekonomi negara anggota ke arah melaksanakan langkah berasingan dan terkumpul untuk mengurangkan sekatan perdagangan dan pelaburan.

Daripada usaha itu, satu hasil positif telah dicapai apabila penurunan ketara purata tarif bagi rantau itu daripada 17 peratus pada 1980-an kepada kira-kira 5.0 peratus pada masa ini.

Siri Meja Bulat ASEAN itu turut dihadiri Pengerusi CARI, Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid dan Timbalan Pengerusi Eksekutif RSIS, Ong Keng Yong.

— BERNAMA





Source link

Related Posts