Artikel Terkini

Pertumbuhan negara dijangka lemah kesan COVID-19



KUALA LUMPUR: Susulan pengurangan kadar dasar semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada Selasa, OCBC Treasury Research sifatkan penurunan berkenaan adalah tepat pada masanya untuk bantu ekonomi.

Ini berikutan Malaysia bukan sahaja berdepan dengan penularan COVID-19 tetapi juga perubahan politik.

Tambah OCBC Treasury Research berdasarkan dua tamparan kepada ekonomi tersebut keputusan bank negara tidak mengejutkan.

Pada Januari, Bank Negara mengurangkan kadar OPR sebanyak 25 mata asas kepada paras kali terakhir dilihat pada satu dekad yang lepas.

OCBC Treasury Research turut menjangka sekurang-kurangnya satu lagi pengurangan kadar dalam perancangan, berpotensi pada Mei.

Ini terutamanya jika salah satu atau kedua-dua faktor, penularan COVID-19 dan politik, terus menjejaskan pertumbuhan.

OCBC Treasury Research juga menjangkakan jika Simpanan Persekutuan Amerika Syarikat (The Fed) mengurangkan kadar faedah pada minggu-minggu akan datang, jangkaan BNM mengurangkan kadar untuk kali ketiga tahun ini akan meningkat.

Semalam The Fed mengumumkan menurunkan kadar faedah sebanyak 50 mata asas kepada 1.25 peratus.

Walaupun BNM tidak menawarkan sebarang maklumat mengenai unjuran pertumbuhan 2020, OCBC Treasury Research menjangkakan ia akan berkurangan.

Dalam pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan minggu lepas, unjuran pertumbuhan dikurangkan daripada 4.8 peratus kepada 3.2 ke 4.2 peratus.

Sementara itu, AllianceDBS Research dalam nota kajian berkata cabaran ekonomi berterusan di peringkat dalaman dan luaran dijangka terus menjadi tumpuan utama Malaysia pada separuh pertama tahun ini. Ini, tambahnya, menjejaskan sentimen pengguna dan keyakinan perniagaan.

AllianceDBS Research dalam nota kajian berkata cabaran ekonomi ini termasuklah penularan COVID-19 dan ketidaktentuan politik Malaysia baru-baru ini. Ia percaya sentimen pengguna dan keyakinan perniagaan akan kekal lemah berikutan pergolakan politik itu.

Tambahnya lagi, keadaan ini dijangka memberi kesan buruk terhadap perbelanjaan swasta yang telah lama menjadi pemacu utama bagi pertumbuhan di Malaysia.

Tegasnya, kerajaan baharu turut berdepan cabaran mengimbangi keperluan di antara fiskal berhemat dan perbelanjaan rangsangan.

Ini susulan defisit fiskal Malaysia yang berterusan dan hutang kerajaan yang tinggi.

Jawatankuasa Dasar Monetari BNM mengurangkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus dalam mesyuarat pada Selasa.

Menurut BNM, keadaan ekonomi global merosot dalam tempoh kebelakangan ini susulan penularan COVID-19 yang mengganggu aktiviti pengeluaran pengembaraan.

Sementara itu, Maybank akan mengurangkan kadar asas dan kadar pinjaman asas sebanyak 25 mata asas berkuat kuasa 5 Mac ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias berkata pengurangan kadar pinjaman itu akan membantu mengurangkan impak daripada ketidaktentuan ekonomi susulan penularan COVID-19.

Ini adalah kali kedua BNM mengurangkan OPR pada tahun ini.

Ia dilihat usaha untuk sediakan persekitaran monetari yang lebih akomodatif bagi menyokong jangkaan pertumbuhan ekonomi yang bertambah baik dalam keadaan harga yang stabil.

J.P Morgan dalam nota penyelidikannya berkata penularan COVID-19 telah mengganggu aktiviti pengeluaran dan perjalanan di rantau ini yang mendorong kepada kegiatan menjauhi risiko.

J.P morgan mengakui pakej rangsangan ekonomi COVID-19 bernilai RM20 bilion yang diumumkan minggu lepas dapat memberikan rangsangan kepada ekonomi domestik.

Namun, risiko penurunan kepada pertumbuhan akan terus wujud memandangkan ia dijangka memberi impak kepada sektor berkaitan komoditi.

Tambahnya, biarpun peratusan caruman kumpulan wang simpanan pekerja dikurangkan dalam pakej rangsangan ekonomi, ketidaktentuan dalam ekonomi menandakan isi rumah dijangka berjimat cermat berbanding membelanjakan wang ini.

J.P morgan turut mengekalkan jangkaan penurunan kadar dasar yang selanjutnya pada suku kedua tahun ini.

Ia turut mengekalkan unjuran ekonomi sederhana pada 4.3 peratus, disebabkan terutamanya penularan virus yang melembapkan sektor berkaitan khususnya sektor berkaitan pelancongan dan perkilangan.

BNM dalam kenyataanya berkata pertumbuhan, terutamanya pada suku pertama, akan terjejas oleh COVID-19.

Ini terutamanya dalam sektor berkaitan pelancongan dan perkilangan manakala kelemahan dalam sektor pertanian turut dijangka berterusan pada suku pertama.

Pada 2020, aktiviti sektor swasta dan sektor awam dijangka terus menyokong pertumbuhan.

Dalam masa yang sama, perbelanjaan isi rumah diunjurkan berkembang pada kadar yang lebih perlahan dalam keadaan pertumbuhan pekerjaan dan pendapatan yang sederhana.

BNM berkata walaupun pertumbuhan domestik dijangka bertambah baik pada separuh kedua tahun ini, terdapat risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan.

Ini berpunca terutamanya daripada sifat evolusi dan kesan berpanjangan daripada COVID-19 serta kelemahan yang berterusan dalam sektor berkaitan komoditi.





Source link

Related Posts