Artikel Terkini

Perusahaan Kecil Dan Sederhana (PKS) Serta 5 Kepentingannya Kepada Negara


Pada 6 April 2020, YAB Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Rakyat (PRIHATIN) khusus bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bernilai RM 10 Billion. Ini adalah kesinambungan daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Rakyat (PRIHATIN) yang telah diumumkan pada 27 Mac yang lalu.

Di antara manfaat yang ditawarkan adalah subsidi upah antara RM600 sehingga RM 1,200 selama 3 bulan bagi mengelakkan pemberhentian pekerja. Manfaat lain pula ada seperti geran khas RM3,000, Skim Kredit Mikro Tanpa Faedah, pengecualian/diskaun sewa premis, dan pengurangan bayaran levi sebanyak 25 peratus bagi warga kerja asing.

Apa yang istimewanya dengan PKS sehingga ada satu bajet khusus untuk mereka?

Bagi yang masih tidak jelas atau samar-samar, definisi PKS adalah seperti berikut:

Sumber: www.smecorp.gov.my

Sekarang dah faham apa itu PKS? Jadi apa sumbangan mereka kepada negara? Seperti dalam teks ucapan YAB PM, sektor PKS adalah penyumbang 2/3 dari sektor pekerjaan dan hampir 40 peratus kepada ekonomi.

Oleh itu, adalah penting bagi sektor ini terus bergerak dan memacu ekonomi Malaysia.

Bagi yang masih tak tahu, berikut disenaraikan sumbangan PKS kepada negara:

1. Peluang Pekerjaan

PKS adalah sektor yang berorientasikan buruh. Keperluan tenaga buruh secara langsung mengurangkan pengangguran dan mewujudkan peluang pekerjaan.

Seperti yang telah dinyatakan, 2/3 dari sektor pekerjaan adalah sumbangan dari PKS.

2. Pengagihan Pendapatan

PKS membuka peluang kepada pekerja kurang mahir dan separuh mahir untuk meraih pendapatan. Kewujudan PKS dapat mengurangkan jurang pendapatan di kalangan masyarakat.

Sebagai contoh, Kilang Jeruk Pak Ali membuka peluang pekerjaan kepada golongan yang berpendidikan rendah untuk bekerja sebagai pembungkus atau operator.

Bayangkan jika semua pekerjaan yang ditawarkan adalah kerjaya profesional seperti akauntan atau doktor, apa jadi dengan golongan yang berpendidikan rendah?

3. Pengukuhan Industri Negara

PKS dapat mengukuhkan struktur asas ekonomi negara. Kewujudan PKS adalah sebagai pelengkap kepada firma yang lebih besar dan selari dengan impian Malaysia untuk menjadi sebuah negara perindustrian.

Sebagai contoh, industri automotif memerlukan kontraktor pengilangan, komponen enjin, komponen tayar, dan lain-lain lagi yang akan membuka peluang kepada PKS terlibat dalam industri negara.

Semua ini akan membuka jaringan bekalan yang cukup luas dan mewujudkan peluang pekerjaan.

4. Pengurangan Import Barangan Pengguna

PKS menawarkan barangan pengguna pada kadar harga yang lebih rendah jika dibandingkan dengan barangan yang diimport.

Jika PKS dapat meningkatkan pengeluaran dan masyarakat pula membeli daripada mereka, kerajaan dapat mengurangan kebergantungan kepada barangan import sekaligus mengurangkan pengaliran mata wang ke luar negara.

5. Peningkatan Eksport

Jika PKS berdaya saing dan dapat meningkatkan mutu pengeluaran, barangan tersebut boleh dieksport ke luar negara dan meningkatkan ekonomi negara sekaligus mencapai hasrat menjadi negara perindustrian.

Kita boleh lihat kebanyakan negara maju yang banyak mengeksport barangan keluar negara seperti Korea Selatan dan China.

Disebabkan oleh Covid 19, sektor PKS adalah antara sektor yang terjejas kerana tidak dapat menjalankan operasi perniagaan seperti biasa. Diharap dengan Pakej PRIHATIN yang diperkenalkan kerajaan dapat membantu mereka mengukuhkan kembali sektor PKS ke landasan yang sepatutnya.

Manfaat yang diberikan diharap dapat membantu mereka mengawal aliran tunai yang terjejas akibat penutupan premis dan operasi semenjak Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula pada 18 Mac yang lalu.

Sebarang pertanyaan atau permohonan bagi program subsidi upah boleh hubungi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) manakala bagi skim kredit mikro boleh rujuk Bank Simpanan Nasional (BSN) atau TEKUN Nasional selaku agensi pelaksana.

Semoga bermanfaat.

Ditulis Oleh Azharul Adha Bin Dzulkarnain
Boleh dihubungi melalui emel [email protected]



Source link