Artikel Terkini

Petronas teruskan komitmen pelaburan dalam pendidikan menerusi PESP


KUALA LUMPUR: Petronas menerima lebih 10,000 permohonan bagi Program Penajaan Pendidikan Petronas (PESP) daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 370 orang calon dengan kelayakan akademik dan nilai kepimpinan cemerlang telah berjaya menerima tajaan menerusi program berkenaan.

Naib Presiden Kumpulan Pengurusan Sumber Manusia Petronas, Farehana Hanapiah berkata inisiatif tajaan pendidikan yang memasuki tahun ke-45 itu merupakan antara sumbangan semula syarikat kepada negara.

“Komitmen ini adalah selaras dengan Agenda Kelestarian Petronas dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Agenda berkenaan adalah bagi memastikan peluang pendidikan berkualiti kepada para graduan selain pembangunan pekerjaan yang sesuai serta sumbangan kepada pembangunan ekonomi negara,” katanya kepada Astro AWANI baru-baru ini.

Sejak PESP diperkenalkan pada tahun 1975, syarikat minyak dan gas negara itu telah melabur lebih RM3.3 bilion bagi tajaan berkenaan dan hampir 37,000 pelajar menerima manfaat daripadanya.

Menurut Farehana, syarikat akan terus memberi tumpuan dalam bidang-bidang yang masih relevan dengan industri minyak, gas dan tenaga.

“Kami akan terus komited dengan penajaan pendidikan dalam bidang-bidang yang masih relevan dari segi tradisional seperti kejuruteraan kimia, mekanikal, geofizik dan geologi.

“Dalam masa yang sama, syarikat turut mengenal pasti bidang-bidang bersesuaian bagi masa akan datang, ia termasuk bidang matematik, statistik dan kejuruteraan komputer,” ujarnya.

Pemimpin PETRONAS bersama para pelajar PESP di sebuah sesi perjumpaan di United States pada tahun 2019.

Selain itu, beliau berkata, meskipun berhadapan dengan krisis penularan pandemik COVID-19, ketidakstabilan harga minyak dan keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan, Petronas tetap memberi tumpuan bagi memperkasakan potensi pelajar yang menerima tajaan pendidikan di dalam dan luar negara.

“Selaras dengan perintah kawalan pergerakan yang dilaksanakan kerajaan ketika pandemik ini, syarikat telah melakukan proses pemilihan sepenuhnya secara dalam talian bagi calon yang disenarai pendek.

“Kami turut bekerjasama dengan agensi-agensi terlibat bagi memberi peluang kemudahan kepada calon PESP yang tidak mempunya akses kepada platform online.

“Hasilnya, tahap kehadiran pelajar pada tahun ini meningkat sebanyak 97 peratus berbanding tahun sebelumnya sebanyak 80 peratus,” jelasnya.

Selain daripada tajaan pendidikan, PESP turut memberi fokus kepada pembangunan bakat khususnya dalam membentuk pemikiran kepimpinan intelektual dan kebersediaan tenaga kerja dalam kalangan pelajar tajaan Petronas.

Pelajar yang terlibat berpeluang melanjutkan pendidikan di Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan di universiti-universiti tempatan yang terpilih serta antarabangsa seperti di Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada, Australia, New Zealand, China, dan Jepun.

Petronas percaya melalui pelaburan konsisten, ia dapat melahirkan bakat yang serba boleh yang akan menyumbang dalam menjana ekonomi rakyat bagi membangunkan kelestarian industri dan negara.

 





Source link

Related Posts