Artikel Terkini

Petros kawal sepenuhnya perniagaan gas domestik Sarawak



KUCHING: Petroleum Sarawak Berhad (Petros) kini mengawal sepenuhnya perniagaan gas domestik di Sarawak berkuatkuasa 1 Januari 2020.

Ia susulan termeterainya Memorandum Persefahaman (MOU) bersama Petroliam Nasional Berhad (Petronas) berkaitan pengurusan gas domestik di negeri ini.

Menerusi MOU ini, Petros akan jadi entiti tunggal yang membekal, menjual dan menghantar gas domestik ke kediaman, premis perniagaan dan industri di Sarawak dan ini sekali gus merealisasikan objektif Ordinan Pengedaran Gas 2016.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, ia bermakna Petronas kini sudah menunjukkan ke arah mematuhi ordinan tempatan.

“Dengan ini, Sarawak kini dalam posisi yang kuat bagi meningkatkan daya tarik negeri sebagai lokasi tumpuan pelaburan seterusnya meningkatkan pembangunan ekonomi negeri bagi mengejar aspirasi sebagai negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030,” kata Awang Tengah.

MOU ditandatangani Naib Presiden Kanan Malaysia Petroleum Management Mohamed Firouz Asnan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petros Datuk Saau Kakok.

Ia turut disaksikan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin dan Pengerusi Petros Tan Sri Datuk Amar Hamid Bugo.

Kerajaan Sarawak pada masa sama mengalu-alukan penglibatan Petronas dalam mengukuhkan sektor minyak dan gas Sarawak berdasarkan situasi menang menang.

Namun ia mestilah berlandaskan peraturan yang diperuntukkan undang-undang Sarawak.

“Ada pepatah berbunyi apabila di Rom, bertindak seperti orang Rom. Kini anda berada di Sarawak, nasihat saya ikutlah undang-undang tempatan Sarawak.”

Untuk rekod, Sarawak memiliki 54 peratus daripada jumlah keseluruhan rizab gas nasional selain 29 peratus rizab minyak negara.

Bagaimanapun kebanyakan sumber minyak dan gas Sarawak dieksport sebagai minyak mentah dan gas asli cecair (LNG).





Source link

Related Posts