Artikel Terkini

PKP bawa rakyat Malaysia jalani norma baharu kehidupan



KUALA LUMPUR: Penularan wabak COVID-19 yang membawa kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac, sedikit sebanyak mendidik rakyat di seluruh dunia termasuk Malaysia, untuk mengubah tabiat hidup demi mengutamakan kesihatan dan keselamatan diri.

Rata-rata rakyat menggunakan arahan ‘stay at home’ atau kekal berada di rumah itu dengan meningkatkan keupayaan diri dalam pelbagai termasuk yang berkaitan dengan pekerjaan, keluarga serta untuk diri sendiri.

Menyedari usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian COVID-19, yang sehingga 10 April menyaksikan 4,346 kes direkodkan dengan 70 kematian selain seramai 1,830 pesakit yang pulih, rakyat sedaya upaya mematuhi PKP yang dilanjutkan sehingga 28 April ini.

Dalam tempoh hampir sebulan menjalani kehidupan dengan mematuhi PKP, pelbagai langkah kawalan yang perlu diamalkan dalam usaha mencegah penularan wabak berkenaan telah mencipta ‘norma’ atau kebiasaan baharu, dalam kehidupan masyarakat antaranya :

Keluhan yang sebelum ini banyak disuarakan kerana terpaksa bekerja dari rumah kini semakin berkurangan, apabila rata-rata rakyat sudah mampu menyesuaikan diri dengan perubahan yang dilakukan dalam tempoh hampir sebulan di bawah PKP. Malah, kini ramai yang sudah mula selesa dan mampu memanfaatkan teknologi dalam melaksanakan pekerjaan mereka, termasuk menggunakan aplikasi terkini seperti Skype, Zoom atau MS Team untuk berkomunikasi dengan rakan sekerja dan keluarga, dalam keadaan pergerakan terbatas.

Pembelajaran secara maya yang sebelum ini tidak begitu mendapat sambutan turut menjadi pilihan ibu bapa dan anak-anak, agar tidak ketinggalan dalam pembelajaran. Lebih bermakna, dengan masa yang ada, ibu bapa dilihat lebih terlibat dalam membantu mendidik anak-anak.

Tempoh mencabar ini juga menyaksikan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, bekerjasama memperkenalkan slot program TV Pendidikan menerusi saluran Tv Okey RTM, sebagai usaha tambahan kepada siaran Eduweb TV yang ketika ini dilaksanakan Kementerian Pendidikan, bagi membantu pelajar mendapat akses kepada bahan pembelajaran melalui platform alternatif selain pembelajaran dalam talian.

Pembelajaran secara maya juga menjadi pilihan penuntut institusi pengajian tinggi dalam meneruskan pengajian masing-masing selain tenaga pengajar mengasah kemahiran mereka dalam menggunakan teknologi untuk menyampaikan ilmu.

  • Tingkat Amalan Kebersihan Diri

Mesej-mesej amalan penjagaan kebersihan diri yang sentiasa ditekankan, sejak awal kes COVID-19 dilaporkan di Malaysia antara lain telah mendidik rakyat supaya mengamalkan adab sebetulnya, ketika batuk atau bersin.

Selain itu, amalan mencuci tangan dengan betul dan kerap juga makin menjadi kebiasaan rakyat, malah cecair pembasmi kuman dan topeng hidung dan mulut yang sebelum ini bukanlah sesuatu yang wajib, kini menjadi barang keperluan utama di setiap rumah.

Rakyat juga dinasihatkan supaya kerap mandi bagi memastikan badan sentiasa bersih bagi mengelakkan risiko jangkitan.

Keperluan membuat jarak sosial yang ditekankan pada ketika ini, menyaksikan beberapa kebiasaan turut berubah antaranya amalan berjabat tangan, di mana kini ramai yang semakin biasa dengan amalan meletakkan tangan kanan ke dada kiri, sambil tunduk tanda hormat.

Perkara itu yang menuntut orang ramai menjarakkan diri sekurang-kurangnya satu meter, walaupun mungkin akan kekal sebagai amalan selepas berakhirnya pandemik ini, namun sekurang-kurangnya amalan itu akan menjadi kebiasaan baharu dalam masyarakat.

  • Perkembangan pesat sektor ekonomi gig

PKP telah menyaksikan ekonomi gig menjadi segmen ekonomi yang semakin meningkat popular sejak akhir-akhir ini, khususnya melalui e-hailing di mana kaedah perkhidmatan itu digunakan secara meluas dalam membantu memudahkan pelbagai kehidupan masyarakat yang terbatas kini.

Rakyat juga kini semakin terbuka menerima kaedah pembayaran digital dalam urusan harian mereka, terutamanya apabila perkhidmatan e-hailing turut menggabungkan e-dompet, serta pembayaran tanpa tunai.

  • Luang masa bersama keluarga

Tempoh hampir sebulan mematuhi PKP itu juga memberi peluang dan ruang kepada mereka yang berkeluarga untuk meningkatkan lagi hubungan, khususnya dengan anak-anak selain lebih memahami antara satu sama lain.

Rata-rata golongan ibu bapa yang bekerja mengakui bahawa mereka kini lebih bijak memahami emosi anak-anak selain menghargai masa bersama keluarga.

— BERNAMA





Source link