Artikel Terkini

PKPB: Penggiat e-dagang patuhi SOP, amalkan langkah pencegahan



KUALA LUMPUR: Kalangan penggiat e-dagang mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan meneruskan langkah-langkah pencegahan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), demi keselamatan kesihatan pekerja dan pembeli.

Pengarah Urusan Serantau Shopee Ian Ho berkata keadaan masih terlalu awal untuk mengulas perkembangan yang bermula hari ini kerana syarikat terbabit juga perlu meneliti pengumuman kerajaan Persekutuan mahu pun kerajaan negeri.

“Pendirian kami jelas — mematuhi garis panduan dan beroperasi mengikut ketetapan undang-undang dan pada masa sama melaksanakan semua langkah pencegahan demi pekerja dan pembeli,” katanya kepada Bernama hari ini.

Menurutnya, langkah itu termasuk proses pembasmian kuman di peringkat gudang dan hab yang mana kemudahan di Malaysia dinyahkuman setiap hari sebelum bermulanya syif kerja dan pemeriksaan suhu harian pekerja dan penghantar Shopee Express sebelum memasuki gudang dan/atau sebelum memulakan rutin penghantaran mereka.

Shopee turut mewajibkan mereka menggunakan penutup hidung dan mulut sepanjang masa selain penggunaan cecair pembasmi kuman pada tangan sebelum mengendalikan sebarang bungkusan.

“Semua bungkusan dinyahkuman sebelum dikeluarkan daripada gudang dan/atau hab untuk tujuan penghantaran. Malah, melangkaui garis panduan standard, semua bungkusan akan dinyahkuman sekali lagi sebelum dihantar kepada pelanggan,” katanya.

Pada masa sama, Shopee turut mengamalkan penghantaran tanpa sebarang sentuhan atau berurusan langsung dengan pelanggan.

“Bungkusan itu akan diletakkan di depan pintu, peti surat atau lobi bangunan bagi mengelak sebarang pertembungan dalam proses itu. Bagi penghantaran lain, penghantar akan mengamalkan jarak selamat sekurang-kurangnya satu meter dengan pembeli. Tiada sebarang tanda tangan diperlukan bagi pengesahan penerimaan bungkusan,” katanya.

Sementara itu, Lazada Malaysia berkata ia berusaha untuk meneruskan operasi seperti biasa dan mengekalkan kelancaran perkhidmatan logistik bagi memenuhi keperluan komuniti.

Menurutnya, adalah menjadi tanggung jawab peneraju platform e-dagang itu untuk berkhidmat kepada negara ini menerusi usaha menggalakkan pertumbuhan ekonomi ketika tempoh sukar dengan memperkasa perusahaan kecil dan sederhana seperti pelan rangsangan Lazada Pakej Kedai Pintar.

“Perniagaan luar talian terutamanya mereka yang terjejas akibat penutupan bazar tahun ini, dapat mendigitalkan perniagaan dan berniaga secara dalam talian dengan memanfaatkan kemudahan logistik menyeluruh Lazada.

“Bagi Ramadan ini misalnya, terdapat lebih daripada 15 pengusaha makanan telah dipilih untuk menawarkan makanan sedia dimakan untuk kemudahan berbuka puasa pelanggan ketika kempen Salam Mubarak Lazada selama sebulan,” kata jurucakap Lazada Malaysia ketika dihubungi, hari ini.

— BERNAMA





Source link