Uncategorized

Program Khidmat Masyarakat Education Malaysia Global Services Bersama Dr. Takayuki Akahoshi

Program Khidmat Masyarakat Education Malaysia Global Services Bersama Dr. Takayuki Akahoshi 1


KUALA LUMPUR, Malaysia, 9 April, 2019 /PRNewswire/ — Dr. Takayuki Akahoshi merupakan salah seorang pakar mata yang paling inovatif dan berjaya pada masa kini. Pengarah Oftalmologi di Mitsui Memorial Hospitaldi Tokyo, Jepun itu merupakan pakar bedah katarak yang berwibawa dan masyhur di peringkat antarabangsa, terutamanya dalam pembangunan teknik ‘phaco prechop‘ dan instrumen yang membahagikan nukleus kanta sebelum pengemulsian phaco, yang mana proses pengaluran nukleus tidak lagi diperlukan.

Sebagai satu penghormatan, Dr. Takayuki Akahoshi menerima jemputan ke Malaysia sebagai destinasi terbaru untuk berkongsi kepakaran beliau. Justeru itu, Education Malaysia Global Services (EMGS) dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) amat berbesar hati untuk mengadakan program khidmat masyarakat di Pusat Perubatan UKM (PPUKM), Kuala Lumpur; Hospital Langkawi, Kedah; dan Hospital Queen Elizabeth, Sabah mulai 23 April 2019 sehingga 30 April 2019 sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami.

Dr. Akahoshi akan menjalankan pembedahan tersebut secara ‘live‘ (siaran langsung) di PPUKM dan Hospital Langkawi. Beliau akan menawarkan rawatan menggunakan teknik yang diciptanya kepada penduduk tempatan yang terpilih secara percuma. Di samping itu, program ini juga melibatkan proses ‘skill transfer’ kepada doktor pakar dan doktor pakar pelatih dalam bidang ini di Malaysia.

Beliau akan menyampaikan syarahan kepada pakar oftalmologi, pelatih oftalmologi dan pegawai perubatan lainnya di setiap lokasi. Beliau bersama pakar-pakar tempatan jemputan akan turut menyampaikan syarahan di Simposium Pembedahan Katarak Kebangsaan (National Cataract Surgery Symposium atau NCSS 2019) yang akan berlangsung 26-28 April 2019 di PPUKM, CherasKuala Lumpur. Simposium seperti ini julung kali diadakan di peringkat kebangsaan di Malaysia.

Kerajaan Malaysia telah menumpukan banyak sumber untuk membangunkan bidang ini. Pada masa ini, terdapat tiga (3) Universiti Awam (UA) yang menawarkan kursus dan latihan dalam bidang oftalmologi iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Hospital Mata Kebangsaan Tun Hussein Onn telah dibina untuk menawarkan rawatan dan memberikan pendidikan dalam penjagaan mata kepada orang awam. Di bawah sayapnya, Bank Mata Kebangsaan turut tubuhkan untuk menggalakkan pendermaan organ mata, manakala Institut Nasional Sains Oftalmik (NIOS) pula bertanggungjawab untuk menjalankan latihan dan penyelidikan dalam bidang ini.

Latihan pembedahan katarak ini adalah wajib bagi setiap pelatih dalam memahirkan diri untuk menjadi seorang pakar dalam bidang oftalmologi. Sehingga kini terdapat seramai 606 orang ahli berdaftar di bawah Persatuan Oftalmologi Malaysia. Dengan program-program latihan yang bersesuaian, diharapkan agar jumlah pengamal perubatan yang pakar dalam bidang ini akan meningkat.

Lawatan Dr. Akahoshi merupakan peluang terbaik untuk merangsang kemajuan pengajaran dan pembelajaran (P&P) serta pembangunan profesional berterusan (CPD) di Malaysia, terutamanya bagi pakar oftalmologi dan pakar lain yang berkaitan. Ia juga sebagai satu penanda aras terutamanya di rantau ini, bahawa perkembangan bidang oftalmologi di Malaysia sedang mengalami lonjakan baru.

Dr. Takayuki Akahoshi juga pernah merawat YAB Tun Dr. Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri Malaysia pada tahun 2015.

Sumber: Education Malaysia Global Services

Program Khidmat Masyarakat Education Malaysia Global Services Bersama Dr. Takayuki Akahoshi 2

Komen

komen





Source link