Artikel Terkini

Proton perluaskan rangkaian pengurusan kereta terpakai



KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd berhasrat mewujudkan operasi pengurusan kereta terpakai (UCM) di 36 cawangan 3S/4S seluruh negara tahun ini, berikutan permintaan yang kian meningkat untuk kereta-kereta terpakai.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat pengeluar kereta itu berkata corak pembelian baharu mula terlihat di pasaran sejak tercetusnya COVID-19, antaranya ialah pertumbuhan jualan kereta terpakai, yang mana menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah meningkat 100 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun 2020.

“Proton melihat ini sebagai sebahagian strategi penting dan mula memperkenalkan jabatan Pengurusan Kereta Terpakai (UCM) bagi melancarkan penjualan dan pengedaran kereta terpakai dalam usaha meningkatkan penjualan kereta baharu,” katanya.

Ketua Pengurusan Kereta Terpakai Brian Cheah berkata, dengan pertumbuhan jualan Proton yang meningkat pantas dan dijangka berterusan dalam beberapa tahun akan datang, peranan pengurusan kereta terpakai menjadi lebih penting dan syarikat akan membantu pelanggan yang ingin menukar ganti kereta terpakai mereka.

Beliau berkata sasaran yang ditetapkan untuk UCM adalah penggantian jualan, yang mana pemilik sedia ada menukar beli sebuah Proton baharu, dan menyumbang sekurang-kurangnya 10 peratus daripada jumlah jualan bagi pusat jualan yang mempunyai perkhidmatan UCM.

Syarikat juga telah memperkenalkan program untuk membantu mencapai sasaran sepertiProton Xchange, yang direka untuk menggalakkan pemilik sedia ada menggantikan kereta mereka dengan model Proton baharu.

— BERNAMA





Source link

Related Posts