Artikel Terkini

Qatar tawar peluang pelaburan besar kepada syarikat Malaysia – MQBC



DOHA: Usahawan Malaysia perlu mengorak langkah merebut peluang besar yang ditawarkan Qatar untuk meneroka pasaran di negara berkenaan, sekali gus dapat melebarkan sayap perniagaan mereka ke negara Asia Barat lain.

Presiden Majlis Perniagaan Malaysia-Qatar (MQBC), Datuk Maheran Mohd Salleh berkata Qatar mempunyai banyak syarikat kukuh yang bersedia menjalin kerjasama dengan syarikat Malaysia dalam bidang seperti sektor minyak dan gas, pelancongan kesihatan serta jaminan keselamatan makanan.

“Kami (MQBC) berharap syarikat Malaysia mengambil peluang daripada hubungan rapat antara kedua-dua negara ini (Malaysia dan Qatar) bagi mengembangkan perniagaan mereka di Qatar,” katanya ketika ditemui media Malaysia di sini, Rabu.

Beliau berkata MQBC bersedia menjadi pusat sehenti kepada syarikat serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia yang berminat melabur di negara ini untuk memperluaskan perniagaan mereka.

“Sebelum ini, banyak syarikat Malaysia tidak tahu peluang pelaburan yang ada di Qatar, malah ada juga yang bimbang untuk melabur di sini. MQBC sedia membantu syarikat Malaysia dan juga Qatar untuk mewujudkan rakan perniagaan strategik untuk membuat pelaburan di kedua-dua negara,” katanya.

Maheran berkata pada masa ini, jumlah syarikat Malaysia yang melabur di Qatar masih kecil berbanding dengan syarikat dari Singapura dan Indonesia.

Malah, beliau berkata lima syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Malaysia seperti Gamuda Berhad dan WCT Engineering Bhd (WCT), yang memperoleh projek di negara ini sejak 10 tahun lepas, juga kini sudah menyiapkan projek masing-masing.

“Jadi, syarikat dan usahawan Malaysia perlu merebut peluang yang ada di negara ini,” katanya.

Maheran berkata Qatar juga berhasrat menjadikan Malaysia sebagai “pangkalan” untuk melebarkan pelaburan mereka di Asia Tenggara.

Katanya lawatan rasmi empat hari Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke Qatar bermula Rabu (11 Dis), juga dijangka memberi kesan positif terhadap dagangan antara kedua-dua negara.

Qatar adalah rakan ekonomi kelima terpenting kepada Malaysia di Asia Barat. Pada 2018, jumlah perdagangan antara kedua-dua negara berjumlah RM3.72 bilion, meningkat 29 peratus berbanding pada 2017.

— BERNAMA





Source link

Related Posts