Artikel Terkini

Rahsia Perniagaan Kecil Di Jepun Yang Mampu Bertahan Beratus Tahun


Membuka apa-apa jenis perniagaan merupakan perkara yang mudah bagi setiap orang. Tetapi untuk kekal di dalam industri perniagaan tersebut, tidak ramai usahawan yang berjaya untuk bertahan lama. Kebiasaannya perniagaan yang kecil ini mengambil masa selama 5 tahun untuk stabil dan di dalam masa tersebut, kebanyakanya perniaga tidak dapat bertahan.

Selepas tempoh 5 tahun, hanya separuh sahaja perniagaan yang akan bertahan mengikut kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat.

Lain pula yang berlaku kepada perniagaan kecil di  Jepun. Industri perniagaan kecil di Jepun merupakan yang terbaik di dunia pada ketika ini. Hal ini disebabkan  Jepun menduduki tempat pertama di dalam senarai perniagaan berskala kecil yang dapat bertahan sehingga 100 tahun.

Jepun yang terkenal dengan perusahaan kecil yang paling lama bertahan adalah disebabkan beberapa faktor yang tidak terdapat pada negara lain. Selain daripada memegang rekod dengan masyarakat tua yang paling ramai di dunia, negara matahari terbit ini juga turut memegang rekod hotel yang paling tua dibuka iaitu pada tahun 750 masihi.

Faktor utama yang menyebabkan perniagaan di Jepun dapat bertahan lama adalah dengan mewariskan perniagaan tersebut kepada anak cucu mereka. Para perniaga di Jepun mempunyai visi yang jelas untuk mempertahankan perniagaan tersebut supaya mereka dapat mewarisi perniagaan tersebut kepada generasi yang akan datang.

Selain itu juga, kebanyakan syarikat di Jepun tidak memfokuskan kepada keuntungan untuk jangka masa yang pendek seperti kebanyakan perniagaan lain. Kebanyakan perniagaan di barat adalah berorientasikan kepada keuntungan yang besar bagi mengembangkan syarikat mereka.

Bagi masyrakat Jepun, menyambung generasi perniagaan adalah lebih penting daripada membuat keuntungan dalam masa yang singkat.

Mereka juga mengamalkan prinsip mengambil anak angkat yang sudah dewasa untuk mengganti mereka yang tidak mempunyai anak kandung yang berkebolehan di dalam pengurusan perniagaan.

Mengambil anak angkat yang dewasa merupakan salah satu tradisi yang unik yang diamalkan oleh masyarakat Jepun. Tradisi ini telah lama bermula sejak zaman pemerintahan Edo lagi.

Selain mengambil anak angkat yang dewasa untuk mengurus perniagaan, perkahwinan juga merupakan salah satu cara untuk mewarisi perniagaan di dalam masyarakat Jepun. Mengikut pepatah Jepun yang terkenal ialah “kita tidak dapat memilih siapa anak kita tetapi kita boleh memilih siapa bakal menantu kita”.

Melalui perkahwinan, kebanyakan perniagaan mereka akan kekal di dalam keluarga tersebut.

Faktor yang ketiga yang berjaya membawa perniagaan kecil Jepun berjaya di dalam dunia ini adalah faktor hubungan di antara peniaga dan pelanggan. Orang Jepun terkenal dengan masyarakat yang memiliki budaya yang tinggi.

Layanan kepada pelanggan yang diberikan adalah sangat luar biasa. Ianya menjadi teras di dalam perniagaan dan melayan karenah pelanggan dengan baik merupakan salah satu nadi di dalam perniagaan.

Tanpa pelanggan, siapalah kita. Hasilnya, kebanyakan perniagaan di Jepun mampu untuk bertahan bagi satu tempoh yang lama.

Faktor keempat pula adalah dikenali sebagai core competency. Faktor ini merupakan faktor yang penting didalam mana mana perniagaan di Jepun iaitu faktor asal penubuhan sesuatu syarikat.

Sebagai contoh, Nintendo merupakan sebuah syarikat yang asalnya ditubuhkan mengkhususkan kepada hiburan. Mereka telah menghasilkan kad permainan pada kurun ke-19 dan sehingga kini, core competency syarikat ini tidak berubah.

Apa yang berubah adalah produk yang ditawarkan oleh syarikat ini iaitu konsol permainan video. Apabila sesebuah syarikat itu berubah seiring dengan peredaran zaman, perniagaan syarikat tersebut akan kekal relevan dan terus berjaya di dalam bidang yang diceburinya.

Begitulah rahsia yang dipegang oleh masyarakat Jepun bagi membolehkan negara mereka mempunyai banyak perniagaan dengan usia yang sangat panjang.

Sumber Rujukan:



Source link