Artikel Terkini

Rangkuman Pergerakan Saham Wall Street, Asia & Malaysia Sepanjang Minggu Ini (6-10 Julai 2020)


Pasaran Wall Street ditutup lebih tinggi pada akhir sesi dagangan minggu ini pada Jumaat (10 Julai 2020). Kenaikan ini disokong oleh sektor tenaga, kepenggunaan, dan perbankan. Faktor penting kepada kenaikan ini adalah isyarat positif dalam analisis syarikat Gilead Sciences dalam penghasilan vaksin untuk mengubati penyakit Covid-19.

Dalam penutupan di Bursa Saham New York (NYSE), Indeks Dow Jones Industrial Average (DJIA) yang mengandungi 30 syarikat terbesar dalam bursa saham Amerika Syarikat (AS) naik sebanyak 1.44% dan ditutup pada 26,075 mata.

Indeks komposit Nasdaq yang terdiri lebih daripada 2,500 syarikat ditutup pada paras 10,617 mata lebih tinggi daripada tempoh sebelumnya 10,207 mata pada penutupan minggu lalu.

Manakala indeks S&P 500 yang sering dijadikan panduan prestasi keseluruhan ekonomi AS ditutup 1.05% lebih tinggi di paras 3,185 mata.

Untuk sepanjang minggu ini, DJIA merekodkan kenaikan 1%, S&P 500 menokok 1.8%, manakala Nasdaq melonjak hingga 4%.

Ini sememangnya satu petanda positif kepada keseluruhan ekonomi AS seterusnya global. Ia menunjukkan perasaan pelabur yang positif terhadap keadaan semasa ketika ini sekaligus menghasilkan peningkatan dalam prestasi saham di negara itu.

Pasaran Saham Asia

Pasaran saham Asia yang ditutup lebih awal pada Jumaat merekodkan kemerosotan berikutan kebimbangan pelabur terhadap peningkatan kes penularan koronavirus.

Indeks saham utama Asia yang menjadi petunjuk prestasi keseluruhan pasaran Asia ditutup lebih rendah. Di Tokyo, indeks Nikkei yang didagangkan di Bursa Saham Tokyo (TKE) ditutup 1.06% lebih rendah pada 22,290 mata.

Indeks Hang Seng di Hong Kong pula merosot sebanyak 1.8% kepada 25,727 mata dalam penutupan semalam berikutan penularan Covid-19 yang memaksa kerajaan menutup sekolah-sekolah. Manakala indeks Shanghai dan CSI300 di China masing-masing ditutup hampir 2% lebih rendah.

Indeks saham China yang mengalami kejatuhan agak banyak pada Jumaat walaubagaimanapun merekodkan kenaikan yang tinggi sepanjang sesi dagangan minggu ini.

Pelabur-pelabur China pada mulanya berpusu-pusu masuk ke pasaran saham negara itu pada sesi dagangan Isnin (6 Julai 2020) sehingga menyebabkan kenaikan indeks CSI300 setinggi 5.7%. Motivasi pelabur pada hari tersebut didorong oleh Beijing agar mereka membeli ekuiti tempatan dengan meyakinkan bahawa ekonomi sedang pulih daripada pandemik.

Prestasi pasaran China begitu baik pada minggu ini di mana indeks Shanghai merekodkan kenaikan empat hari berturut-turut sejak Isnin sebelum membuat penurunan pada sesi dagangan semalam. Ini juga adalah prestasi terbaik mingguan indeks ini sejak lima tahun lepas dengan jumlah dagangan melonjak tinggi sepanjang minggu ini. Peratusan saham yang bertukar tangan juga meningkat sebanyak 80% berbanding pada minggu lalu.

Secara keseluruhan, peningkatan ini dapat mengurangkan tekanan untuk mendapatkan dana, mengaktifkan ekonomi dan memacu semula aktiviti perniagaan di China. Walaubagaimanapun, terdapat kebimbangan terbaru di mana hubungan AS-China terus tegang dengan pengharaman TikTok di Amerika Syarikat dan juga beberapa aplikasi yang asalnya dari China.

Pasaran Saham Malaysia

Sebagaimana peningkatan dalam pasaran China, Bursa Malaysia juga merekodkan prestasi yang baik pada minggu ini yang mana boleh dikatakan Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) merekodkan kenaikan dalam empat hari dagangan minggu ini kecuali pada hari Selasa (7 Julai 2020).

Indeks FBM KLCI yang terdiri daripada 30 syarikat terbesar di Bursa Malaysia ditutup 8.59 mata lebih tinggi kepada 1,591.84 daripada 1,583.25 mata pada hari Khamis.

Antara yang menyokong kenaikan Bursa Malaysia pada minggu ini adalah permintaan yang terus mapan terhadap tujuh kaunter sarung tangan negara, lonjakan saham ‘penny-stock‘ dan juga tindakan Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan kadar faedah ke paras terendah dalam sejarah.

Tindakan melonggarkan dasar monetari oleh BNM pada Selasa adalah bertujuan merangsang ekonomi domestik sekaligus memacu pemulihan yang berterusan akibat perintah kawalan pergerakan selama hampir empat bulan. Dalam kenyataannya, BNM mengakui aktiviti ekonomi yang dibuka secara berperingkat sejak bulan Mei menunjukkan pemulihan sedang berjalan sejak kemelesetan pada suku kedua.

Lonjakan saham-saham kecil (penny-stock) dapat dilihat dengan jelas pada sesi dagangan Rabu apabila trading-volume melonjak ke paras tertinggi yang baru dengan 11.81 billion saham didagangkan.

Sumber rujukan:



Source link