Artikel Terkini

RHB tutup operasi perniagaan di Hong Kong



KUALA LUMPUR: RHB Bank Bhd akan menggulung operasi perniagaannya di Hong Kong.

Bank itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata anak syarikatnya di pulau itu secara beransur-ansur akan memberhentikan tawaran perkhidmatan kewangan kepada pelanggan sedia ada dan yang berpotensi.

“Persekitaran operasi pembrokeran yang semakin mencabar di Hong Kong telah mengakibatkan kerugian direkodkan bagi Kumpulan RHB Hong Kong. Akibatnya, ia tidak lagi berdaya maju untuk meneruskan operasi perniagaan.

“RHB Investment Bank, sebagai pemegang saham Kumpulan RHB Hong Kong akan menyediakan sokongan yang diperlukan bagi memastikan penggulungan operasi perniagaan mereka berjalan secara tersusun,” katanya.

Cadangan penutupan tidak tertakluk kepada kelulusan pemegang saham RHB Bank atau mana-mana pihak berkuasa.

Katanya, penutupan ini akan membenarkan RHB Investment Bank untuk menumpukan usaha dan sumber bagi memacu pertumbuhan jangka panjang di pasaran ASEAN yang lain, sejajar dengan strategi Kumpulan Perbankan RHB yang lebih besar.

Tanpa mengambil kira sebarang keadaan yang tidak diduga, cadangan penutupan itu dijangka siap pada suku kedua 2020.

Pemberhentian operasi tersebut tidak akan mempunyai sebarang kesan material ke atas aset atau penggearan atau pendapatan syarikat yang disatukan bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2019.

— BERNAMA





Source link

Related Posts