Artikel Terkini

Ringgit dibuka rendah berikutan pertikaian perdagangan baharu AS-China



KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat berikutan ketegangan baharu yang tercetus di antara AS dengan China berkaitan hubungan perdagangan mereka.

Pada 9 pagi, ringgit berada pada 4.2780/2880 berbanding mata wang negara maju itu daripada 4.2750/2800 ketika ditutup pada Khamis.

Penganalisis berkata, ancaman baharu oleh Presiden Donald Trump untuk memutuskan hubungan dengan China dijangka memburukkan lagi ekonomi global yang telah sedia suram disebabkan pandemik COVID-19.

“Oleh kerana penggunaan berada di paras rendah berikutan peningkatan kadar pengangguran di seluruh dunia, kemelut perdagangan AS-China ini hanya akan merencatkan pemulihan ekonomi terutama di pasaran pesat membangun,” katanya.

Malaysia merupakan negara yang amat bergantung kepada perdagangan bebas di samping menjadi rakan dagangan bagi AS dan China.

Semalam, Trump mengulangi ugutannya untuk memutuskan hubungan dengan China, sehari selepas Wakil Perdagangan AS, Robert Lighthizer memberitahu Kongres bahawa beliau tidak melihat pemisahan ekonomi AS dan China sebagai satu pilihan yang berdaya maju.

Pegawai China pula kekal tidak memberi maklum balas mengenai perkara tersebut.

Sejak dekad-dekad yang lepas, dagangan global China semakin meningkat kukuh dan setakat 2019, ia menguasai kira-kira 15 peratus bahagian perdagangan dunia bernilai kira-kira AS$5.2 trilion dengan eksport terbesarnya adalah sistem telekomunikasi dan telefon pintar.

Bagi AS, kategori eksport terbesarnya merangkumi barangan modal diikuti pesawat komersial, jentera perindustrian serta semikonduktor.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi kebanyakannya berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0664/0747 daripada 3.0713/0760 ketika ditutup pada Khamis, namun rendah berbanding yen Jepun kepada 4.0004/0109 daripada 3.9942/9996.

Ringgit juga naik berbanding pound Britain kepada 5.3103/3231 daripada 5.3416/3491 pada Khamis dan stabil berbanding euro kepada 4.7922/8051 daripada 4.8089/8163.

— BERNAMA





Source link

Related Posts