Artikel Terkini

Ringgit dibuka tinggi susulan keputusan Fed kekalkan kadar faedah tidak berubah



KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS hari ini selepas didorong kenaikan harga minyak mentah global, di tengah-tengah pengumuman awal pagi oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) bagi mengekalkan kadar faedah tidak berubah.

Pada 9 pagi, unit tempatan meningkat kepada 4.3300/3400 berbanding dolar AS daripada 4.3450/3500 ketika ditutup semalam.

Penanda aras antarabangsa, minyak mentah Brent naik 4.61 peratus kepada US$23.56 setong ketika peniaga tenaga berspekulasi bahawa permintaan minyak mentah akan terus meningkat susulan paras pengeluaran global dikurangkan selepas kapasiti penyimpanan semakin berkurangan.

Penganalisis Kanan Pasaran Oanda, Edward Moya berkata Fed akan mengekalkan kadar faedah tidak berubah sehingga mereka yakin ekonomi AS akan pulih semula.

Beliau berkata Fed juga akan mendapatkan pakar kesihatan dalam menentukan unjuran, oleh itu bank pusat tersebut tidak dapat memberi sebarang ketetapan hari ini.

Dolar AS meneruskan penurunan selepas Fed mengatakan sekiranya sokongan lanjutan diperlukan, bank pusat AS itu akan mempertingkat langkah rangsangan ekonomi, katanya.

“Pelbagai rangsangan oleh Fed bagi menangani pandemik COVID-19 ini berkemungkinan menjadikan dolar AS lebih lemah,” katanya.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global, AxiCorp, Stephen Innes berkata lengkungan rata jangkitan COVID-19 di Malaysia, kenaikan harga minyak mentah serta komitmen Jawatankuasa Terbuka Fed yang melaksanakan dasar monetari bagi Fed untuk mengewangkan hutang, merupakan petunjuk baik bagi Malaysia.

“Sentimen risiko global semakin meningkat dan semua faktor ini seharusnya memberi dorongan kepada ringgit,” katanya.

Pada pembukaan, unit tempatan diniagakan tinggi berbanding mata wang utama.

Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0653/0739 daripada 3.0720/0757 ketika ditutup pada Rabu, dan tinggi berbanding yen kepada 4.0551/0652 daripada 4.0790/0849.

Mata wang tempatan juga meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3870/4003 daripada 5.3948/3023 dan stabil berbanding euro kepada 4.7019/7132 daripada 4.7165/7228 semalam. – BERNAMA





Source link

Related Posts