Artikel Terkini

Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini di sebalik prestasi pasaran ekuiti tempatan dan harga minyak yang mencatatkan peningkatan.

Pada 6 petang, ringgit disebut pada paras 4.2700/2770 berbanding 4.2730/2780 sewaktu ditutup pada Isnin.

Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 18.88 mata atau 1.26 peratus kepada 1,517.71 ketika ditutup hari ini berbanding 1,498.83 semasa ditutup semalam, manakala minyak mentah Brent menokok 1.49 peratus untuk didagangkan kepada AS$40.31 setong, setakat ini.

Ketua Pakar Strategi Global AxiCorp Stephen Innes berkata sentimen ringgit yang bertambah baik dibiarkan suram, menyebabkan beberapa pelabur asing bimbang mengenai tahap pemulihan ekonomi tempatan.

“Ini selepas bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin dalam laporan berita mendakwa ‘adalah terlalu awal untuk mengatakan kita akan segera keluar daripada kesulitan ini,’ yang mendorong ringgit untuk tidak memasuki pasaran,” kata Innes.

Daim dilaporkan berkata adalah terlalu awal untuk Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz untuk meramalkan ekonomi Malaysia akan pulih seawal tahun depan berikutan pandemik COVID-19 telah mencetuskan kemelesetan global yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Ia rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0713/0770 daripada 3.0620/0662 ketika ditutup semalam dan tinggi berbanding yen Jepun kepada 3.9765/9842 daripada 3.9816/9870.

Mata wang tempatan merosot kepada 5.4058/4151 daripada 5.3571/3655 berbanding pound Britain dan susut berbanding euro kepada 4.8388/8480 berbanding 4.8067/8128 sebelum ini.

— BERNAMA





Source link

Related Posts