Uncategorized

Ringgit kembali cecah 4.15 berbanding dolar US



KUALA LUMPUR: Ringgit kembali dalam lingkungan paras 4.15 berbanding dolar US sewaktu ditutup hari ini apabila meningkat 0.38 peratus ketika peserta pasaran terus memberi reaksi positif terhadap data eksport April 2019 diumumkan baru-baru ini yang terbukti mengatasi jangkaan.

Pada 6 petang, unit tempatan itu ditutup pada paras 4.1570/1620 berbanding dolar US daripada 4.1730/1760 sewaktu ditutup pada Selasa.

Ini merupakan prestasi ringgit paling kukuh sejak 10 Mei, 2019 apabila ditutup pada paras 4.1570/1600.

Pasaran ditutup pada Rabu dan Khamis bersempena cuti umum Hari Raya Aidilfitri.

Pada Isnin, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengumumkan data eksport bagi April lepas yang menokok 1.1 peratus bagi tahun ke tahun kepada RM85.2 bilion, sekali gus menamatkan penyusutan selama dua bulan berturut-turut.

Penganalisis pasaran FXTM, Han Tan berkata kejutan membabitkan prestasi data dagangan luar April 2019 itu ternyata membantu meningkatkan pengukuhan ringgit dalam dagangan singkat minggu ini berikutan cuti umum.

Dolar US yang lebih lemah akibat jangkaan pihak Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) akan menurunkan kadar faedah tahun ini, sebaliknya hanya mendorong kenaikan prestasi ringgit, katanya.

“Sejajar perkembangan yang menyaksikan pengukuhan ringgit berbanding dolar US di bawah paras 4.16 itu, unit tempatan itu dijangka dapat terus mengekalkan kenaikan berbanding dolar US selagi tiada sebarang risiko ketara yang memberi kesan sebaliknya,” katanya kepada Bernama.

Sewaktu ditutup, ringgit turut diniagakan tinggi berbanding kelompok mata wang utama dunia.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0396/0444 daripada 3.0487/0520 pada Selasa dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.8275/8331 daripada 3.8614/8652.

Ringgit juga tinggi berbanding pound Britain kepada 5.2844/2924 daripada 5.2851/2910 manakala berbanding euro, ia juga meningkat kepada 4.6787/6860 daripada 4.6930/6980, sebelum ini.

— BERNAMA





Source link

Related Posts