Artikel Terkini

Saham Top Glove Jatuh Disebabkan Sekatan Jabatan Kastam Amerika Syarikat


Jabatan Kastam Amerika Syarikat (AS) telah menguatkuasakan arahan sekatan terhadap import produk pembuat sarung tangan getah terbesar dunia, Top Glove. Bukan itu sahaja, satu lagi syarikat yang berdepan dengan situasi sama selain Top Glove adalah TG Medical Sdn Bhd.

Arahan ini dikuatkuasakan atas sebab kedua-dua syarikat terbabit didakwa menggunakan buruh paksa di kilang mereka.

Malangnya sekatan ini dibuat apabila permintaan terhadap sarung tangan getah dari Malaysia melonjak tinggi berikutan krisis pandemik Covid-19 yang tidak berpenghujung.

Ironinya, Amerika Syarikat membuat sekatan ini semasa negara itu bergelut untuk mengurangkan jumlah jangkitan di negara itu yang mana baru-baru ini sekali lagi merekodkan lonjakan dalam penularan virus tersebut.

Laman web Jabatan Kastam Amerika Syarikat menunjukkan kedua-dua syarikat terbabit berada dalam senarai sekatan pada Rabu (15 Julai 2020).

Top Glove telah mengesahkan perkara ini yang mana syarikat itu juga mempunyai kilang pengeluaran di China dan Thailand. Pihaknya menjelaskan ia berkemungkinan disebabkan isu buruh asing yang bersangkut-paut dengan upah yang dibayar terhadap ajen pencari kerja.

Tren pergerakan harga Top Glove pada Khamis. Sumber: Tradingview

Kaunter Top Glove yang didagangkan di Bursa Malaysia mencapai paras tertinggi pada Rabu dengan harga RM25.16 seunit dan kini selepas sehari ia ditutup pada paras RM21.24 dalam sesi dagangan hari Khamis.

Saham Top Glove pada mulanya mencapai paras tertinggi harian di RM23.78 dan membuat penurunan tiga jam sebelum pasaran Malaysia ditutup pada hari Khamis.

Para pelabur dan pedagang menjual saham Top Glove selepas berita sekatan oleh AS tersebar di mana ia memburukkan sedikit sentimen terhadap syarikat tersebut. Walaubagaimanapun, Top Glove dikatakan sedang berunding dengan Jabatan Kastam AS melalui pejabatnya di sana.

Baru-baru ini Top Glove memberitahu bahawa mereka merancang untuk membuka dua buah kilang setiap tahun disebabkan tren permintaan yang melonjak pada tahun ini.

Permintaan bagi sarung tangan getah untuk tujuan perubatan semakin meningkat bukan sahaja disebabkan pandemik yang tak berpenghujung tetapi juga norma baharu masyarakat dunia yang mengutamakan kebersihan bagi mengelakkan jangkitan kuman.

Langkah Amerika Syarikat ini dipersoalkan oleh banyak pihak dalam masa mereka juga sedang bergelut dengan pandemik Covid-19 dan sudah pasti memerlukan lebih banyak sarung tangan getah.

Sumber rujukan:

https://www.reuters.com/

https://www.malaysiakini.com/

https://www.theedgemarkets.com/



Source link