Artikel Terkini

Sasterawan muda dalam KLWBC 2020


NAMA-NAMA besar seperti Muhamad Lutfi Ishak, Wan Nor Azriq, Roslan Djomel dan Ruhaini Matdarin dianggap suara sasterawan muda paling prominan masa kini.

Cuma, empat nama besar ini seperti diabaikan. Dalam banyak keadaan, agenda sastera masih kekal dimonopoli elitis.

Dunia sastera kita masih jenuh berkisar seputar Sasterawan Negara (SN) atau penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award).

Tanpa pergelaran kuranglah perhatian.

Apabila editor hebat seperti Sutung Umar RS (1948-2016) dan akademis berjiwa besar Dr. Othman Puteh (1944 – 2003) meninggal dunia – kita kehilangan tokoh yang prihatin dalam mempromosi dan mencungkil bakat muda.

Hari ini pengkritik, ahli akademik dan pentadbir sastera tidak berminat memberikan perhatian kepada pengembangan bakat.

Kalau buat pun sekadar ada – tidak dengan kesungguhan luar biasa.

Empat penulis muda – Lutfi, Azriq, Roslan dan Ruhaini berada dalam kelas tersendiri. Walaupun terabai dan dipinggirkan, mereka tetap kekal tegar dan mandiri dalam berkarya.

Sumbangan Lutfi melalui antologi puisi Dondang Pembukaan (Pemenang Hadiah Utama Sayembara ITBM-Pena-BH 2015) dan Wan Nor Azriq dengan novel D.U.B.L.I.N (Pemenang Hadiah Utama Sayembara ITBM-Pena-2014) mengubah landskap sastera Melayu di tangan sasterawan muda.

Roslan Djomel anak Sarawak dengan kumpulan cerpen Roden Yang Cenderung Ingin Terjun Dari Bangunan Tinggi (Pemenang Hadiah Sastera Perdana 2017/18) dan Ruhaini, puteri Sabah dengan novel Hari-hari Terakhir di Jeselton (Pemenang Hadiah Sastera Perdana 2017/18) meletakkan penulis Borneo dalam katalis “perlu dihormati”.

Empat penulis muda ini dianggap simbol utama dan indikasi betapa prestijnya sasterawan muda Malaysia masa kini.

Tanpa broker dan pelobi karya sastera yang prihatin, sasterawan muda mengalami ‘kemandoman’ promosi. Apa lagi usaha meletakkan mereka di tahap elit.

Ini satu vakum yang benar-benar terasa tanpa Sutung Umar RS dan Dr Othman Puteh.

 Dari kiri: Muhamad Lutfi Ishak, Wan Nor Azriq, Roslan Djomel dan Ruhaini Matdarin.

KLWBC 2020 dan salut hormat kepada sasterawan muda

KLWBC 2020 perlu menyediakan ruang bagi memulakan budaya mempromosi penulis muda dalam kelas yang sewajarnya. Bukan tempelan atau picisan.

Bukan acara yang sekadar menjaja nama, tetapi membicarakan karya-karya dan pemikiran tajam sasterawan muda yang dilihat penting demi kecemerlangan sastera Melayu.

KLWBC 2020 melihat kehadiran penulis muda sebagai entiti penting demi masa depan sastera Melayu.

Litfi, Azriq, Roslan dan Ruhaini wajar diberikan ruang berkelas elit sebagai tanda pada 2020 – sasterawan muda bukan lagi berkelas dua.

Sampai masanya, sastera Melayu tanpa prejudis harus menerima hakikat; sasterawan muda harus diraikan minda dan idea karyanya.

KLWBC 2020 wajar menjadi ruang sasterawan muda mempromosi pemikiran kritis mereka.

Sekali gus suara dan idea mereka dalam mendepani cabaran perbukuan, pemikiran dan dinamisme Malaysia masa kini.

Minda dan suara sasterawan muda wajar diberikan ruang untuk dikongsi dengan khalayak.

Empat nama sasterawan muda ini tidak dapat diketepikan. Mereka nuansa baharu yang berjaya membuktikan standard mengisi katalis sastera masa kini.

Azriq sentiasa kritis. Itu jenama peribadinya. Azriq di mata saya : “si autisme yang genius”.

Karektor karyanya yang intriq terlihat sangat unik dan turut menjarah pemikiran baru sastera Melayu.

Selain novel D.U.B.L.I.N, Azriq meneruskan gaya pemikiran tajam dan eksperimen estetika melalui cerpen-cerpennya.

Selain esei-eseinya yang jelas berani dan lugu dalam melahirkan ketajaman intrignya terhadap sikap sastera nasional itu sendiri.

Realiti “genius autismenya” terlihat ketara dalam novel-novelnya lainnya; Soneta Roda Basikal, Boneka Rusia Guido, Dompet Kulit Buaya dan Di Kala Bulan Bermain Biola.

Azriq juga kritis terhadap kehadiran KLWBC 2020.

“Harapan saya ialah melihat industri terjemahan karya sastera di negara ini dipergiatkan, terutama sekali dalam membina hubungan dengan agen sastera dari luar negara,” katanya.

Sebagai seniman muda yang sentiasa mendedahkan diri pada jendela sastera dunia, Azriq melihat – sastera Melayu ketinggalan jauh berbanding jangkauan karya Indonesia yang kini menabur luas di rak perbukuan antarabangsa.

Ditanya secara skeptisme mengenai elit sastera yang jarang memberi ruang kepada sasterawan muda, Azriq tidak melihatnya sebagai kekangan.

Satu lagi karektor “autisme” luar biasa. Betapa jiwa lugunya tidak mempedulikan respon alam keliling selain kecekalan untuk terus teguh berkarya.

“Abai atau tidak abai, saya fikir penulis tidak peduli. Penulis muda sudah ada khalayak dan pengikut sendiri. Mereka akan terus menulis,” katanya.

KLWBC

Walaupun KLWBC 2020 tidak memikul beban mempromosi penterjemahan per se, berdasarkan hasrat Azriq untuk melihat karya nasional diangkat ke jagat global – ia satu aspirasi yang wajar didengarkan.

Pemikiran dan sarannya sekali pun kerap sinis – tidak wajar disenyapkan.

Selain aktiviti bersifat fizikal, KLWBC 2020 wajar meluaskan budaya mengangkat pemikiran dan mempromosi karya-karya sasterawan muda.

KLWBC 2020 wajar menyediakan pengiktirafan bahawa sastera bukan sekitar sejarahnya saja; tetapi masa depannya juga satu keutamaan.

Apa lagi ketika Malaysia berdepan ketepuan idea baharu.

Malah, defisit usaha dalam melahirkan sasterawan muda. Malah, lagi teruk, kita enggan menerima hakikat – karya sastera bermutu hari ini diwarnai sasterawan muda.

Azriq turut menyentuh soal kelesuan pemasaran dalam persekitaran industri perbukuan masa kini.

Sesuatu yang disifatkannya memerlukan perhatian segera dan serius.

“Pemasaran ialah masalah nombor satu. Tidak kisah penerbit besar atau indie. Karya harus diperkenalkan terlebih dahulu kepada pembaca sama ada melalui iklan konvensional, digital, atau video,” katanya.

Azriq melihat sikap culas penerbit masa kini yang tenggelam dalam budaya kerja cara lapuk; sekadar cetak dan jual.

Secara lateral; sekadar menjadi penerbit tanpa minda strategis.

“Perlu ada fokus dalam “menjual” nama atau judul baru yang mereka sedang laburkan,” katanya.

KLWBC 2020 platform terbaik memulakan budaya baru: “meletakkan penulis muda pada tempat yang wajar dan sejajar dengan prestij karya mereka.”

KLWBC 2020 tidak harus menjadi peti sejuk beku tanpa usaha agresif mencairkan idea baharu.

Idea baharu yang mampu merubah rona kedudukan sasterawan muda.

2020 ialah tempo perubahan; masa untuk berkata yang benar dan menyampaikan maksud paling berharga mengenai perjuangan sastera Malaysia.

Ruhaini kekal dengan sikap mandiri. Memang sejak dua dekad lalu, akauntan ini prolifik dengan menulis dari Kota Kinabalu.

Secara individu – Ruhaini disisihkan dari Kuala Lumpur. Namun, penyisihan ini tidak mampu membunuh usaha Ruhaini melahirkan karya-karya yang mencapai tahap nasional.

Pada usia 39 tahun, Ruhaini telah menghasilkan 17 buah novel dan lapan kumpulan cerpen.

Angka yang tidak mungkin dicapai tanpa disiplin yang komitmen yang tinggi terhadap kerja-kerja kesusasteraan. Apa lagi bagi seorang akauntan.

Kumpulan cerpen Cerita-Cerita Yang Merayap di Dermaga (2018) dianggap hasil kerja Ruhaini yang mencipta tanda aras baharu bagi standard cerpen moden di negara ini.

Kerja kuat dan fokus yang energetik serta keberanian meneroka ruang baharu dalam pengkaryaan antara kunci komitmen Ruhaini.

“Pengarang muda harus berani meneroka pembaharuan sekali pun bukan elitis sastera,” katanya.

Ruhaini mengakui, ramai penulis muda belum berani meneroka padang sastera yang lebih luas.

Bagi masyarakat awam yang tertanya-tanya – siapa penulis generasi baharu yang bakal meneruskan kecemerlangan sastera Melayu – maka KLWBC 2020 wajar menyediakan jawapannya.


* Zainal Rashid Ahmad merupakan wartawan dan penulis sastera. Beliau telah banyak novel antaranya Hikayat Tanah Jauh (2015), kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014) dan lain-lain. Zainal Rashid Ahmad juga pernah memenangi 38 hadiah sastera.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.





Source link