Uncategorized

“Saya Jaga Kepentingan Semua Pihak Termasuk Penduduk Rumah Panjang” – Khalid Samad

“Saya Jaga Kepentingan Semua Pihak Termasuk Penduduk Rumah Panjang” – Khalid Samad 1


  • Cadangan projek di Taman Rimba Kiara telah dikecilkan daripada 8 bangunan kepada 4 bangunan.
  • Pembangunan hanya melibatkan 4 ekar kawasan tempat letak kereta dan tidak melibatkan taman awam.

Isu pembangunan Taman Rimba Kiara mula mencetuskan kontroversi pada tahun 2017 apabila DBKL pada ketika itu mengeluarkan perintah pembangunan bagi projek berskala mega di atas tapak lebih 4 hektar di taman berkenaan.

Projek berkenaan pada asalnya melibatkan pembinaan satu blok 350 unit rumah mampu milik untuk komuniti rumah panjang Bukit Kiara dan lapan blok kondominium mewah 50 tingkat.

“Saya Jaga Kepentingan Semua Pihak Termasuk Penduduk Rumah Panjang” – Khalid Samad 2

Imej : JustRunLah!

Projek ini mendapat bantahan penduduk di kawasan Taman Tun Dr Ismail (TTDI) kerana dikatakan bakal merosakkan persekitaran hijau dan ekosistem di kawasan berkenaan.

Kami di Kapital.my dan Hartabumi.com berkesempatan menemubual Menteri Wilayah Persekutuan, YB Khalid Abdul Samad bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung isu ini. Berikut merupakan inti pati sesi berkenaan.

 

Boleh YB jelaskan mengenai isu engagement yang kononnya pengkritik kepada projek ini tidak pernah bertemu YB? Adakah ini termasuk YB dan Ahli Parlimen Segambut, YB Hanna Yeoh?

Khalid Abdul Samad Isu Taman Rimba Bukit Kiara Ttdi Rumah Panjang Bukit Kiara Hartabumi Radzi Tajuddin 02

Imej : Dari kiri : Huda Naim (COO Hartabumi.com), Radzi Tajuddin (CEO Hartabumi.com) dan YB Abdul Khalid Samad.

“Suka untuk saya terangkan bahawa yang tidak pernah saya temui sebelum ini ialah Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Cynthia Gabriel dan bekas presiden Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan.”

“YB Hanna Yeoh saya sudah bertemu dan berbincang dengan beliau mengenai isu ini beberapa kali secara tertutup.”

Jadi, jika sudah bertemu, apakah sebenarnya isu yang melibatkan Taman Rimba Kiara ini? Atau apakah pertikaian yang menyebabkan berlaku ‘perang mulut’ di antara YB dan penduduk TTDI?

 

” Secara umumnya, saya hormati pendirian penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI) yang tidak mahu mengalah atau enggan berkompromi. Pada mereka, tidak boleh dilaksanakan apa-apa pembangunan.”

” Sekiranya ingin juga dilaksanakan projek pembinaan, ia mestilah dilakukan di dalam kawasan 4 ekar tersebut iaitu kawasan sedia ada rumah panjang Bukit Kiara. Ini pendirian mereka.”

” Namun, saya berpendirian sedikit berbeza. Pertama sekali kita perlu ingat bahawa tanah yang telah diberikan kepada Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) adalah seluar 12 ekar. Pada asalnya kesemua 12 ekar ini bertujuan untuk pembangunan projek perumahan.”

“Saya Jaga Kepentingan Semua Pihak Termasuk Penduduk Rumah Panjang” – Khalid Samad 3

Imej : Edgeprop.my

” Walaubagaimanapun, selepas pertukaran kerajaan dan hasil daripada rundingan di antara pihak saya dan pemaju, kita berjaya mengurangkan pembangunan tanah daripada 12 ekar kepada 8 ekar.”

” Daripada 8 ekar ini, 6 ekar akan digunakan untuk pembangunan projek perumahan manakala baki 2 ekar untuk pembinaan rumah mampu milik serta rumah ibadat bagi penduduk rumah panjang.”

“Oleh itu pada hemat saya, isu pembangunan Taman Rimba TTDI ini telah menemui jalan penyelesaian.”

“Ini kerana kita akan pulangkan kembali 4 ekar kepada taman awam (daripada 12 ekar). Kita tidak sesekali menceroboh taman berkenaan.”

Tetapi masih lagi terdapat bantahan dari kalangan penduduk?

” Secara umumnya terdapat dua isu yang menjadi perhatian.”

” Pertama, seperti saya katakan tadi, penduduk TTDI tidak berpuas hati apabila kita masih mahu mengambil lebih daripada 4 ekar. Mereka mahu sebarang pembangunan dilaksanakan pada tanah dengan keluasan secara spesifik 4.4 ekar sahaja. Jangan ganggu kawasan lain.”

” Namun begitu, kita sudah memaklumkan bahawa kita hanya mengambil kawasan tempat letak kereta. Kawasan hijau langsung tidak terjejas.”

” Secara umumnya terdapat dua taman di kawasan berkenaan. Pertama ialah Taman Rimba Kiara dan kedua ialah Taman Persekutuan Bukit Kiara.”

” Taman Persekutuan ini saiznya kira-kira 370 ekar dengan jarak hanya kira-kira satu kilometer. Manakala Taman Rimba Kiara memiliki keluasan 25 ekar. 12 ekar telah diberikan kepada YWP dan jumlah yang tinggal ialah 13 ekar.”

” Bagi saya penduduk TTDI memiliki taman seluas 370 ekar, namun mereka berpandangan taman kecil itu juga perlu dipelihara. Bagi kami di Kementerian, kawasan hijau sudah banyak digazetkan di seluruh Kuala Lumpur.”

“Saya Jaga Kepentingan Semua Pihak Termasuk Penduduk Rumah Panjang” – Khalid Samad 4

” Di pihak saya, kita telah mengecilkan skala asal projek berkenaan dan ia tidak langsung menjejaskan mana-mana kawasan hijau. Pembangunan yang menjadi perhatian ini hanya melibatkan kawasan tempat letak kereta. Namun pihak penduduk TTDI membantah namun mereka tidak dapat mengemukakan alasan konkrit di atas bantahan berkenaan.”

 

Bukankah terdapat isu lain iaitu isu rasuah dan penyelewengan menteri sebelumnya?

” Ya benar. Melainkan projek pembangunan ini dikaitkan dengan isu penyelewengan membabitkan pemimpin politik daripada kerajaan sebelumnya di samping rasa tidak puas hati tentang bagaimana YWP boleh mendapat tanah berkenaan.”

” Tetapi saya tidak pasti adakah ini isu sebenar berhubung hal ini kerana apabila saya mencadangkan kepada mereka untuk menukar pemaju pun mereka tidak bersetuju.”

” Saya katakan, jika pemaju ini yang anda semua tidak mahu, mungkin saya boleh minta pemaju lain untuk datang dan beli ‘perintah pembangunan’ (DO) dari Memang Perkasa Sdn Bhd bagi memajukan kawasan tersebut. Tapi mereka tetap bantah.”

” Saya cukup memahami jika sesetengah pemimpin melihat isu ini sebagai contoh di mana mereka berasa kita seperti tidak memenuhi janji kerana semasa kempen pilihan raya lepas, isu ini menjadi antara tumpuan utama.”

” Cuma saya tidak boleh bersikap sedemikian. Sebagai menteri, saya perlu melihat dari pelbagai sudut. Ya, kita cuba sedaya upaya untuk memenuhi janji pilihan raya tersebut. Sebab itu kita runding kerana sebarang pembatalan akan membawa kepada bayaran pampasan yang tinggi.”

” Bahkan, penduduk rumah panjang Bukit Kiara perlukan rumah baru. Mereka sudah lama tunggu. Dalam situasi ini, apakah solusi menang-menang atau yang paling ideal?”

Adakah proses rundingan projek ini sebelum pilihan raya umum ke-14 antara pihak YWP dan Pemaju melalui prosedur betul?

 

” Secara umumnya ia sah berasaskan undang-undang. Namun, ia menjadi persoalan dari sudut moral.”

” Tanah berkenaan pada asalnya adalah milik Kerajaan Persekutuan di bawah Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Tanah tersebut kemudiannya diberikan kepada YWP dengan bayaran premium. Bayaran berkenaan dijelaskan oleh YWP kepada PTG. Kemudian tanah berkenaan dizonkan semula untuk pembangunan.”

” Bagi YWP pula, terdapat syarat diberikan untuk mereka, termasuk keperluan bagi menangani isu rumah panjang. Sehubungan itu, harga tanah telah direndahkan bagi menjadikannya viable untuk pembangunan.”

” Sekitar tahun 2014 tanah berkenaan diserahkan kepada pihak YWP dan premium sudah dibayar serta nama juga sudah ditukarkan.”

” Kemudian pihak YWP mencari pemaju untuk membangunkan tanah berkenaan disebabkan mereka tidak mempunyai lesen sebagai pemaju. Sehubungan itu, mereka menjalinkan kerjasama dengan sebuah syarikat iaitu Memang Perkasa Sdn Bhd dan ia merupakan anak syarikat kepada Malton.”

“Saya Jaga Kepentingan Semua Pihak Termasuk Penduduk Rumah Panjang” – Khalid Samad 5

Imej : Yahoo Malaysia News

” Malton, sebagaimana anda semua mungkin tahu adalah syarikat yang berkait rapat dan mempunyai hubungan dengan pemimpin politik tertinggi dalam kerajaan sebelum ini.”

” Terdapat beberapa persetujuan di antara kedua-duanya termasuk aspek perkongsian keuntungan. Melalui keuntungan berkenaan, YWP dapat menggunakannya untuk tujuan kebajikan, sama dengan matlamat asal penubuhan YWP.”

Bagaimana cara pelantikan pemaju ini dibuat oleh YWP?

” Pelantikan pemaju dibuat secara lantikan terus oleh menteri sebelum saya. Ianya boleh dipersoalkan dari segi moral, namun dari sudut tadbir urus, itulah kuasa dan prosedur yang ada.”

 

Apabila YB pertama kali bertemu dengan Malton atau Memang Perkasa ini, apakah pendirian YB pada ketika itu?

” Saya sudah menyemak dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bahawa perintah pembangunan sudah dikeluarkan, tanah sudah ditukarkan nama dan apabila kita berunding, ia rundingan dari titik (kedudukan) yang agak lemah kerana kita perlu bergantung kepada persetujuan pihak pemaju.”

” Pihak penduduk TTDI telah mencabar keabsahan perintah pembangunan yang dikeluarkan kepada pemaju dan mahkamah memutuskan bahawa arahan berkenaan adalah sah.”

“Keputusan ini dibuat selepas pilihanraya.”

” Sebagai pengamal undang-undang, mereka (Ambiga dan Cynthia) patut faham akan keputusan mahkamah dan mendidik masyarakat untuk akur dan patuh dengan keputusan mahkamah. Bukan mengajar mereka sebaliknya.”

“Saya Jaga Kepentingan Semua Pihak Termasuk Penduduk Rumah Panjang” – Khalid Samad 6

Imej : Free Malaysia Today

” Dalam pertemuan dengan pemaju, kita mencadangkan untuk projek berkenaan dikecilkan skalanya sehingga 50 peratus. Hasilnya pembangunan dikurangkan daripada 12 menjadi 8 ekar dan 2 ekar diperuntukkan untuk kuil serta rumah bagi penduduk rumah panjang.”

Apakah manfaat kepada penduduk rumah panjang sama dengan persetujuan sebelumnya?

” Ya. Persetujuannya sama. Tiada apa-apa perubahan. Mereka akan menerima rumah berkenaan secara percuma dan bagi generasi kedua mereka akan ditawarkan rumah berkenaan dengan separuh harga.”

Melalui laporan berita sebuah portal, YB Hanna Yeoh menyebutkan tidak timbul isu pampasan, kalau YWP atau DBKL memulangkan semula wang yang telah dibayar oleh pemaju. Apa pandangan YB?

” Secara umumnya jumlah yang telah dibayar itu mencecah RM155 juta. Kita tahu bahawa pihak pemaju telah membuat pembayaran pada tahun 2014 dan wang berkenaan sudah tentu telah digunakan. Jika wang berkenaan baru dibayar, ia boleh diteliti semula. Namun pembayaran sudah dibuat lama dahulu.”

” Pihak DBKL sudah tentu mempunyai wang. Namun isunya mengapa kita perlu menggunakan wang berkenaan untuk membayar kepada pemaju dan kemudian kita perlu mengeluarkan wang sehingga RM30 juta bagi membina rumah kepada penduduk rumah panjang berkenaan. Sedangkan kita boleh menggunakan wang berkenaan untuk keperluan lain di Kuala Lumpur.”

“Saya Jaga Kepentingan Semua Pihak Termasuk Penduduk Rumah Panjang” – Khalid Samad 7

Imej : Propertyguru.my

” Melalui cadangan ini, kita tidak menyelesaikan masalah. Kita tidak menyelesaikan masalah penduduk rumah panjang dan isu-isu berkaitan.”

Adakah keputusan yang dilaksanakan YB dibuat secara bersendirian?

 

” Kita mempunyai jawatankuasa untuk membincangkan hal ini di peringkat Kementerian.”

Ada yang menyatakan SPRM membuka kembali kes ini dan dari aspek mana siasatan dilakukan oleh SPRM?

 

” Pihak C4 telah menunjukkan hal berkaitan hubungan pemimpin politik kerajaan terdahulu dengan pemaju. Saya serahkan kepada SPRM untuk menyiasat.”

Sebagai menteri yang mempunyai kuasa eksekutif, mengapa YB tidak batalkan sahaja dan jadi popular di kalangan penduduk TTDI?

” Ini ialah perbezaan saya dengan YB Hanna. Hanna melihat kepentingan penduduk sahaja dan saya memahami keadaan itu kerana beliau merupakan Ahli Parlimen di kawasan berkenaan.”

“Saya Jaga Kepentingan Semua Pihak Termasuk Penduduk Rumah Panjang” – Khalid Samad 8

Imej : InvestKL

” Namun saya pula perlu melihat kepentingan semua pihak terlibat. Saya harus fokus untuk mendapatkan penyelesaian terbaik. Sehubungan itu, kita akan menyerahkan kepada Kabinet untuk memutuskan hal ini.”

” Saya bukan melindungi pemaju, namun saya melindungi dana awam. Mengapa kita mahu menggunakan dana sehingga RM150 juta untuk membayar semula pemaju dan menambah sehingga RM30 juta bagi membina rumah bagi penduduk rumah panjang, jika ia boleh disediakan oleh pemaju dalam penyelesaian yang dicadangkan.”

” Lebih buruk, imej kerajaan akan tercalar kerana kita tidak menghormati perjanjian yang telah dibuat yang mana disahkan sendiri oleh mahkamah.”

“Saya Jaga Kepentingan Semua Pihak Termasuk Penduduk Rumah Panjang” – Khalid Samad 9

Dapatkan Kitab RayaKu! Ini Secara PERCUMA Sekarang !!!





Source link