Uncategorized

Saya tetap lawan walaupun hanya dengan hasil karya saya – Ujang

Saya tetap lawan walaupun hanya dengan hasil karya saya - Ujang 1



Saya tetap lawan walaupun hanya dengan hasil karya saya - Ujang 2

KUALA LUMPUR: “Saya akan terus lawan, menggunakan karya-karya saya.”

Itu yang diluahkan kartunis Ibrahim Anon, atau lebih dikenali dengan nama Ujang, susulan penerbitan edisi khas bumper majalah Ujang, sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

“Saya memang tak tahu menahu tentang penerbitan edisi bumper ini. Tiada sesiapapun yang hubungi saya.

“Mengikut perjanjian, selepas majalah sudah tidak diterbitkan, hak milik karya intelek diserahkan kepada saya.

“Ujang sudah dihentikan penerbitannya pada Ogos 2015, jadi kalau nak diikutkan, Ujang milik saya sepenuhnya dan saya perlu dimaklumkan tentang penerbitan edisi baharu ini,” kata Ujang ketika dihubungi Astro AWANI.

BACA: Edisi istimewa bumper nostalgia raya Ujang imbau memori Aidilfitri

Ujang mendakwa pihak yang menerbitkan Ujang sebagai oportunis kerana menggunakan popularitinya selepas dia kembali melukis dan menghasilkan karya-karya baharu.

“Sejak beberapa bulan ini saya kembali berkarya di Facebook, ramai peminat sedar yang Ujang masih wujud.

“Mereka (penerbit) seolah-olah ambil kesempatan kerana mereka nampak masyarakat sebenarnya rindukan Ujang.

“Nak lawan mengikut undang-undang, saya tak mampu. Kerana kes yang sama juga saya fight sampai muflis. Jadi saya gunakan media sosial,” tambahnya.

Mengulas reaksi segelintir peminat yang enggan menyokong Ujang edisi khas itu atas alasan ia bukan karya asli Ujang, pelukis dari Juaseh, Kuala Pilah itu mengakui terharu namun menegaskan dia tidak pernah berniat menyekat rezeki mana-mana kartunis lain.

“Saya tak ada masalah pun dengan mana-mana kartunis. Majoriti kartunis baharu yang ada dengan Ujang sekarang, saya tak kenal pun.

“Masalah saya bukan dengan mereka, tetapi dengan penerbit yang dulunya rakan baik saya,” katanya.

Penerbitan edisi bumper Ujang sempena hari raya menimbulkan pertelagahan peminat tentang krisis yang pernah melanda Ujang dan syarikat penerbitan majalah berkenaan.

BACA: Kenyataan Ujang tak berasas – MOY Publications





Source link