Uncategorized

Sekatan Amerika Syarikat Terhadap Huawei: Empat Perkara Yang Anda Perlu Tahu

Sekatan Amerika Syarikat Terhadap Huawei: Empat Perkara Yang Anda Perlu Tahu 1


Umum telah maklum terhadap halangan perdagangan yang dibuat oleh Amerika Syarikat terhadap syarikat telekomunikasi terbesar China, Huawei. Jabatan Perdagangan AS pada Khamis minggu lalu (16 Mei 2019) telah mengumumkan halangan eksport produk dari Amerika kepada Huawei.

Gergasi teknologi China itu telah disenaraikan di dalam “Entity List”. Walaubagaimanapun, pihak Jabatan Perdagangan telah melonggarkan sedikit halangan dengan memberikan tempoh sehingga 90 hari untuk Huawei terus mendapatkan peralatan dari Amerika bagi meneruskan operasi pembuatannya. Ini lima perkara yang anda perlu tahu tentang halangan tersebut.

1. Apa Itu Entity List?

Entity List adalah senarai individu dan syarikat yang mana kerajaan AS anggap mampu memberi risiko keselamatan terhadap negara itu. Syarikat dari Amerika yang mahu mengeksport produk dan perisian kepada senarai ini perlu mendapatkan lesen daripada Biro Keselematan dan Industri, iaitu sebuah agensi di bawah Jabatan Perdagangan Amerikat Syarikat. Malangnya, sebahagian besar permohonan lesen tidak akan diterima.

Entity List pertama kali diterbitkan pada tahun 1997 dalam usaha untuk mendedahkan syarikat-syarikat yang dipercayai terlibat dalam pembinaan senjata pemusnah. Sejak daripada itu, penyenaraian dalam senarai ini terus berkembang yang merangkumi aktiviti yang bertentangan dengan aspek keselamatan Amerika Syarikat dan juga kepentingan dasar asing.

Sekatan Amerika Syarikat Terhadap Huawei: Empat Perkara Yang Anda Perlu Tahu 2

2. Apa Bezanya Dengan Halangan Terhadap ZTE?

Ini bukanlah kali pertama Presiden Trump menghalang syarikat Amerika Syarikat daripada berhubungan dengan syarikat China. Tetapi kali ini strategi yang digunakan adalah berlainan.

Dengan menyenaraikan Huawei di dalam Entity List, keputusan akhir sama ada syarikat China boleh membeli produk dan perisian AS adalah bergantung kepada kerajaan Amerika.

Pada April 2018, Amerika telah menghalang firma-firma dari negara itu daripada menjual peralatan dan perisian kepada ZTE selama tujuh tahun. Halangan ini berikutan hubungan perdagangan ZTE bersama Iran.

Keputusan ini telah mencetuskan kejatuhan besar terhadap saham ZTE sehingga menyebabkan ia kerugian separuh daripada modal pasaran dalam tempoh hanya dua bulan. Walaubagaimanapun, Jabatan Perdagangan AS telah membatalkan halangan itu selepas ZTE membayar denda $1.4 billion, di samping mengubah ahli lembaga pengarah dan juga membenarkan pemeriksaan oleh Amerika Syarikat di kilang mereka. Sejak daripada itu, harga saham ZTE telah kembali ke paras sebelum halangan dibuat. 

3. Siapa Lagi Yang Diletakkan Dalam Senarai Entity List?

Senarai ini mengandungi entiti yang berpangkalan dari Afghanistan hinggalah ke UK dan sejak tiga tahun lepas senarai ini semakin banyak dihuni oleh entiti dari China. Pada Ogos 2018 sahaja, 44 entiti dari China telah dimasukkan dalam senarai ini termasuklah syarikat milik kerajaan China dan juga institusi penyelidikan berteknologi tinggi negara itu.

Tindakan ini dilihat sebagai satu cubaan untuk membantutkan cita-cita China dalam sektor berteknologi tinggi.

Sekatan Amerika Syarikat Terhadap Huawei: Empat Perkara Yang Anda Perlu Tahu 3

4. Bagaimana Dengan Kedudukan Huawei Selepas Ini?

Untuk pengetahuan anda, Huawei belum lagi disenaraikan secara rasmi di dalam Entity List dan Jabatan Perdagangan telah menangguhkan halangan selama 90 hari. Hal ini bagi mengelakkan gangguan dalam pasaran teknologi komunikasi secara besar-besaran. Lesen sementara juga telah dikeluarkan untuk Huawei terus menjalankan perniagaan bersama firma AS.

Walaupun halangan terhadap Huawei telah ditangguhkan, tetapi peraturan baru akan berkuatkuasa serta-merta menurut Setiausaha Perdagangan, Wilbur Ross. Syarikat asing yang menggunakan peratusan signifikan peralatan dari AS perlu mendapatkan lesen daripada jabatan berkenaan.

Sesetengah syarikat telah mengurangkan hubungan perniagaan mereka bersama Huawei berikutan perang perdagangan di antara Amerika Syarikat dan China yang semakin memuncak termasuklah Google dan Android.

Huawei adalah pembuat perlatan telekomnikasi terbesar dunia dan baru-baru ini telah mengalahkan Apple sebagai pembuat telefon pintar kedua terbesar. Ia mengimport barangan dengan nilaian sehingga $67 billion setahun. Selepas daripada ancaman oleh Presiden Trump, kedudukan Huawei di masa hadapan menjadi persoalan, adakah ia mampu terus menjadi peneraju telekomunikasi global?

Sesetengah pemerhati pasaran melihat penyenaraian Huawei di dalam Entity List adalah taktik AS untuk memaksa China bersetuju dengan terma perdagangan yang baru di mana rundingan gagal mencapai kata sepakat sejak setahun yang lalu..

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Sekatan Amerika Syarikat Terhadap Huawei: Empat Perkara Yang Anda Perlu Tahu 4

Komen

komen





Source link