Artikel Terkini

‘Sell in May and Go Away’, Sejarah Mungkin Berulang


Tiap kali menghampiri bulan Mei, kita sering terbaca atau terdengar kata pujangga yang popular di kalangan pelabur, ‘Sell in May and Go Away’. Apa yang menyebabkan perkara ini berlaku?

Rata-rata pelabur sejak dari dulu mendapati bahawa majoriti syarikat menunjukkan prestasi yang kurang memberangsangkan ketika bulan Mei ini sehinggakan memberi impak negatif pada pasaran saham.

Kata-kata ini digunakan sebagai salah sebuah strategi pelaburan di mana para pelabur akan mula mempelbagaikan pelaburan mereka bermula bulan Mei dan kembali fokus pada pasaran saham selepas berakhirnya bulan Oktober. Strategi ini berkait rapat dengan Halloween Indicator yang mencadangkan pelabur untuk memasuki pasaran saham selepas hari Halloween yang jatuh pada 31 Oktober.

Strategi ini kerap digunakan oleh para pelabur kerana berdasarkan sejarah, pasaran saham seluruh dunia sering menunjukkan prestasi yang kurang memberangsangkan di antara bulan Mei sehingga bulan Oktober (musim panas) berbanding bulan November sehingga bulan April (musim sejuk).

Walaubagaimanapun, kejatuhan indeks tidak semestinya terjadi pada tempoh tersebut. Sejarah membuktikan bahawa terdapat kenaikan indeks yang terjadi pada tempoh tersebut. Namun, kenaikan tersebut adalah lebih rendah berbanding kenaikan yang berlaku pada bulan November sehingga April.

Tukar Kepada Aset Yang Kurang Berisiko

Strategi ‘Sell in May and Go Away’ ini turut digunakan oleh pengurus dana untuk memindahkan dana di bawah pengurusan mereka dari pasaran saham kepada aset yang berisiko rendah seperti bon atau sukuk. Ini kerana asset yang berisiko rendah dapat memberikan pulangan yang lebih tinggi sepanjang musim panas berbanding pulangan dalam pasaran saham.

Selain daripada itu, volatility pasaran saham juga dikatakan berada pada tahap yang lebih tinggi sepanjang tempoh tersebut.

Ben Jacobsen dan Sven Bouman telah menerbitkan kajian berkaitan strategi ini dengan menggunakan data indeks pasaran saham seluruh dunia, termasuklah Malaysia. Kajian tersebut mendapati secara purata, pulangan di antara bulan Mei sehingga Oktober adalah 4% lebih rendah berbanding bulan November sehingga April.

Sejarah Mungkin Berulang

Kajian tersebut turut membuktikan pulangan pasaran saham adalah 1.1% lebih rendah berbanding pulangan aset bebas risiko pada bulan Mei hingga Oktober. Hampir semua negara menunjukkan peratus pulangan pelaburan yang lebih tinggi boleh dicapai dengan menggunakan strategi ini berbanding strategi buy and hold.

Adakah strategi ini boleh diaplikasikan pada pasaran saham Bursa Malaysia kita bagi tahun ini? Keadaan ekonomi yang tertekan dengan wabak yang melanda seluruh dunia sedikit sebanyak mungkin memberi impak negatif terhadap pasaran saham.

Walaubagaimanapun, strategi yang patut digunakan perlulah datang daripada hasil daripada kajian yang dijalankan dan bersesuaian dengan objektif para pelabur sendiri.



Source link