Uncategorized

Serbuk Penaik: Kecantikan, Kesihatan Dan Kebersihan

Serbuk Penaik: Kecantikan, Kesihatan Dan Kebersihan 1


Oleh : Asyikin Md Isa
Artikel ini merupakan perkongsian dari portal HelloDoktor

 

Serbuk Penaik: Kecantikan, Kesihatan Dan Kebersihan 2
Ilustrasi Kegunaan Serbuk Penaik

Serbuk penaik (baking soda), turut dikenali sebagai natrium bikarbonat adalah salah satu bahan yang digunakan dalam masakan kerana ia dapat membantu menaikkan doh. Namun, sebenarnya serbuk penaik ini mempunyai pelbagai kegunaan, antara untuk kecantikan, kesihatan dan juga untuk kebersihan.

Berikut adalah beberapa kegunaan serbuk penaik, yang boleh anda cuba:

Pembersih gigi dan mulut

Merupakan antara bahan yang dapat berfungsi dengan baik untuk menghapuskan plak dan bakteria yang berada dalam mulut. Plak yang terkumpul dan mengeras boleh menjadi tartar dan menyebabkan penyakit gusi. Sapukan berus gigi basah ke dalam serbuk penaik dan beruslah gigi seperti biasa.

Terdapat juga yang menggunakannya sebagai pembersih mulut. Ia dapat membantu menyegarkan nafas dan memberikan perlindungan antibakteria serta antimikrobial. Hanya tambahkan setengah sudu teh serbuk penaik ke dalam separuh gelas air panas dan berkumur seperti biasa.

Legakan kerengsaan

Jika anda digigit nyamuk, serbuk penaik dapat membantu merawat kerengsaan kecil, sakit, kegatalan dan kemerahan. Campurkan 3 bahagian serbuk panaik bersama 1 bahagian air, dan sapukan kepada kulit. Biarkan selama 20 minit sebelum membasuhnya. Anda juga boleh menjadikannya sebagai air rendaman mandian dengan menggunakan setengah cawan serbuk penaik dan dicampur dengan air.

Rawat ulser kecil

Penyelidikan mendapati mencuci mulut menggunakan baking soda sangat baik untuk melegakan kesakitan disebabkan ulser kecil. Cara penggunaannya adalah sama seperti mengunakannya untuk membersihkan mulut. Amalkan sekali sehari sehingga ulser kecil anda sembuh.

Mengurangkan kesakitan

Jika anda mengalami kesakitan akibatan selaran matahari, rendamkan kain lap dalam larutan 4 sudu serbuk penaik kepada 1 liter air. Sapukan secara perlahan di kawasan yang terjejas untuk mengurangkan kesakitan. Ia turut boleh membantu melegakan luka akibat terbakar lain termasuk selaran angin (windburn).

Mengurangkan refluks asid

Pedih ulu hati atau refluks asid boleh berlaku apabila anda makan secara berlebihan, tekanan, makan makanan berminyak atau pedas. Ia merupakan satu keadaan yang menyakitkan pada bahagian atas perut dan boleh merebak hingga ke tekak. Natrium bikarbonat dapat membantu meneutralkan asid perut dengan melarutkan satu sudu natrium bikarbonat ke dalam segelas air sejuk dan minum secara perlahan-lahan. Untuk kanak-kanak bawah usia 6 tahun, pastikan anda mendapat nasihat dari doktor terlebih dahulu.

Meneutralkan bau peti sejuk

Pasti anda pernah membuka peti sejuk dan terbau bauan yang busuk. Ia mungkin disebabkan makanan berlebihan yang sudah rosak dan bau seperti ini boleh bertahan lama walaupun setelah anda membersihkan peti sejuk anda. Anda hanya perlu meletakkan secawan serbuk penaik di dalam peti sejuk, pada bahagian belakang, dan serbuk penaik dapat membantu meneutral bauan seperti ini.

Scrub muka

Basuh dan bilas muka terlebih dahulu dengan pencuci muka dan air. Kemudian buat campuran 3 bahagian serbuk penaik bersama 1 bahagian air. Gosokkan secara perlahan dan berhati-hati ke muka untuk pembersihan mendalam. Bilas dengan air.

Bersihkan rambut

Campurkan satu sudu teh natrium bikarbonat dengan syampu kesukaan anda untuk membantu menyingkirkan sebarang kekotoran. Rambut anda bukan sahaja akan lebih bersih, malah ia juga akan lebih mudah untuk digayakan.

 

Rujukan :

Health and Beauty Uses for Baking Soda

https://www.webmd.com/beauty/ss/slideshow-beauty-baking-soda-health / Accessed on Jan 7, 2019.

23 Benefits and Uses for Baking Soda

https://www.healthline.com/nutrition/baking-soda-benefits-uses / Accessed on Jan 7, 2019.

 

Kredit Foto :
Healthline
webmd

Serbuk Penaik: Kecantikan, Kesihatan Dan Kebersihan 315total visits,10visits today





Source link