Artikel Terkini

Setelah terkurung lama, kampung di Pulau Redang ini jadi dambaan jiwa bebas


PULAU REDANG: Pertama kali menjejakkan kaki ke Pulau Redang, nama Kampung Baru Pulau Redang sangat asing di telinga penulis.

Tetapi rupanya lokasi itu memberikan pengalaman pengembaraan berbeza kepada sesiapa yang berkunjung ke Pulau Redang.

Lebih-lebih lagi buat mereka yang merindui untuk bercuti ke pantai selepas arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di sinilah letaknya pantai tercantik di Pulau Redang Terengganu yang tidak ramai tahu, iaitu Pantai Teluk Dalam.

Hanya mengambil masa lebih kurang 40 hingga 50 minit dari jeti Merang, Kuala Terengganu ke Pantai Teluk Dalam, sebaik tiba sememangnya anda akan kagum dengan kecantikan yang tersergam indah di pantai ini.

Kampung Baru Pulau Redang

Pantainya putih halus, lautnya biru kristal dan tenang kerana terlindung dari angin utara dan barat menyebabkan Pantai Teluk Dalam layak dilabelkan sebagai pantai tercantik di antara beberapa pantai utama di Pulau Redang.

pantai teluk dalam

Keindahan Pantai Teluk Dalam yang masih tidak ramai tahu

Bagaimanapun, tidak ramai pengunjung tempatan yang arif mengenai keindahan pantai dan suasana kampung yang disajikan jika bercuti ke Pantai Teluk Dalam.

Ia turut dikenali sebagai ‘Turtle Bay’ iaitu lokasi untuk melihat penyu berenang.

Sememang rata-rata yang akan ke Pulau Redang, hanya menjadikan ‘Turtle Bay’ ini sebagai satu lokasi persinggahan untuk melihat penyu, tetapi di sebalik pantai, terletaknya perkampungan yang diberi nama Kampung Baru yang mengikut perkiraan penulis, sangatlah rugi sekiranya peluang mengenali kampung itu terhenti hanya sekadar melihat penyu.

pantai teluk dalam

Penyu di sini sangat jinak umpama melihat dari dalam kolam renang
 

Kampung Baru Pulau Redang

Penulis sempat bertemu pengusaha resort berdekatan dengan pantai itu, iaitu Rosli Abd Ghani yang menurut beliau kebiasaannya pantai dan kampung berkenaan dipenuhi pelancong dari negara Eropah sekitar bulan Julai sehingga September.

Bagaimanapun, semenjak sempadan negara ditutup, dan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) dimulakan, resort yang diusahakannya mula dipenuhi dengan pengunjung tempatan.

“Biasa bulan begini dipenuhi ramai pelancong dari Itali, Jerman, Jepun datang ke kampung ini. Duduk di sini. Tapi sebab PKP pelancong pun tak boleh datang.

“Bila mula PKPP, ramai pelancong tempatan datang ke Pantai Teluk Dalam ini. Boleh saya katakan sekarang setiap hujung minggu hampir penuh pengunjung orang kita di sini” kata Rosli yang memiliki resort Redang De’Rimba yang hanya berjarak 10 minit dari pantai.

pantai teluk dalam

Rosli Abd Ghani pemilik resort Redang De’Rimba yang hanya berjarak 10 minit dari pantai.

Antara tarikan utama di Kampung Baru Pulau Redang ini juga adalah penduduknya yang ramah.

Selain ketenangannya, yang pasti pelbagai masakan tradisi Terengganu seperti nasi dagang dan nasi minyak disediakan serta makanan laut segar boleh terus dibeli dari jeti kampung.

Penulis bertuah kerana penduduk kampung yang mesra dipanggil Mok Su dan Pok Su menghidangkan juadah kuih tradisi yang hanya boleh didapati di Pulau Redang iaitu kuih Telur Kobis.

Telur Kobis adalah adunan tepung yang dilapiskan dengan isi ikan Selayang” kata Mok Su yang sanggup menempah hidangan itu demi menjamu penulis yang tertanya-tanya mengenai keenakkannya.

Pantai Teluk Dalam

Kuih Telur Kobis hidangan Moksu dan Poksu yang hanya boleh didapati di Kg Baru Pulau Redang

Penulis juga bertuah apabila Moksu yang juga membuka kedai makan di tepi pantai sedia menyediakan rempah barbeku bagi ikan-ikan yang dibeli penulis di Jeti.

Dapatlah merasa ikan kerapu pisang, Ikan airbag dan Ikan mudok (nama ikan menurut penduduk di situ) yang dibeli hanya dengan harga RM80 dibakar di tepi pantai.

Pantai Teluk Dalam

Pantai Teluk Dalam

 Mok Su dan anak membantu penulis membakar ikan-ikan yang dibeli di jeti 

Yang pasti, walaupun hanya singgah beberapa malam di kampung berkenaan, penulis sudah berasa cemburu dengan penduduk di sana yang dapat menikmati keindahan pantai Teluk Dalam bila-bila masa yang mereka suka.

Bagaimanapun, biar hanya sekejap cukup membuatkan penulis jatuh cinta dengan keramahan penduduk dan terpukau dengan salah satu keindahan pantai di negeri keropok lekor, Terengganu Darul Iman.

Ternyata di sini, kesesakan yang selama ini mengisi jiwa, emosi dan minda, terbebas sepenuhnya!

Ada peluang pasti penulis akan datang lagi. Terima kasih buat Pok Su, Mok Su, Erin, Pak Rosli dan Sharil dengan layanan baik yang diberikan. Semoga kita jumpa lagi.

Kampung Baru Pulau Redang


** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !





Source link