Artikel Terkini

Sharing Economy dan era The New Corns



KALUT seluruh negara baru-baru ini apabila GoJek, sebuah syarikat berstatus Decacorn dari Indonesia bercadang untuk memperluaskan operasi di Malaysia.

Apa itu Decacorn?

Ada tiga “corn” sebenarnya di dalam industri venture capital hari ini. Kesemuanya adalah gambaran status nilaian sesebuah syarikat persendirian start-up yang akhirnya berjaya berkembang dan menjadi besar.

Unicorn” adalah istilah yang diberikan kepada syarikat start-up persendirian yang mempunyai nilaian melebihi AS$1 bilion.

Istilah tersebut telah dijuarai oleh seorang venture capitalist bernama Aileen Lee pada tahun 2013.

Mengikut TechCrunch, sehingga Mac 2018, terdapat lebih 279 buah Unicorn di dunia. Antara yang paling besar adalah seperti ANT Financial (dulunya dikenali sebagai Alipay), DiDi, Airbnb, Stripe, Spotify dan Eventbrite.

China dan Amerika Syarikat mempunyai jumlah Unicorn paling banyak di dunia, sementara di rantau Asia Tenggara, Indonesia mendahului senarai dengan lima buah syarikat, termasuk GoJek dan Traveloka, dan Singapura empat buah syarikat, termasuk Grab dan Lazada.

Decacorn” pula merujuk kepada syarikat persendirian start-up yang mempunyai nilain melebihi AS$10 bilion, dengan syarikat seperti Snapchat dan SpaceX, sementara “Hectocorn” adalah syarikat yang bernilai lebih US$100 bilion seperti Google, Amazon dan Microsoft.

Sharing Economy” atau “Access Economy” pula merujuk kepada konsep perkongsian sumber. Trend sharing economy ini telah melonjakkan tiga unicorn terbesar – Uber, DiDi dan Airbnb, menjadi start-up tersohor di dunia.

Trend ini juga menjadi popular akibat daripada kebejatan ekonomi pada tahun-tahun mutakhir ini, yang menyebabkan pengguna mencari kaedah lebih bijak untuk berbelanja secara konservatif, iaitu dengan berkongsi sumber mereka seperti kenderaan dan rumah, pada masa yang sama menjana pendapatan daripada perkongsian tersebut.

Adalah dijangkakan bahawa menjelang 2025, sharing economy akan menjana lebih AS$335 bilion kepada ekonomi Amerika Syarikat. eBay, Wikipedia, Craiglist, Socar dan GoCar adalah antara syarikat yang popular kerana sharing economy sementara servis Cloud Computing, Crowd Funding dan Coworking adalah perkhidmatan teknologi, kewangan dan pekerjaan yang popular kerana sharing economy.

Berbalik kepada Gojek. Syarikat ini adalah syarikat pertama di Indonesia yang berjaya mencapai status “Unicorn” dan “Decacorn”.

Ditubuhkan pada tahun 2010, nilaian Gojek pada hari ini adalah melebihi AS$10 bilion. Ia adalah satu-satunya syarikat Asia Tenggara yang disenaraikan dalam Fortune’s 50, syarikat yang mengubah dunia pada tahun 2017.

Jumlah pemandu, baik kereta mahupun motosikal yang bernaung di bawah Gojek sekarang adalah sejuta orang.

Tidak adakah syarikat-syarikat Malaysia yang berstatus “corn” ini? Walaupun ada yang beranggapan bahawa Grab adalah syarikat Malaysia, tetapi syarikat tersebut sebenarnya adalah syarikat Singapura walaupun dilancarkan di Malaysia pada tahun 2012.

Hakikatnya, Malaysia masih belum mempunyai sebarang syarikat berstatus Unicorn.

Antara faktor penyumbang kepada kelahiran syarikat-syarikat berstatus Unicorn adalah saiz pasaran, akses kepada modal dan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Justeru untuk mencapai status Unicorn, syarikat-syarikat Malaysia harus mempunyai model bisnes global, bukan hanya fokus kepada pasaran tempatan yang kecil, harus punya akses kepada pasaran modal dan pembiayaan, serta melabur di bidang R&D.

Kesemua faktor ini melibatkan penyertaan pihak Kerajaan dan juga swasta. Faktor-faktor inilah juga yang membezakan kita dengan negara-negara seperti Amerika Syarikat dan China, malah jiran-jiran kita di ASEAN seperti Singapura dan Indonesia. Semoga dekad baru ini menyaksikan lahirnya Unicorn Malaysia!


Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir adalah Pengasas dan CEO Planetmahir.com, platfom perkongsian kemahiran dalam talian berbahasa Melayu pertama di dunia. Beliau boleh dihubungi melalui ramzi@planetmahir.com.

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.





Source link

Related Posts